Hukum Pertandingan Lumba Jalan Kaki/ “Walkathon” Berhadiah

Soalan :
Ustaz, apa hukumnya perlumbaan jalan kaki atau lebih dikenali dengan “walkathon” berhadiah ? Para peserta dikehendaki membayar yuran pendaftaran, hadiah untuk para pemenang berasal dari kutipan wang pendaftaran, dan pemenang ditentukan dengan cara cabutan undi.
(Mochamad Mufti, Yogyakarta).

Jawapan :
Perlumbaan jalan kaki atau “walkathon” yang dimestikan membayar pendaftaran dan menyediakan hadiah serta aktiviti-aktiviti lain yang seperti itu, hukumnya haram kerana termasuk dalam perbuatan judi (al maisir, al qimaar). Sedangkan Islam telah tegas mengharamkan judi, sesuai dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

”Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (minuman keras), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah kotor (rijsun) termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” [TMQ Al Maaidah (5) : 90].

Berdasarkan ayat tersebut, para fuqaha telah bersepakat bahawa judi hukumnya haram. (Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, 39/405). Keharaman judi ditunjukkan melalui beberapa penunjukan/indikasi (qarinah) yang menunjukkan larangan yang bersifat tegas (jazim), antara lain ; pertama, menggunakan taukid (kata penegas) “innama” (sesungguhnya). Kedua, judi disebut dengan istilah rijsun (najis). Ketiga, judi disebut perbuatan syaitan. Keempat, ada perintah untuk menjauhinya. Kelima, ada harapan mendapat kejayaan bagi sesiapa yang menjauhi judi. (Abdurrahman Al Maliki, Nizhamul Uqubat).

Pengertian judi (al maisir, al qimaar), mempunyai pelbagai versi pendapat ulama. Definisi yang paling rajih (kuat) menurut kami adalah :

كل لعب يشترط فيه أن يأخذ الغالب من المغلوب شيئا

“Judi adalah setiap permainan yang mensyaratkan pihak pemenang mengambil sesuatu (harta) dari pihak yang kalah.” (kullu la’bin yasytarithu fiihi an ya`khudza al ghaalibu minal maghluubi syai`an). (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughah Al Fuqoha`, hlm. 281; Imam Al Jurjani, At Ta’rifaat, hlm. 179; M. Ali Ash Shabuni, Tafsir Ayat Al Ahkam, 1/279; Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, 39/404; Sulaiman Ahmad Al Malham, Al Qimar Haqiiqatuhu wa Ahkamuhu, hlm. 74).

Melalui definisi judi tersebut, terdapat 3 (tiga) kriteria utama untuk aktiviti yang dikategorikan judi; pertama, ada pertaruhan (muraahanah) berupa harta (wang dsb) daripada pihak yang berjudi, sama ada satu pihak, atau lebih. Yang dimaksudkan “pihak” boleh jadi manusia yang sebenar (al syakhsh al haqiiqi), atau sesuatu alat (mesin judi) atau game (on line) yang dianggap mewakili manusia sebenar. Kedua, ada permainan (la’bun) yang fungsinya untuk menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. Misalnya dadu (an nard), catur, domino, kad, dsb. Juga termasuk dalam kategori permainan, adalah segala macam perlumbaan (musabaqah), seperti bola sepak, lumba kuda, larian balapan, dsb. Ketiga, adanya pihak yang menang dan yang kalah, dengan pihak yang menang mengambil harta dari pihak yang kalah. (Sulaiman Ahmad Al Malham, Al Qimar Haqiiqatuhu wa Ahkamuhu, hlm. 74-75; Syukri ‘Ali Abdurrahman Al Thawiil, Al Qimar wa Anwaa’uhu fi Dhau` Al Syari’ah Al Islamiyyah, hlm. 21-22).

Berdasarkan penjelasan di atas, maka aktiviti “lumba jalan kaki berhadiah” dan yang semisalnya hukumnya secara syar’i adalah haram. Ini adalah kerana definisi judi dapat digunakan untuk aktiviti tersebut. Buktinya, pertama, ada yuran pendaftaran yang dapat dianggap sebagai harta taruhan dari para peserta. Kedua, ada permainan yang digunakan untuk menentukan pihak pemenang, iaitu melalui undian. Ketiga, ada pihak yang menang dan yang kalah. Pihak pemenang adalah yang mengambil hadiah (seperti basikal bermotor, peti sejuk, dsb) yang dibeli dari hasil kutipan yuran pendaftaran para peserta. Sementara pihak yang kalah adalah para peserta yang sudah membayar yuran pendaftaran tetapi tidak mendapat hadiah.

Kesimpulannya, perlumbaan jalan kaki berhadiah seperti yang disoal, hukumnya adalah haram. Jalan penyelesaian agar kegiatan seperti itu tidak dikategorikan haram adalah dengan tidak mengambil wang pendaftaran daripada para peserta, dan/atau hadiah yang diberikan tidak berasal dari kutipan wang pendaftaran peserta, tetapi dari pihak ketiga (penaja dsb). Wallahu a’lam bish shawab.

M Shiddiq al Jawi
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment