Keteguhan Seorang Ulama

Beliau adalah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani. Beliau mendakwahkan Islam seadanya, beliau akan mengatakan yang haq, jika ia adalah haq, dan mengatakan yang bathil jika ia adalah bathil. Keadaan itu telah menyebabkan pemimpin saat itu, iaitu Raja Abdullah bin Husein berasa sangat marah.


Akhirnya, Syeikh Taqiyuddin ditangkap dan ditempatkan di penjara di Amman, Jordan. Waktu itu, Raja Abdullah mengundang beberapa orang ulama ke istananya di Raghdan pada setiap minggu. Keadaan itu telah mendorong para syeikh untuk memohon kepada Raja Abdullah supaya membebaskan sahabat mereka, iaitu Syeikh Taqiyuddin. Raja Abdullah seakan tiada pilihan lain, lalu Syeikh Taqiyuddin dihadirkan ke istana kerajaan dengan dihadiri oleh sejumlah syeikh.

Ketika Syeikh Taqiyuddin duduk di tengah-tengah mereka, Raja Abdullah memandang ke arah beliau, sambil berkata: "Dengarkan syeikh, adakah engkau mahu berjanji akan berkawan dengan orang yang menjadi kawanku, dan memusuhi orang yang menjadi musuhku?".

Syeikh Taqiyuddin memandang Raja Abdullah dan beliau tidak menjawab satu patah kata pun. Raja Abdullah mengulangi soalan tersebut sebanyak tiga kali sehingga beliau menjadi sangat marah.

Pada saat itu, Syeikh Taqiyuddin mengangkat kepalanya dan berkata: "Sesungguhnya, aku telah berjanji kepada Allah, untuk menjadi kawan kepada orang-orang yang berwala (patuh dan taat) kepada Allah. Dan aku memusuhi orang-orang yang memusuhi Allah".

Maka Raja Abdullah naik pitam dan menjerit: "Engkau adalah syeikh yang sangat berbahaya!!!".

Lalu Raja Abdullah mengarahkan tenteranya: "Tangkap dia dan masukkan dia ke penjara".

Dalam keadaan tersebut dimana memerlukan orang-orang yang bertaqwa dalam menyikapi hal itu, ternyata para syeikh yang ada di situ bersama-sama mereka tidak mengucapkan sepatah perkataan pun...

(Kitab Ahbaabullah, karya Syeikh Thalib Awadallah)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment