Khalwat: Antara Tajassus, Pencegahan Dan Hak Kebebasan

Mengulas kenyataan terbaru oleh Jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin mengenai isu khalwat dan cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah, beberapa orang mufti dan tokoh agama turut berbeza pendapat mengenainya.

Noor Farida mencadang agar dimansuhkan hukuman terhadap perbuatan khalwat yang didakwanya melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan. Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah”, jelas Jurucakap G25 itu.

Inilah realiti dan masalah yang timbul apabila Perlembagaan dan akal dijadikan “sumber hukum”. Dalam isu khalwat ini, umat Islam seharusnya faham bahawa:-

Perbuatan khalwat merupakan satu “keharaman” dan bukan “hak privasi”. Baik dibenarkan atau tidak oleh Perlembagaan atas nama kebebasan, ia tetap merupakan satu kesalahan dan dosa di sisi syarak dan bukan merupakan satu hak. Dengan kata lain, seseorang tidak boleh mengatakan, “walaupun khalwat adalah satu dosa, tetapi saya berhak berkhalwat di rumah saya kerana ini adalah hak privasi saya yang dijamin oleh Perlembagaan”. Rasulullah SAW bersabda,

لايخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم

“Seorang laki-laki tidak dibenarkan untuk berkhalwat dengan seorang wanita, tanpa seorang Mahram” [HR Muslim].

Dari segi hubungan manusia dengan Allah, kita tidak nafikan dosa peribadi seseorang dengan Allah apabila ia melakukan perbuatan haram tersebut, tetapi dari segi hubungan manusia sesama manusia, apabila seseorang itu melakukan kesalahan/dosa, maka aktiviti dosa itu wajib dihukum (oleh pemerintah). Contohnya apabila seseorang mencuri, ya ia berdosa di sisi Allah, tetapi di sisi manusia ia wajib dihukum. Begitu juga apabila seseorang itu berzina, ia berdosa di sisi Allah dan di sisi manusia ia wajib dihukum. Begitulah juga apabila seseorang itu meninggalkan solat, meninggalkan puasa, melakukan transaksi riba, tidak menutup aurat di tempat awam, berkhalwat dan sebagainya, ia berdosa di sisi Allah dan wajib dihukum di sisi manusia.

Tajassus (mengintip atau mencari-cari kesalahan) terhadap sesama Muslim adalah diharamkan, sebagaimana firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain (tajassus)” [TMQ al-Hujurat (49):12].

Justeru, mengintip untuk melihat atau mengetahui apa yang berlaku dalam rumah seseorang dan seterusnya memecah masuk ke dalam rumah tanpa izin tuannya adalah satu dosa. Banyak nas yang membicarakan hal ini. Namun demikian, walaupun seseorang (termasuk pihak berkuasa) tidak boleh memasuki rumah orang lain tanpa izin tuannya, tetapi ini tidak bermakna yang tuan rumah berhak melakukan segala bentuk keharaman di dalamnya. Keharaman adalah suatu yang wajib dijauhi, bukannya untuk dilakukan atau dijadikan hujah bahawa ia boleh dilakukan atas nama hak dan kebebasan. Cara berfikir seperti ini adalah cara berfikir orang-orang kafir Barat yang terlalu mendewa-dewakan akal atas nama kebebasan.

Memecah masuk ke rumah orang lain (tanpa izin) atas alasan mencegah maksiat, menggeledah atau mencari bahan bukti, mensyaki orang itu melakukan kesalahan dan sebagainya, semua ini tidak dibenarkan oleh Islam. Walaupun ada pihak-pihak yang berpendapat bahawa boleh memecah masuk rumah seseorang sekiranya pihak berkuasa mematuhi etika-etika tertentu dan atas alasan maslahat, semua itu merupakan hujah akal yang tidak disandarkan kepada nas. Hujah ini tidak lebih dari usaha memberikan justifikasi dan mensahkan tindakan haram yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Cuma sekali lagi kita perlu ingat bahawa, keharaman orang luar untuk memasuki rumah orang lain, tidak sesekali memberikan hak kepada tuan rumah untuk melakukan keharaman di dalamnya seperti berkhalwat, berzina, berjudi dan sebagainya.

Jika kita memahami situasi dalam kes tangkapan khlawat, tindakan mengetuk pintu dan memecah masuk ke dalam rumah atau bilik itu sebenarnya bukanlah bermaksud untuk “mencegah maksiat” tetapi telah mengaibkan orang tersebut dan ternyata maksiat itu (khalwat – berdua-duaan tanpa mahram) telah pun berlaku.

Usaha untuk “mencegah maksiat” memang wajib dilakukan oleh negara, malah pencegahan maksiat juga merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Namun perlu difahami perbezaan antara mencegah maksiat dan tajassus agar seseorang itu tidak terjerumus melakukan maksiat/dosa dalam usahanya mencegah maksiat. Yang dikatakan “mencegah” adalah menghalang apa jua aktiviti yang boleh mendorong kepada berlakunya maksiat seperti pendedahan aurat di khalayak ramai, ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan), khalwat, perzinaan, riba, judi, penipuan, samun, penculikan, pembunuhan dan banyak lagi. Ini semua adalah maksiat. Dalam konteks ini, cara negara “mencegah maksiat” adalah dengan menutup segala pusat judi, pusat pelacuran, pub, melarang penganjuran mana-mana konsert, menutup bank-bank riba, menempatkan lebih banyak polis untuk berkawal di tempat-tempat tertentu, memberi kemudahan untuk lelaki dan wanita yang mahu berkahwin dan sebagainya. Inilah antara usaha-usaha yang wajib diambil untuk “mencegah maksiat”, namun ternyata semua itu tidak dilakukan oleh negara, sebaliknya negara membenarkan segala maksiat itu berlaku dengan membuka seluas-luasnya segala pintu kepada maksiat tersebut.

Kesalahan khalwat, walaupun kita tidak memperkecilkan perkara ini, namun ia amat kecil berbancing dengan kesalahan pemerintah yang menerapkan sistem dan undang-undang kufur tinggalan British pada hari ini. Rasuah, penyelewengan, skandal dan lain-lain yang berjumlah bilion ringgit yang melibatkan pemerintah dan orang-orang politik, merupakan hidangan harian kepada rakyat Malaysia. Riba, judi, pub, disko, konsert-konsert liar dibenarkan dan diberi lesen. Itu belum masuk kes-kes jenayah seperti pembunuhan, samun, penculikan dan lain-lain yang semakin hari semakin menakutkan. Ini semua merupakan natijah dari kerosakan sistem dan pemimpin yang tidak menerapkan Islam dan semua kejahatan ini dilakukan secara “terbuka” tanpa rasa malu oleh negara dan pelakunya, tidak sebagaimana khalwat yang dilakukan secara “tertutup” kerana pelakunya masih ada perasaan malu dengan maksiat yang mereka lakukan.

Akhir sekali, kerana dasar liberalisme yang diamalkan oleh kerajaan-lah yang menyebabkan kumpulan seperti G25 ini boleh wujud dan boleh bersuara mengikut hawa mereka tanpa dihalang, walaupun jelas bertentangan dengan Islam. Pihak berkuasa agama pun hanya berdiam diri dengan kelompok liberal ini. Manakala gerakan Islam seperti Hizbut Tahrir yang berjuang untuk menerapkan Islam secara kaffah, cuba disekat dan dihalang dakwahnya serta ditangkap anggotanya dan dilontarkan dengan pelbagai tuduhan. Ini adalah satu lagi maksiat terbuka yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa tanpa rasa malu kepada Allah dan tanpa bersalah sedikit pun.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment