Marahkan Nyamuk, Kelambu Yang Dibakar!

Inilah perumpamaan yang sesuai ekoran keputusan Kementerian Kesihatan yang ingin mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung untuk mengelakkan penyalahgunaan parkir. Keputusan ini hanya akan menguntungkan pihak atau syarikat yang akan mengambil alih pengurusan parkir tersebut. Inilah kesan penerapan undang-undang di bawah sistem demokrasi-kapitalis! Kerajaan berjual beli dengan rakyatnya!


Jika kita lihat saban hari ada sahaja justifikasi yang dikemukakan oleh pihak kerajaan untuk mencari peluang atas kesempitan rakyat! Keadaan rakyat kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah perkhidmatan rawatan juga dikenakan caj dimana sepatutnya tanggungjawab negaralah yang seharusnya menyediakan perkhidamatan kesihatan secara percuma kepada rakyat. Kini parkir juga mahu dikenakan caj. Wajah busuk demokrasi-kapitalis telah semakin jelas diperlihatkan. Adalah sesuatu yang aneh apabila pihak pemerintah sering melaung-laungkan bahawa sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia kerana bayaran minima RM1 dikenakan untuk rawatan kesihatan, namun kos bayaran parkir melebihi kos rawatan pula.

Mudahnya para pemimpin menggubal undang-undang mengikut hawa nafsu mereka demi kepentingan dan manfaat pihak tertentu. Slogan ‘kebajikan rakyat didahulukan’ tidak akan pernah relevan selagi sistem pemerintahannya adalah demokrasi kapitalis kerana saban tahun umat dijanjikan dengan janji-janji palsu.

Muhasabah

Sesungguhnya negara bertanggungjawab memelihara kebajikan dan memenuhi keperluan asas. Kewajiban negara ini disebut sebagaimana hadis Nabi SAW,

“Setiap kalian adalah ra’in (orang yang diberi tanggungjawab dan amanah) dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya (orang yang di bawah tanggungjawab dan dibawah amanah). Imam A’zham (pemimpin negara) yang berkuasa atas manusia adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki adalah ra’in bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Wanita adalah ra’iyah terhadap ahli keluarga suaminya dan anak suaminya dan dia akan ditanya tentang mereka. Hamba seseorang adalah ra’in terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut. Ketahuilah setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya” [HR al-Bukhari No. 5200, 7138 dan Muslim No. 4701 dari Abdullah bin ‘Umar RA].

Dari hadis di atas, maka negara wajib menyediakan segala infrastruktur asas itu tadi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan bukan menyusahkan mereka.

Jika isu caj parkir dikenakan semata-mata untuk mengatasi masalah salah guna parkir, pihak kerajaan boleh menganjurkan cadangan yang lebih sistematik lagi bagi mengatasi masalah ini iaitu suatu mekanisme memastikan hanya yang benar-benar berurusan di hospital mendapat akses kepada kemudahan parkir awam. Jangan semudahnya membuat keputusan untuk berniaga dengan umat. Tidak takutkah pemerintah dengan sikap acuh tak acuh dalam pengaturan urusan rakyatnya??
Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah, barangsiapa memiliki hak mengatur suatu urusan umatku, lalu ia menyempitkan mereka, maka sempitkanlah dirinya; dan barangsiapa memiliki hak untuk mengatur suatu urusan umatku, lalu ia memperlakukan mereka dengan baik, maka perlakukanlah dirinya dengan baik” [HR Ahmad dan Muslim].

Hadis ini jelas memerintahkan pihak berkuasa atau pemerintah agar memerintah dengan baik. Namun, ternyata bahawa pengaturan urusan rakyat di bawah sistem demokrasi-kapitalis hanya memberi keuntungan kepada pemerintah dan golongan kapitalis semata-mata yang ibaratnya seperti menangguk di air keruh kerana jelasnya hidup rakyat semakin terseksa di atur di bawah sistem kufur buatan manusia ini.

Realiti yang kita saksikan pada hari ni membuktikan bahawa sistem pemerintahan sedia ada perlu digantikan dengan sistem pemerintahan yang terbaik iaitu sistem pemerintahan Islam atau Khilafah yang mana segala pengaturan umat akan diuruskan dengan landasan hukum syara’ seterusnya mensejahterakan kehidupan seluruh manusia.

Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin. Ad-deenul Islam yang diutuskan melalui Rasulullah SAW ini merupakan agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam semesta termasuk haiwan, tumbuhan dan jin, apatahlagi sesama manusia. Ia menjelaskan firman Allah swt:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyah:107].

Oleh itu, wahai pemimpin yang mempunyai kuasa, pimpinlah dengan landasan Islam dan hukum syara’ yang telah ditetapkan. Ingatlah bahawa setiap tindakan kalian sebagai pemerintah akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Wallahua’lam.

Ditulis oleh:
Pn Maizatul Akmar
(Ahli Lajnah I'lamiyah MHTM)

Sumber berita: sinarharian
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment