Pandangan Ulama: Hukum Non Muslim Menjadi Penguasa Bagi Umat Islam

Oleh: KH Hafidz Abdurrahman

Pada zaman ini, umat Islam banyak menerima ujian. Diuji dengan orang-orang yang kelihatan berpenampilan ulama’, ustaz dan mufti, tetapi malangnya mereka mengeluarkan fatwa yang menyalahi al-Qur’an, as-sunnah dan apa yang disepakati oleh para ulama’ muktabar. Mereka memaksa diri untuk berhujah dengan hujah yang janggal, pelik dan jauh daripada Islam. Malah, tidak teragak-agak merampas nas-nas syarak untuk menyokong pandangan mereka.

Antaranya, fatwa mengenai keharusan memberikan mereka lebih autonomi kepada orang Kafir, supaya mereka menjadi penguasa umat Islam di negara-negara Islam. Mentadbir dan mengurus hal-ehwal mereka. Dia juga mempunyai hak untuk ditaati.[1] Alasan mereka, antara lain, bahawa Nabi Yusuf ‘alaihi as-salam, telah dilantik menjadi penguasa dalam sistem pemerintahan Kafir.

Sebenarnya, pendapat tersebut jauh dari kebenaran. Malah, jelas melanggar kebenaran itu sendiri. Sebab, antara lain:

Pertama, bahawa tugas utama penguasa umat Islam adalah menguatkuasakan syariat Allah, menjunjung tinggi kalimah-Nya, mengurus dunia dengan agama, memelihara hukum-hukum Allah, agama-Nya serta hak-hak hamba-Nya. Dalam kes ini, Khilafah adalah wakil Nabi dalam menjaga agama, mengurus dunia dengan agama, dan bukan hanya penguasa biasa. Imam al-Mawardi berkata, “Imamah itu dibuat untuk menggantikan kenabian dalam menjaga agama, mengurus politik, serta memberi akad kepadanya bagi sesiapa sahaja yang mampu memikulnya di tengah-tengah umat, hukumnya wajib.”[2]

Ibn Tamiyyah berkata, “Maksud yang wajib dalam kekuasaan itu adalah memperbaiki agama makhluk. Kerana, apabila agama itu hilang dari mereka, maka mereka pasti rugi serugi-ruginya. Dunia yang menjadi nikmat mereka pun tidak ada gunanya. Untuk memperbaiki urusan dunia mereka yang hanya boleh ditegakkan dengannya.”[3] Secara logiknya, bagaimana orang Kafir yang tidak percaya kepada Islam boleh melakukan tugas ini? Bagaimana kita boleh meletakkan amanah untuk menjaga agama di hadapan orang yang jelas-jelas menafikannya?

Kedua, nas-nas syarak telah menjelaskan, bahawa kepemimpinan itu tidak boleh diberikan kepada orang Kafir yang memang asal Kafir, walaupun mungkin dia murtad selepas dilantik, namun apabila dia murtad, dia mesti dilucutkan jawatan, dan kepemimpinannya pun gugur. Allah SWT. berfirman:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا 

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada kaum Kafir untuk menguasai orang yang beriman.” [TMQ an-Nisa’: 141]

Al-Qadhi Ibn al-‘Arabi menyatakan: “Allah SWT secara syar’ie tidak memberikan jalan kepada orang Kafir untuk menguasai orang yang beriman. Jika ada sekalipun, maka ia jelas menyalahi syarak.”[4]

Allah SWT berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ 

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, serta pemimpin di antara kalian.” [TMQ an-Nisa’: 59]

Dengan frasa, “Minkum” [di antara kalian], menunjukkan bahawa pemimpin tersebut wajib dari kalangan umat Islam yang beriman. Kerana seruannya dari permulaan ayat tersebut ditujukan kepada mereka.

Allah SWT juga berfirman:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ ﴾ [آل عمران: 118

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali ‘Imran: 118]

Imam al-Qurthubi mengatakan, “Melalui ayat ini, Allah telah melarang orang yang beriman untuk menjadikan kaum Kafir, Yahudi dan pemuja hawa nafsu untuk dijadikan sebagai teman kepercayaan yang keluar masuk [tempat kita] untuk bertukar pandangan, dan mereka menyerahkan urusan mereka kepadanya.”[5]

Jadi, bagaimana mungkin menjadikan mereka sebagai penguasa dan pemimpin untuk menjaga hal ehwal kita?

Allah SWT juga berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Kafir sebagai pelindung [pemimpin] selain orang yang beriman.” [TMQ an-Nisa’: 144]

Ibn Kathir berkata, “Allah SWT. melarang hamba-Nya yang beriman untuk menjadikan orang-orang Kafir sebagai pelindung [pemimpin], selain orang yang beriman. Iaitu, Allah melarang mereka untuk dijadikan sahabat, kawan, penasihat, dicintai serta tempat menyampaikan rahsia orang yang beriman.”[6] Imam al-Qurthubi menambah, “Iaitu, janganlah menjadikan mereka sebagai orang istimewa kalian dan kepercayaan kalian.”[7] Jika menjadikan mereka sebagai kawan, mendedahkan rahsia orang yang beriman kepada mereka, dan menjadikan mereka sebagai kepercayaan adalah satu bentuk bermuwalah yang dilarang ayat tersebut, maka tidak syak lagi, bahawa melantik mereka sebagai pemimpin hal-ehwal umat Islam, dan penguasa mereka jelas merupakan satu bentuk muwalah yang lebih nyata dan sangat diharamkan.

Dari ‘Ubadah bin Shamit radhiya-Llahu ‘anhu, berkata, “Kami dijemput oleh Rasulullah saw. Kami membai’at baginda, maka di antara yang baginda minta dari kami, hendaknya kami membai’at [baginda] untuk mendengar dan taat, baik ketika kami lapang mahupun sempit, susah mahupun senang.. dan hendaknya kami tidak merebut urusan tersebut dari yang berhak.” Baginda saw. bersabda, “Kecuali, jika kalian menyaksikan kekufuran yang nyata, dimana kalian mempunyai bukti di hadapan Allah SWT.”[8]

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Jika terlihat kekufuran, mengubah syariat atau melakukan bid’ah, maka dia telah keluar dari hukum sahnya kepemimpinan. Ketaatan kepadanya pun gugur. Wajib bagi umat Islam untuk menentangnya, dan memberhentikannya. Lalu, mengangkat imam yang adil, jika memungkinkan mereka untuk melakukannya. Jika ia hanya boleh dilakukan sekumpulan orang, maka mereka wajib memberhentikan orang Kafir tersebut.”[9]

Kedua, Ijmak umat Islam bersetuju bahawa syarat muslim bagi orang yang memegang tampuk pemerintahan, yang memerintah dan mengurus umat Islam. Orang Kafir tidak mempunyai hak memerintah dan mengurus urusan umat Islam, apa jua alasan dan keadaannya.

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “ulama’ umat Islam bersepakat bahawa kepemimpinan tidak akan diberikan kepada orang Kafir. Jika kemudian terlihat kekufuran padanya, maka dengan sendirinya dilucutkan jawatan. Begitu juga jika meninggalkan kewajipan mendirikan solat dan mengajak untuk mendirikan solat.”[10]

Ibn al-Mundzir berkata, “Bahawa telah disepakati oleh Ahli Ilmu yang dihafal riwayatnya dari mereka, bahawa orang Kafir tidak berhak mempunyai kekuasaan terhadap seorang muslim, apa jua alasannya.”[11]

Ibn Hazm berkata, “Mereka bersepakat, bahawa kepemimpinan itu tidak boleh diberikan kepada seorang wanita, orang Kafir dan anak kecil.”[12]

Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Sesungguhnya seorang imam [kepala negara] akan berhenti dengan sendirinya, berdasarkan Ijmak, apabila dia kufur. Maka, umat Islam wajib untuk melakukannya [menghentikannya]. Siapa yang sanggup untuk melakukannya, maka dia akan mendapatkan pahala. Dia yang tidak serius melakukannya, maka dia berhak mendapatkan dosa. Siapa saja yang tidak mampu, maka dia wajib berhijrah dari negeri tersebut.”[13]

Keempat, Jumhur ulama’ menguatkan, bahawa kefasikan seorang penguasa secara nyata, dan diketahui, boleh menyebabkan haknya gugur untuk memimpin dan mengurus [urusan umat Islam], menjadi alasan yang mewajarkan untuk meninggalkannya, ketika selamat dari pertumpahan darah dan terjadinya fitnah. Ini kerana kefasikannya boleh jadi akan membuatnya berdiam diri dari kewajipan syar’inya, sama ada menegakkan hudud, mengurus hak-hak [rakyat], menjaga agama dan kehidupan rakyatnya.

Imam al-Qurthubi berkata, “Seorang imam, jika dia dilantik, kemudian menjadi fasik selepas berlangsungnya akad, maka Jumhur ulama’ berpendapat, bahawa kepemimpinannya batal, dan dia perlu dilucutkan jawatan kerana kefasikan yang nyata dan diketahui. Sebab, telah ditetapkan [dengan nas syarak], bahawa seorang imam dilantik hanya untuk menegakkan hudud, menunaikan hak, menjaga harta anak-anak yatim dan mujanin, memberi perhatian kepada urusan mereka dan sebagainya.. Kefasikannya juga akan membuatkannya berdiam diri dari menunaikan urusan ini, dan bangkit untuk mengerjakannnya.

Jika kami membenarkan orang fasik menjadi imam, sudah tentu itu akan membawa kepada pembatalan apa yang dia harus tegakkan, di mana dia ada untuk itu. Tidakkah kamu lihat, jika dari awal kekuasaan tidak boleh diberikan kepada orang fasik, ia adalah untuk membuat dia tidak membatalkan apa yang sebenarnya dia perlu tegakkan. Begitu juga orang yang seperti dia.”[14]

Jika pandangan mereka tentang seorang penguasa yang berhak memimpin dan mengurus [hal ehwal umat Islam], serta dibaiat, kemudian terlihat kefasikan pada dirinya sahaja seperti ini, lantas bagaimana dengan orang yang asalnya memang Kafir, yang tidak berhak dibaiat, dan tidak berhak mempimpin dan mengurus hal ehwal umat Islam? Bagaimana syara’ boleh membenarkan mahupun sebab musababnya, bahkan kekuasaan dan pemerintahan umat Islam itu diberikan kepada orang yang memang asalnya sudah Kafir?

Kelima, mengenai apa yang digunakan sebagai hujah para ulama’ itu, iaitu kes Nabi Yusuf ‘alaihi as-salam, maka sesungguhnya hujah mereka tidak mempunyai nilai sama sekali. Hujah ini selain batil, sudah tentu perlu ditolak, dengan beberapa alasan:

Sesungguhnya syariat Nabi atau umat sebelum kita [Syar’u man qablana] telah dinyatakan dalam Usul Fiqh bukan merupakan syariat bagi kita, juga tidak boleh digunakan sebagai hujah. Apatah lagi, jika bertentangan dengan syariat Islam.[15]

Dalam kisah Nabi Yusuf ‘alaihi as-salam juga tidak ada bukti yang boleh digunakan untuk menyatakan, bahawa Nabi Yusuf ‘alaihi as-salam mengakui kepemimpinan orang Kafir. Tindakan Nabi Yusuf ‘alaihi as-salam hanya untuk menegakkan keadilan, melindungi hak-hak, mencegah kezaliman, mensia-siakan harta bukan kepada yang berhak, oleh itu beliau memberi alasan, “Hafidz[un] ‘alim[un].” [yang menjaga dan mengetahui].

Al-Qadhi Ibn al-‘Arabi mencatatkan, “Bagaimana boleh diterima [dengan sebab musabab] beliau menerima pelantikan orang Kafir sebagai penguasa, sedangkan beliau orang yang beriman dan Nabi?” Ibn ‘Arabi menjawab, “Kami tegaskan, beliau tidak pernah meminta kedudukan. Tetapi, minta ditinggalkan dan dibiarkan.. Jika Allah mahu, Allah boleh menjadikannya berkuasa.. Tetapi, Allah menjalankan sunah-Nya seperti yang berlaku untuk para Nabi dan umatnya.. itulah yang ditunjukkan oleh firman-Nya:

 وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana sahaja yang dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat baik.” [TMQ . Yusuf: 56]

Kesimpulan

Berdasarkan paparan dalil-dalil syarak di atas, sama ada al-Qur’an, as-sunnah dan Ijmak Sahabat, serta pandangan para ulama’ tentang kepemimpinan orang Kafir dan Fasik, dapat disimpulkan bahawa:

Adalah jelas Islam merupakan syarat mutlak dan merupakan harga tetap, yang tidak boleh ditawar-tawar lagi.

Jika ada penguasa yang asalnya orang Islam, kemudian selepas berkuasa menjadi murtad, maka dengan sendirinya kekuasaan terlucut. Dia dilucutkan jawatan secara automatik, ketika syarat Islam-nya hilang. Jika tidak mhau berhenti, maka para ulama’ bersepakat, orang seperti ini perlu dipecat secara paksa.

Sebaliknya, orang yang berpendapat bahawa orang Kafir boleh berkuasa, pendapat seperti ini tidak pernah dinyatakan oleh ulama’ pada masa lalu. Hujah yang mereka gunakan juga lemah, dan tidak mempunyai nilai sedikit pun dalam pengambilan hukum syara’.

Jika pada masa ini yang berpendapat tentang bolehnya non-muslim menjadi penguasa umat Islam, maka orang seperti ini ada dua kemungkinan: Pertama, jahil tentang hukum Islam. Kedua, menjual diri dan agamanya untuk kepentingan dunia.
Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment