Bertudung: Demi Parti Atau Demi Hukum Allah

“Puteri Umno Perak pada hari ini mencadangkan supaya Puteri dan Wanita Umno tampil dengan imej bertudung. Ketua Puteri Umno Bahagian Pasir Salak, Suhaili Suib berkata, imej tersebut bersesuaian dengan prinsip parti yang menegakkan syiar Islam.Menurut Suhaili lagi, penampilan imej yang sopan mampu memelihara tanggapan baik masyarakat terhadap parti tersebut."Kita sedang menangani (pelbagai) tanggapan, melangkahlah dengan sopan... 'Kayuhlah' perlahan-lahan, 'berjambul' dulu pun tak apa," selorohnya ketika dalam perbahasan usul politik pada Perhimpunan Agung Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno di sini, hari ini.” [sinarharian]


Berikut merupakan ucapan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak, Suhaili Suib dalam ucapan perbahasannya ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 9 Disember lalu. Kenyataan ini sedikit sebanyak dilihat agak bertepatan dan ada kewajaran dalam usaha menyedarkan golongan ahli politik wanita tentang kewajipan bertudung agar mereka tidak terus tersesat dan tersasar jauh. Tambahan pula ia dianggap amat bertepatan dengan prinsip perjuangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam.

Sebagai rakyat biasa saranan ini pastinya menggembirakan hati mereka kerana seiring dengan ‘trend’ berfesyen masakini. Namun bagi mereka yang celik politik, ucapan ini hanyalah retorik murahan dalam menagih undi dan perhatian semata-mata. Inilah yang berlaku di dalam sistem demokrasi kapitalis liberal yang diamalkan oleh negara pada masa ini, apabila ‘bebas’ itu dijadikan undang-undang maka halal dan haram hanya bersandar pada manfaat semata. Apa yang pasti dalam membicarakan tentang hukum hakam Islam, niat tidaklah dapat menghalalkan cara dalam apa jua keadaan termasuklah isu tudung yang sangat sensitif dan sering disalah tafsir oleh golongan wanita liberal.

Lalu apa yang tidak kena dengan cadangan ini? Bolehkan kita bertudung atas alasan imej, polisi, prinsip atau kerana sebab-sebab lain? Adakah hukum yang telah Allah tetapkan boleh dipilih-pilih dan dilaksanakan peringkat demi peringkat agar sesuai dengan kehendak individu atau prinsip parti?

Jawapanya sudah pasti banyak yang tidak kena berbanding jumlah mereka yang terkena dengan sindiran ini. Pertama hukum yang Allah tetapkan tidak perlu dicadang atau dibahas apatah lagi berseloroh sebagaimana yang berlaku sekarang. Sebagai umat Islam apa sahaja yang Allah tetapkan tidak perlu ada kesangsian lagi dalam melaksanakannya. Islam sudah cukup sempurna yang datang dengan serangkap peraturan dan larangan serta syarat-syaratnya yang lengkap tinggal lagi kita sebagai makhluk hanya perlu laksanakannya sahaja. Kedua tiada alasan diperlukan dalam melaksanakan hukum Allah apabila sudah cukup syarat-syaratnya melainkan atas alasan syar’i seperti tidak waras, belum baligh dan murtad. Sekiranya alasan syar’i ini tidak ada maka tudung itu wajib dipakai baik ia sama atau tidak dengan polisi, imej atau prinsip mana-mana individu atau parti sekalipun. Allah SWT berfirman:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata” [TQM Al Ahzab 33:36].

Beginilah nasib Islam dan umatnya apabila Islam tidak diterapkan dengan kaffah, sehinggakan hukum Allah itu perlu ada sebab yang logik mengikut akal mereka sebelum ia dilaksanakan, dan sekiranya mahu laksanakan juga perlu sesuai dengan keinginan dan keperluan mereka sahaja. Selagimana ia tidak memberi manfaat besar untuk kelangsungan parti maka tidak perlu dicadangkan, dibincangkan jauh sekali untuk diterapkan. Buatlah setakat mana yang mampu asalkan mereka mahu bertudung dan melangkah sopan biarpun berjambul dahulu pun tidak mengapa, tapi sayang mereka lupa yang Allah melaknat wanita-wanita berjambul ini, nerakalah tempat mereka nanti, Nauzubillah.

Sedarlah wahai wanita UMNO, puteri-puterinya dan muslimah sekalian, bertudung itu wajib, menutup aurat itu juga wajib, maka sesuatu yang wajib jika tidak dilaksanakan maka hukumnya berdosa. Takutlah kita hanya kepada Allah kerana isi neraka itu kebanyakannya dihuni oleh golongan wanita. Jika sopan yang dicari maka tidak bertudungpun akan kelihatan sopan, tapi belum tentu kita dapat redha Allah. Bersatulah untuk menerapkan syiar-syiar Islam dalam bingkai syariah dan khilafah dan bukannya bersatu bersama UMNO yang hanya memperjuangkan nasib banga Melayu semata. Bersegeralah dalam melaksanakan perintah Allah ini agar maruah dan martabat wanita kembali terpelihara dan berusahalah untuk merebut gelaran wanita solehah sebagaimana sabda Rasulallah SAW:

“Sesungguhnya dunia itu umpama perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah” [HR Muslim].

Wallahualam.

Ditulis oleh: Pn Rojana Md Noor (Aktivis MHTM/Wartawan Media MHTM )
untuk Lajnah I'lamiyah MHTM
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment