Cara Khilafah Menjaga Kesejahteraan Rakyatnya

Setiap individu rakyat, di mana jua dia tinggal; baik di dalam Negara Khilafah atau negara kafir, mempunyai keperluan yang sama. Keperluan pakaian, tempat tinggal, makanan, juga keperluan pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Keperluan-keperluan ini dimiliki oleh setiap individu, baik muslim mahupun bukan muslim; lelaki mahupun wanita. Kerana itu, keperluan-keperluan ini merupakan keperluan asas setiap warganegara yang wajib disediakan oleh negara. Malah, cukup dan tidaknya keperluan-keperluan asas ini juga menjadi penentu, apakah kehidupan rakyat negara tersebut boleh dikatakan sejahtera atau tidak.

Namun untuk menjamin keperluan-keperluan asas ini dipenuhi, Islam mempunyai mekanisme dan sistem. Mekanisme dan sistem ini kemudian diterapkan dengan konsisten, baik oleh individu, masyarakat mahupun negara, sehingga kemakmuran yang dicita-citakan itu pun benar-benar berhasil.

Mekanisme ekonomi

Memang benar, bahawa seluruh keperluan asas setiap rakyat negara Khilafah dijamin oleh Islam, di mana setiap orang dipastikan boleh memenuhi seluruh keperluan asasnya, satu per satu. Kerana itu, jaminan ini telah ditetapkan oleh Islam sebagai polisi ekonomi (economic policy) negara Khilafah, baik dalam bentuk mekanisme ekonomi mahupun bukan ekonomi. Polisi itu, antara lain:

1- Negara mewajibkan setiap lelaki, baligh, berakal dan mampu untuk bekerja. Dengan bekerja, dia mampu memenuhi keperluan asasnya, baik pakaian, tempat tinggal mahupun makanan. Dengan bekerja, dia mampu memenuhi keperluan asas orang-orang yang menjadi tanggungannya. Jika dia telah bekerja, tetapi belum mampu memenuhi keperluan asasya, maka dia wajib tetap berusaha melipatgandakan usahanya, hingga seluruh keperluan asasnya itu boleh dipenuhi.

2- Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya, jika dia termasuk orang yang wajib bekerja dan mampu. Boleh sahaja dengan memberikan sebidang tanah pertanian untuk bertani, bagi yang tidak mempunyai tanah. Boleh juga dengan memberikan modal pertanian, bagi yang mempunyai tanah, tetapi tidak mempunyai modal. Boleh juga memberikan modal perniagaan, bagi yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak mempunyai modal. Boleh juga memberikan latihan dan kemahiran, sehingga dia boleh mengurus hartanya dengan baik, dan memenuhi keperluan asas dan sekundernya dengan baik. Termasuk latihan kebolehan dan kemahiran yang diperlukan, baik di bidang industri, perniagaan, perkhidmatan mahupun perdagangan.

3- Jika faktor yang pertama dan kedua di atas, yang merupakan mekanisme ekonomi, tidak berjalan, maka negara Khilafah boleh mengambil langkah mekanisme bukan ekonomi. Khususnya bagi kanak-kanak telantar sakit, orang kurang upaya, orang tua yang tidak kuat untuk bekerja dan kaum wanita yang tidak mempunyai keluarga. Untuk mereka, negara akan mendorong orang-orang kaya yang berdekatan dengan mereka untuk membantu mereka, boleh sahaja melalui sedekah, zakat dan infak. Jika ini tidak ada, maka negara akan memberikan elan sara diri secara rutin setiap bulan, sehingga mereka boleh memenuhi seluruh keperluan asas dan sekundernya dengan baik.

4- Mekanisme bukan ekonomi yang tidak kurang pentingnya adalah hukuman. Bagi setiap lelaki, baligh, berakal dan mampu bekerja, tetapi tidak bekerja, atau bekerja dengan sambil lewa, maka negara akan menjatuhkan sabit kesalahan, dalam bentuk ta’zir. Demikian juga, bagi setiap individu yang berkewajipan menanggung keluarganya, tetapi tidak melakukan tanggungjawab tersebut dengan baik dan benar, maka negara akan menjatuhkan hukuman. Begitu juga, jika ada orang kaya yang berkewajipan untuk membantu jiran tetangganya, tetapi mengabaikan kewajipan tersebut, maka negara boleh memberikan peringatan kepada mereka. Termasuklah ketika negaranya sendiri lalai dalam mengurus keperluan rakyatnya, maka para pemangku negara harus diingatkan.

Sistem dan Polisi ekonomi

Mekanisme ekonomi dan bukan ekonomi di atas belum cukup untuk mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Kerana itu, Islam menetapkan sistem dan polisi ekonomi yang mampu memastikan terwujudnya kemakmuran dan kesejahteraan tersebut. Sistem ekonomi ini terhasil pada tiga aspek:

1- Kepemilikan, iaitu kepemilikan peribadi, umum dan negara. Setiap kepemilikan tersebut telah diatur dan ditetapkan oleh syariah, sehingga boleh dimanfaatkan. Sebagai contoh, tanah pertanian, sebagai milik peribadi, tidak boleh dimiliki oleh negara. Kepemilikan umum, seperti minyak, gas, arang batu dan lain-lain, tidak boleh menjadi milik persendirian, atau dimiliki oleh negara. Kerana masing-masing telah diatur dan ditetapkan kepemilikannya oleh syariah.

2- Pemanfaatan kepemilikan (tasharruf), baik dengan cara membelanjakan mahupun mengembangkan kepemilikan, wajib mengikuti hak yang ada pada kepemilikan harta tersebut. Kerana hak mengurus harta itu terletak pada pemilik. Sebagai contoh, harta milik peribadi, boleh digunakan untuk pemiliknya, tetapi tidak oleh orang ramai kerana bukan milik mereka. Sebaliknya, harta milik umum, boleh dimanfaatkan oleh individu, kerana izin yang diberikan oleh syariah kepadanya.

3- Agihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Bahkan, boleh dikatakan, bahawa agihan kekayaan ini merupakan kunci dari masalah ekonomi. Jika agihan kekayaan tersebut tidak bergerak, pasti akan menimbulkan masalah ekonomi. Sebaliknya, jika agihan kekayaan ini lancar, hingga sampai ke tangan setiap individu, maka dengan sendirinya masalah ekonomi ini dapat diatasi. Kerana itu, Islam melarang dengan tegas menimbunkan harta, emas, perak dan mata wang. Adalah tidak lain, agar harta tersebut berputar di tengah-tengah masyarakat dan boleh menggerakkan putaran ekonomi.

Sistem ini kemudian didukung dengan polisi ekonomi yang ideal, untuk memastikan dua perkara: penghasilan dan agihan yang baik dan benar.

1- Penghasilan: Untuk memastikan agar penghasilan domestik negara Khilafah tinggi, dan mampu memenuhi keperluan seluruh rakyatnya, maka polisi negara berkaitan dengan sumber ekonomi benar-benar diterapkan dengan baik dan benar. Sumber tersebut meliputi: (1) Pertanian; (2) Perdagangan; (3) Industri; (4) Perkhidmatan. Dalam hal ini, negara akan memastikan seluruh sumber tersebut benar-benar boleh menghasilkan barang dan perkhidmatan, sehingga mampu menjamin penghasilan, penggunaan dan agihan masyarakat. Inilah sebab mengapa, negara menetapkan larangan menyewakan tanah pertanian, atau membiarkan tanah pertanian tidak diusahakan lebih dari 3 tahun. Negara juga melarang riba dalam perdagangan kerana boleh merosakan ekonomi. Negara juga memastikan, industri kepemilikan umum tidak boleh dikelola oleh swasta, baik domestik mahupun asing. Ini juga untuk menjamin tahap penghasilan demi menjamin kemakmuran rakyatnya. Begitu seterusnya.

2- Agihan: Dengan tahap penghasilan yang tinggi, hanya satu yang wajib dipastikan oleh negara, iaitu pengaihan barang dan perkhidmatan tersebut dengan baik di tengah-tengah masyarakat, sehingga setiap individu boleh dipastikan telah memenuhi seluruh keperluan asasnya.

Begitulah cara Negara Khilafah mensejahterakan rakyatnya, dengan mekanisme ekonomi dan bukan ekonomi, termasuk sistem dan polisi ekonomi yang ideal. Wallahu a’lam.

Sumber: Mediaumat.com, 12/12
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment