Hukum Asal Perbuatan Manusia Adalah Terikat Dengan Hukum Syara'

Dalam mengharungi kehidupan ini seorang hamba wajib mengikat perbuatannya kepada hukum syara’. Ini bermakna bahawa sebelum melakukan sesuatu perbuatan, dia wajib mengetahui pandangan hukum syara’ mengenai perbuatan tersebut.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
“Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua. tentang apa yang mereka telah lakukan.” [TMQ Al-Hijr (15) : 92-93]

Imam Ats-Tsa’labi dalam kitab tafsir beliau menjelaskan bahawa Allah akan bertanya kepada setiap orang di hari kiamat tentang perbuatan mereka di dunia (Tafsir Ath-Tha’labi Juz 5 halaman 354). Sementara Imam Al-Qurthubi, selepas menjelaskan tafsirnya dengan panjang lebar, beliau membuat kesimpulan bahawa ayat ini digunakan kepada semua soalan yang merupakan hisab bagi orang-orang kafir dan mu’min, kecuali orang-orang yang masuk syurga tanpa hisab (lihat tafsir al-Qurthubi Juz 12 halaman 258-260).

Allah Ta'ala juga berfirman,
“Kalian tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca mana-mana daripada ayat al-Qur’an, dan kalian tidak melakukan sesuatu perbuatan, melainkan Kami menjadi saksi atas kalian pada masa kalian melakukannya.” [TMQ Yunus (10): 61]

Syaikh ‘Atha Abu ar-Rasytah menjelaskan bahawa makna ikhbar (berita) dari Allah kepada hamba-Nya baahwa Allah menyaksikan perbuatan mereka adalah Allah akan menghisab dan meminta mereka bertanggungjawab atas amal perbuatan mereka.

Dari pemahaman terhadap kedua-dua dalil ini, dapat disimpulkan bahawa hukum asal perbuatan manusia adalah terikat dengan hukum syara'.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment