Jenayah Rogol Berleluasa: Sistem Demokrasi Gagal Melindungi Masyarakat!

Pada 31 Disember 2015, seorang pemandu bas pusat tuisyen dijatuhi hukuman penjara 24 tahun atas kesalahan merogol seorang pelajar OKU. Manakala pada bulan ini, Januari 2015 beberapa jenayah rogol dilaporkan terjadi lagi. Membangkitkan persoalan, sampai bila para wanita dan kanak-kanak terpaksa berhadapan dengan ketakukan ancaman penjenayah diluar sana? Realitinya, jenayah rogol dilaporkan berlaku setiap bulan yang mana mangsanya terdiri daripada wanita dewasa, remaja dan kanak-kanak. Jenayah rogol merupakan jenayah yang sering terjadi di seluruh dunia khususnya di Malaysia. Pada tahun 2012, hampir 3000 kes rogol yang telah dilaporkan. Ini bermakna lapan kes rogol dilaporkan setiap hari. Jumlah kes rogol yang dilaporkan saban tahun semakin meningkat. Terdapat kemungkinan besar lebih banyak lagi jenayah rogol yang tidak dilaporkan, menjadikan kadar sebenar kejadian ini mungkin lebih banyak dari yang disangka seperti yang dapat dilihat sekarang.

Bukan hanya jenayah rogol, bahkan kes-kes jenayah yang lain juga semakin meningkat dan tidak dapat dibendung lagi. Banyaknya kes jenayah yang dilaporkan menyebabkan masyarakat menjadi lali dan menganggap kes sebegini sebagai satu kebiasaan tanpa ada penyelesaian yang tuntas. Sekadar kempen untuk memerangi jenayah rogol tidak cukup untuk menyelesaikan jenayah ini dan juga jenayah-jenayah yang lain kerana penjenayah-penjenayah ini tidak diberikan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Kita lihat semasa zaman pemerintahan Daulah Islam, terdapat lebih kurang 300 kes sahaja yang dilaporkan selama 1300 tahun daulah Islam memimpin dunia. Ini kerana hukuman yang diberikan kepada penjenayah setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Hukuman yang diberikan bersifat mencegah dan memberi pengajaran menyebabkan masyarakat ketika zaman itu takut untuk melakukan jenayah.

Betapa agungnya sistem Islam dan hukuman yang ditetapkan oleh Allah sehingga dapat mencegah masyarakat daripada melakukan kegiatan jenayah. Berbeza halnya dengan zaman pemerintahan sistem kufur ciptaan barat yang menggunakan hukum ciptaan manusia untuk menghukum penjenayah. Sistem kufur kapitalisme yang rosak gagal menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat bahkan membuatkan masalah tersebut semakin bertambah parah. Hukuman yang dikenakan terhadap pelaku jenayah langsung tidak dapat mencegah pelaku tersebut dan masyarakat di sekitar daripada melakukan kes-kes jenayah.

Masyarakat perlu sedar bahawa sistem kufur ini tidak mendatangkan sebarang manfaat dan kebaikan sedikitpun terhadap masyarakat dan umat Islam khususnya. Sistem kufur yang rosak hanya akan melahirkan masyarakat yang rosak dan semakin tidak bertamadun. Hanya sistem Islam yang dapat memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh umat manusia. Buktinya sudah jelas tercatat dalam lembaran sejarah sepanjang pemerintahan Islam daripada zaman pemerintahan Rasul SAW sehinggalah zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyah.

Ditulis oleh Nurul Shafiqah
Untuk Lajnah I’lamiyah MHTM
29 Januari 2015

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment