Mengenal Sufyan ats-Tsauri

Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Sufyan bin Said bin Masruq bin Habib ats-Tsauri rahimahulLah. Beliau berasal dari Kabilah Tsaur, salah satu daripada Kabilah Mudhar. Beliau lahir pada tahun 97 Hijrah. Beliau belajar dari ayahnya, Said bin Masruq, yang sangat dipercayai ke-tsiqqah-annya dalam kalangan ahli hadis.


Sebagaimana disebutkan dalam kitab Sîrah Sufyan ats-Tsawri, Sufyan semasa remaja diberikan perhatian yang sangat tinggi oleh ayahnya, seorang ahli hadis yang jujur. Ibunya juga berperanan besar memastikan pembelajaran Sufyan. Ibunya pernah berkata kepada Sufyan, “Anakku, carilah ilmu, dan aku akan mencukupi keperluanmu dari hasil memintal benang.”

Ibunya memang berkerja memintal benang. Hasilnya diberikan kepada Sufyan untuk membeli kitab-kitab dan perbelanjaan dia belajar. Suatu hari ibunya pernah berkata kepada Sufyan, “Anakku, jika kamu menulis sepuluh huruf (dalam proses belajarmu, pen.), perhatikanlah, adakah hal itu menambah rasa takutmu (kepada Allah SWT), menambah kemuliaan akhlakmu dan menambah wibawamu? Jika tidak, ketahuilah, bahawa ilmumu tidak berguna sama sekali!”

Dari rumah dengan ibubapa seperti inilah Sufyan ats-Tsauri keluar untuk menuntut ilmu. Sufyan menghabiskan usianya untuk terus menuntut ilmu dan belajar hadis. Sufyan pernah berkata, “Apabila aku hendak menuntut ilmu, aku berkata, ‘Tuhanku, aku tentu perlu pekerjaan, sementara ilmu itu wajib dipelajari. Kerana itu berilah kelapangan kepada diriku untuk mencari ilmu. ’Aku memohon kepada Allah SWT kecukupan (untuk bekalan menuntut ilmu). Aku belajar hadis sejak usia enam tahun.”

Sufyan ats-Tsauri pernah berkata, “Seseorang wajib memaksa anaknya untuk belajar hadis kerana dia akan diminta pertanggungjawaban (jika tidak mengajarkan hadis kepada anaknya).”

Beliau juga pernah berkata, “Aku akan terus menuntut ilmu selama ada orang yang mengajarkan aku. Jika para ahli hadis tidak datang mengajar, aku akan pergi mengunjungi mereka.”

Begitulah semangatnya dalam menuntut ilmu, Sufyan ats-Tsauri sampai berguru kepada 600 orang ulama. Tidak aneh jika beliau menjadi ulama yang menguasai banyak disiplin ilmu. Berkenaan ini, Ibn ‘Uyainah pernah berkata, “Saya tidak melihat seseorang yang lebih memahami perkara halal dan haram daripada ats-Tsauri.”

Al-Mubarak bin Said juga pernah berkata, “Aku pernah melihat ‘Ashim bin Abi al-Nujud—seorang ulama besar ketika itu—mendatangi Sufyan ats-Tsauri untuk meminta fatwa. Dia lalu berkata, “Sufyan, engkau pernah berguru kepada kami saat engkau kanak-kanak. Kini kamilah yang berguru kepada engkau saat engkau sudah dewasa.”

Meskipun demikian, Sufyan ats-Tsauri terus belajar hingga akhir hayatnya. Bahkan ketika beliau sakit kuat, saat itu ada seseorang yang membacakan hadis yang baru beliau dengar. Sufyan lalu mengambil lembaran kertas dari bawah tempat pembaringannya. Beliau lalu menulis hadis tersebut, padahal beliau sedang menghadapi sakaratul maut. Beliau lalu berkata, “Hadis ini bagus sekali. Jika saya berumur panjang, maka saya telah mendengar suatu kebaikan. Jika pun saya bakal wafat, maka saya telah menulis satu kebaikan.”

Sepanjang hidupnya, Sufyan ats-Tsauri membahagi setiap malamnya menjadi dua bahagian. Sebahagian untuk membaca al-Quran dan solat malam. Sebahagian lagi untuk membaca dan menghafal hadis hingga beliau menghafal lebih dari 30 ribu hadis. Kerana itu beliau sering bangun malam hingga waktu subuh.

Selain luar biasa dalam keilmuannya, Sufyan ats-Tsauri juga amat luar biasa dan bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ilmunya. Abdurrahman bin Mahdi pernah berkata, “Saya pernah mendengar Sufyan berkata, ‘Tidaklah sampai kepada diriku satu hadis pun kecuali aku amalkan.’”

Beliau adalah ulama yang sangat bertanggungjawab dan amat takut kepada Allah SWT. Beliau takut berjumpa dengan Allah di akhirat nanti, lalu beliau ditanyakan tentang setiap hadis yang beliau hafal, “Untuk apa kamu menghafal hadis? Apakah kamu mengamalkan hadis-hadis yang kamu hafal?”

Meski seorang ulama yang amat tinggi keilmuannya, Sufyan ats-Tsauri tidak mudah berfatwa. Beliau amat berhati-hati dalam berfatwa. Tentang ini, Ibn Asbath pernah berkata, “Ats-Tsauri pernah ditanya tentang suatu masalah, sementara beliau sedang melakukan transaksi jual-beli. Beliau lalu berkata kepada si penanya, ‘Tolong tinggalkan saya kerana hati saya sedang disibukkan dengan dirham saya sehingga saya khuatir tidak sepenuhnya menjawab pertanyaanmu. Boleh jadi nanti saya salah kerana saya berfatwa dalam keadaan disibukkan oleh perkara jual-beli.’”

Sufyan ats-Tsauri terkenal kerana kezuhudannya. Beliau sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan harta dan kekayaan. Namun, semua itu beliau tinggalkan. Beliau hanya mengusahakan harta yang beliau perlukan dengan cara berniaga sekadar agar tidak meminta-minta kepada manusia. Tentang zuhud, beliau pernah berkata, “Zuhud itu bukan bererti perlu makan makanan yang keras (tidak enak), bukan pula memakai pakaian dari kain kasar. Namun, zuhud itu adalah membataskan angan-angan dan sungguh-sungguh dalam menanti datangnya kematian (dengan banyak beramal).”

Sufyan ats-Tsauri juga dikenali kerana amar makruf nahi mungkarnya. Suja’ bin al-Walid berkata, “Saya pernah menunaikan ibadah Haji dengan Sufyan. Selama dalam perjalanan, lisannya nyaris tidak pernah berhenti melakukan amar makruf nahi mungkar, baik saat pergi mahupun saat pulang Haji. Tanggungjawab lisannya dalam mencegah kemungkaran amatlah besar, terutama kemungkaran yang sulit untuk diubah dengan tangannya. Sufyan ats-Tsauri juga pernah menentang apa yang dilakukan penguasa Abu Ja‘far al-Manshur ketika dia memberi dana kepada dirinya dan para pengikutnya beribadah Haji ke Bait al-Haram dalam jumlah yang sangat besar, yang diambil dari Baitul Mal milik kaum muslim. Dengan sikapnya ini, hampir saja polis al-Manshur membunuh Sufyan.”

Sufyan ats-Tsauri termasuk ulama yang sangat menghindari perbuatan mendekatkan diri dengan penguasa. Hal itu kerana takutnya beliau kepada para penguasa. Beliau pernah berkata, “Aku tidak pernah takut terhadap tindakan buruk penguasa terhadap diriku. Aku takut jika mereka berbuat baik kepada diriku sehingga aku tidak lagi dapat melihat keburukan mereka sebagai hal yang buruk.” (Sîrah Sufyân ats-Tsawrî, t.p., t.t.)

Demikianlah sekilas sebahagian kehidupan Sufyan ats-Tsauri; seorang ulama besar yang amat layak diteladani keilmuan, keperibadian, ibadah dan kezuhudannya.Wa mâ tawfîqi illâ bilLâh.

Oleh: Arief B. Iskandar
Penulis, Aktivis HTI
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment