Perbezaan Tudung Dengan Jilbab

Soalan:
Ustaz, mohon jelaskan apakah perbezaan diantara tudung dan jilbab?

Jawapan:
Pada saat ini, masyarakat umum di Malaysia memanggil jilbab sebagai tudung. Penggunaan istilah jilbab untuk menunjukkan maksud tudung adalah tidak tepat. Kerana sebenarnya terdapat perbezaan diantara tudung dan jilbab.

Tudung dalam Al-Quran disebut dengan istilah “Khumur” (kata majmuk dari khimaar) bukan dengan istilah “jilbab”. Istilah “khumur” terdapat di dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan hendaklah mereka (para wanita) menutupkan kain tudung ke dada mereka.” (Arab : walyadhribna bi-khumurihinna ‘ala juyuubihinna).” (TMQ An Nuur [24] : 31). Imam Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “khimaar” adalah apa-apa yang digunakan untuk menutupi kepala (maa yughaththa bihi ar ra’su)(Tafsir Ibnu Katsir, 4/227). Dengan kata lain, penafsiran dari istilah “khimaar” tersebut jika ditukar ke bahasa Malaysia ertinya adalah tudung. Istilah inilah yang disalah ertikan sebagai “jilbab” oleh masyarakat umum di Malaysia.

Adapun istilah “jilbab” dalam Al-Quran, dalam bentuk majmuknya disebut sebagai “jalaabiib”. Ayat Al-Quran yang menyebut perkataan “jalaabiib” adalah firman Allah SWT yang bermaksud “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke suluruh tubuh mereka.” (Arab : yudniina ‘alaihinna min jalaabibihinna). (TMQ Al Ahzab [33] : 59). Imam Al-Qurthubi berkata “perkataan jalaabiib adalah bentuk jamak dari jilbab, iaitu baju yang lebih besar ukurannya daripada tudung (akbar min al khimar). Diriwayatkan bahawa Ibu Abbas dan Ibnu Mas’ud berpendepat bahawa jilbab bermaksud ar ridaa’ (pakaian jenis jubah/gamis). Ada yang berpendapat bahawa jilbab adalah al qinaa’ (purdah atau niqab). Pendapat yang sahih, jilbab adalah baju yang menutupi seluruh tubuh (al tsaub alladzy yasturu jamii’ al badan).” (Imam Al Qurthubi, Tafsir Al Qurthubi, 14/107)

Dari penerangan Imam Al Qurthubi diatas, jelaslah bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai erti “jilbab”. Memang terdapat satu qaul (pendapat) yang mengatakan “jilbab” adalah “al-qinaa’” yang bermaksud purdah atau niqab (sesuatu yang menutupi wajah, maa yasturu bihi al wajhu) (A.W. Munawwir, Kamus Al Munawwir, halaman 1163; Mu’jam Luqhah Al Fuqaha, halaman 283). Mungkin qaul inilah yang terkenal di Malaysia, sehingga istilah “jilbab” dimaksudkan sebagai tudung. Namun qaul tersebut dianggap lemah oleh Imam Al Qurthubi. Beliau menguatkan pendapat bahawa jilbab itu bukanlah tudung atau purdah, tetapi baju yang menutupi seluruh tubuh (al tsaub alladzy yasturu jamii’ al badan). (Imam Al Qurthubi, Tafsir Al Qurthubi, (14/107)

Pendapat yang inilah rajih (kuat) oleh Imam Qurthubi inilah sebenarnya yang lebih terkenal dalam kitab-kitab tafsir ataupun kamus. Dalam Kamus Al Mu’jamul Wasith, contohnya, disebut bahawa jilbab adalah baju yang menutupi seluruh tubuh (al tsaub al musytamil ‘ala al jasadi kullihi) Jilbab juga diertikan sebagai apa-apa sahaja yang dipakai wanita diatas baju-bajunya seperti milhafah (kot) (maa yulbasu fauqa tsiyaabiha ka al milhafah) (Al Mu’jamul Wasith, halaman 126). Menurut Syekh Rawwas Qal’ah Jie, Jilbab adalah baju longgar yang dipakai oleh wanita diatas baju-bajunya (baju kerja/rumah) (tsaubwasi’ talbasuhu al mar’ah fauqa tsiyaabiha) (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughah Al Fuqaha, halaman 126). Begitu juga menurut Syekh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya At Tafsir Al Munir fi Al Aqidah wa Al Syari’ah wa Al Manhaj, beliau memberikan makna serupa untuk istilah jilbab. Jilbab menurut Syekh Wahbah Zuhaili adalah baju panjang (al mula’ah) yang dipakai oleh perempuan atau baju yang menutup seluruh tubuh (Wahbah Zuhaili, At Tafsir Al Munir, 22/114)

Kesimpulannya, tudung itu berbeza dengan jilbab. Jilbab bukan bererti penutup kepala, tetapi baju labuh yang longgar yang dipakai di atas pakaian rumah. Wallahu a’lam.

Oleh: Ust M Shiddiq Al Jawi

Sumber: MediaUmat

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment