Sebarkanlah Harapan dan Tawakal, Bukan Sikap Putus Asa


Selang beberapa minit dalam sehari, di kaca tv, telefon pintar, dan internet, kita mendapati berita-berita dan video-video terkini mengenai berbagai penindasan yang sedang dihadapi oleh umat Islam. Sama ada di sekitar tempat tinggal kita atau pun di luar negeri. Pembantaian terbaru yang terjadi di Syria, pengungkapan kata-kata kesat terhadap seorang Muslimah di dalam sebuah bas di London, serta dasar politik terkini pemerintah Britain yang sengaja mensasarkan masjid-masjid dan madrasah-madrasah. Rentetan khabar buruk yang terus menerus disebarkan melalui pelbagai medium telah menimbulkan sikap putus asa dalam sebahagian umat lantas memilih untuk berdiam diri atau bahkan sanggup mengubah penampilan dan wajah mereka dari Deen ini. Alasan mereka kerana tidak nampak adanya jalan keluar dari pelbagai ujian yang menimpa dasi segenap sudut.

Ulasan:

Kemampuan media sosial dan berbagai aplikasi telefon pintar untuk mem”forward”kan berbagai berita menyedihkan berkaitan persekongkolan, serangan-serangan, serta pelbagai dasar terkini yang menyerang Islam dan kaum Muslimin, telah menyebabkan sebahagian dalam kalangan umat bersikap putus asa. Bayangkan dalam sehari, ada di antara kita yang menerima terlalu banyak video dan berita-berita negatif yang boleh melumpuhkan semangat kita. Semua itu seolah-olah mempamerkan besarnya kekuatan musuh dan juga ketidakupayaan kita melawan mereka.

Apakah semua ini merupakan tindakan yang disengajakan?

Ketika Nabi ﷺ berada di dalam gua bersama Abu Bakar (ra) semasa peristiwa hijrah, situasi amatlah genting. Kaum Quraisy telah memutuskan untuk memburu dan membunuh baginda. Bayangkanlah orang-orang yang mengejar baginda dan Abu bakar telah berada di depan pintu masuk gua, dan perkara ini benar-benar membuatkan Abu Bakar resah. Namun baginda Rasul tidak pernah menambah kegelisahan Abu Bakar dengan mengatakan bahawa mereka berdua benar-benar akan binasa, atau mereka pasti akan tertangkap, sebaliknya Rasul ﷺ menenangkan sahabatnya untuk tidak berputus asa kerana Allah -Yang Maha Berkuasa- bersama mereka dan akan menolong mereka.

Allah menceritakan kejadian tersebut di dalam Al-Qur’an :

“…di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" [TMQ At-Taubah (9) :40].

Pengajarannya, kita tetap perlu menyampaikan dan menyebarkan berita/perkhabaran tentang pelbagai masalah dan rintangan serta berbagai ujian yang dihadapi umat; namun kita tidak seharusnya melakukan itu sahaja tanpa mengingatkan bahawa Allah Maha Berkehendak, Maha Perkasa, dan Maha Berkuasa untuk menyelamatkan kalian dari apa jua situasi -bahkan ketika kalian tidak dapat melihat jalan penyelesaiannya. Kita juga sepatutnya menyampaikan kisah-kisah positif kaum Muslimin yang menghadapi semua itu, malah ada yang berdiri bangga dengan Deennya meskipun sedang berhadapan dengan ancaman. Maka dengan itu kita akan sentiasa beringat untuk memiliki sikap tawakal (hanya bergantung pada Allah), sabar (sabar dalam kegigihan), serta terus berharap dengan rahmatNya. Inilah yang Rasulullah ﷺ lakukan ketika mengingatkan Abu Bakar di dalam gua, bahawa Allah Swt bersama mereka —dan Dia sentiasa berada di sisi orang-orang beriman.

Oleh kerana itu, marilah kita terus laksanakan apa-apa yang Dia perintahkan, serta berdoa kepada-Nya untuk memudahkan situasi kita dan segera memberikan kemenangan kepada umat ini. Marilah kita menjadi orang-orang yang menyedarkan manusia akan segala rintangan yang ada di hadapan kita, di samping menyebarkan harapan dan bergantung hanya kepada Allah Swt.

“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12) :21].

Ditulis oleh: Taji Mustafa
Wakil Media Hizbut Tahrir Britain
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment