Hizbut Tahrir: Dakwah Islam Pemikiran, Politik, Dan Tanpa Kekerasan


Pendahuluan

Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaannya sebagai sebuah sistem hidup dan sistem hukum meliputi semua perkara yang dihadapi oleh umat manusia. Firman Allah Swt:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ

Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu..” [TMQ An-Nahl (16): 89].

Ini bermakna, apa jua perkara ada hukumnya, dan apa jua masalah, atau apa jua cabaran yang dihadapi oleh umat Islam, akan dapat dipecahkan dan dijawab oleh Deenul Islam.

Kemestian mengikuti syariat Islam, terutama jejak langkah yang pernah ditempuh oleh Rasulullah saw, telah ditegaskan oleh firman Allah Swt:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي

“Katakanlah, ‘Inilah jalan (dakwah)-ku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kalian) kepada (agama) Allah dengan hujjah (bukti) yang nyata..” [TMQ Yusuf (12): 108].

Ayat ini menunjukkan bahawa jalan Rasulullah saw telah benar-benar tegas dan nyata. Masalahnya tinggal, adakah kita mahu mengikuti jalan baginda saw atau tidak.

Oleh kerana itu, sumber sekaligus tolok ukur untuk menentukan jalan yang ditempuh untuk membangkitkan umat, menyedarkan umat, mendidik umat, menerapkan sistem hukum Islam secara menyeluruh, dan mendirikan daulah Islamiyah adalah Al-Quran dan As-sunnah. Langkah-langkah Rasulullah saw merupakan pelaksanaan dan penjelasan yang bersifat ‘amaliy atas kaedah yang perlu ditempuh. Selain daripada kaedah yang dijalankan oleh Rasulullah saw , merupakan kaedah (method) yang batil dan tertolak. Tidak layak dijadikan tolok ukur (standard) dan boleh dipastikan hanya membawa kepada kegagalan.

Sesiapa yang menghuraikan sirah Rasul saw ketika berjuang untuk menegakkan Islam sehingga berjaya di Madinah akan menemui tiga ciri dakwah Islam yang wajib diikuti. Ketiga-tiga ciri tersebut adalah pemikiran (fikriyah), politik (siyasiyah) dan tanpa kekerasan (la maaddiyah). Rasulullah saw tidak menggunakan apa jua kekerasan sejak diutus sebagai Rasul di Mekah sehingga mendapat kekuasaan di Madinah. Baginda saw menghadkan diri kepada pergolakan pemikiran (shira’ul fikriy) dan perjuangan politik (kifah siyasiy).

Membina Masyarakat Islam Tanpa Kekerasan

Sebahagian umat Islam menganggap bahawa metod untuk melakukan perubahan masyarakat dengan jalan menegakkan daulah Islamiyah yang akan menerapkan sistem syariat Islam secara menyeluruh, adalah dengan jalan kekerasan (fizikal). Salah satu hujah yang dikemukakan adalah hadith dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i yang berkata :

سَمِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ يَقُوْلُ:… وَشِراَرُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِيْنَ تُبْغَضُوْنَهُمْ وَيُبْغَضُوْنَكُمْ، قاَلَ: قُلْناَ ياَرَسُوْلَ اللهِ: أَفَلاَ نُناَبِذُهُمْ عِنْدَ ذلِكَ؟ قاَلَ: لاَ، ماَ أَقاَمُوْا فِيْكُمُ الصَّلاَةَ

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:…Sebaliknya, seburuk-buruk pemimpin kalian adalah orang-orang yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian…’ Kami bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah kami perlu mengangkat senjata (pedang) ketika ia berlaku?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat.” [HR Muslim].

Maksud menegakkan solat adalah melaksanakan sistem hukum Islam. Menunjuk hujah ini, mereka berpandangan bahawa apabila seorang penguasa sudah tidak peduli lagi dengan pelaksanaan sistem hukum Islam, malah digunakan sistem hukum kufur –yang bertentangan dengan Islam-, maka dibolehkan mengangkat senjata (pedang) untuk menghadapi penguasa tersebut.

Bila kita melihat, tahqiqul manath (fakta objektif penerapan dalil tersebut) hadith di atas menyoroti penguasa (khalifah) yang ada di dalam Dar al-Islam (Daulah Islamiyah), yang dibai’at mengikut bai’at syar’iy. Daulah Islamiyah itu sendiri adalah institusi negara dan kepimpinan umum umat Islam sedunia yang diperintah berdasarkan sistem hukum Islam, dan keamanannya adalah sepenuhnya di tangan umat Islam. Apabila penguasa (khalifah) itu melakukan kesalahan dalam menerapkan hukum Allah dengan mengabaikan, atau bahkan memerintah umat Islam dengan hukum-hukum kufur, maka umat Islam dibolehkan untuk memeranginya (melakukan perubahan secara fizikal). Pada keadaan seperti inilah hadith di atas diterapkan. Iaitu dalam format Daulah Islamiyah yang sebelum ini telah menerapkan sistem hukum Islam, kemudian berlaku penyelewengan hukum-hukum Islam. Ini adalah tahqiqul manath dari hadith diatas.

Ia tidak terpakai di Dar al-Kufr, iaitu negara yang tidak menerapkan secara mutlak syariat Islam walaupun penduduknya muslim, dan/atau keamanannya tidak berada di tangan umat Islam. Penguasadi Dar al-Islam (khalifah) sudah pasti amat berbeza realitinya dengan penguasa yang ada di Dar al-kufr. Para penguasa –walaupun mereka itu muslim- yang ada pada hari ini adalah orang-orang yang tidak menjalankan sama sekali sistem hukum Islam, bahkan berpijak pada sistem hukum kufur. Mereka bukanlah Imam atau khalifah bagi seluruh umat Islam di dunia. Malah, mereka umumnya menolak institusi Khilafahatau daulah Islamiyah. Keadaan sedemikian adalah sama dengan keadaan kota Mekah ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya menjalankan dakwah, mendidik masyarakat, dan berusaha untuk menegakkan daulah Islamiyah. Rasulullah saw ketika itu hidup di Mekah yang merupakan Dar al-Kufur. Dan waktu itu Rasulullah saw bersama sahabatnya tidak menggunakan kekerasan/fizikal dalam perjuangan mewujudkan syariat Islam di tengah-tengah kehidupan.

Tidak ada satu peristiwa pun selama Rasulullah saw menjalankan aktiviti dakwahnya di kota Mekah yang dapat dijadikan hujah untuk membolehkan penggunaan metod fizikal/kekerasan dalam menerapkan syariat Islam melalui penubuhan daulah Islamiyah. Memang, dalam menghadapi tindakan keras orang-orang Quraisy, pernah muncul keinginan para sahabat untuk menggunakan kekerasan/senjata. Mereka memohon kepada Rasulullah saw. Untuk mengizinkannya. Tetapi Rasulullah saw. menghalang keinginan mereka seraya bersabda (lihat Ahmad Mahmud, Dakwah Islam, terj. 121):

«إِنِّيْ أُمِرْتُ بِالْعَفْوِ، فَلاَ تُقَاتِلُوا الْقَوْمَ»

“Aku diperintahkan untuk menjadi seorang pemaaf. Oleh kerana itu, jangan memerangi kaum itu.” [HR Ibnu Abi Hatim, An Nasai, dan Al Hakim].

Bahkan ketika Rasulullah saw. telah mendapatkan baiat dari orang-orang Ansar di Aqobah dan mereka meminta izin kepada rasul untuk memerangi orang-orang Quraisy di Mina, baginda saw. menjawab: “‘Kami belum diperintahkan untuk (aktiviti) itu, maka kembalilah kalian kepada haiwan-haiwan tunggangan kalian. Dikatakan, ‘Maka, kami pun kembali ke peraduan kami, kemudian tidur sehingga tiba waktu subuh.” (Sirah Ibnu Hisyam bi Syarhi al-Wazir al-Maghribi, jilid I/305)

Selepas baginda dan umat Islam berhijrah ke kota Madinah, dan mendirikan peradaban baru di sana, sekaligus membina daulah Islamiyah, Allah Swt mengizinkan dan memerintahkan umat Islam untuk melaksanakan pelbagai aktiviti fizikal (ketenteraan) untuk menentang kuasa-kuasa kufur mahupun untuk membuka daerah-daerah kufur supaya tunduk di bawah kekuasaan daulah Islamiyah (Darul Islam). Firman Allah Swt:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya.” [TMQ Al-Hajj (22): 39].

Ayat ini diturunkan selepas baginda berhijrah ke Madinah dan menjadi ketua negara di sana, dan kemudian baginda dengan segera selepas itu mempersiapkan dan membina kekuatan tentera.

Di samping itu, realiti menunjukan bahawa perubahan di tengah-tengah masyarakat tidak boleh dilakukan dengan cara menghancurkan wasilah ataupun simbol-simbol kekufuran, kemaksiatan dan kejahiliyahan secara fizikal. Sebab, pemahaman, pemikiran, dan ideologi yang jelas sesat dan kufur, yang ada di dalam benak sebahagian besar masyarakat tidak dapat dimusnahkan dengan kekuatan fizikal, melainkan dengan mengubah pemikiran, perasaan dan keyakinan masyarakat dengan Islam sehingga wujud kehendak masyarakat untuk mengubah sistem hidup usang yang sedang berlangsung digantikan dengan syariat Islam. Bila rakyat telah menghendakinya, dan pendapat umum untuk menerapkan syariat Islam telah terbentuk niscaya tidak ada yang dapat menghalangnya.

Dengan demikian, sebuah jamaah, parti politik Islam, harakah, dan seumpamanya tidak dibenarkan melakukan aktiviti fizikal (kekerasan/ketenteraan) dalam usahanya untuk menegakkan daulah Islamiyah yang akan menerapkan secara menyeluruh keseluruhan sistem hukum Islam. Sebab, Rasulullah saw tidak mencontohkannya.

Transformasi Masyarakat Melalui Pemikiran Islam

Pemikiran Islam adalah setiap pemikiran yang digali dari Islam. Pemikiran Islam mencakup pemikiran tentang akidah dan pemikiran tentang syariat (sistem hukum). Perubahan pemikiran dengan Islam bermaksud mengubah akidah masyarakat menjadi akidah Islam, dan peraturannya menjadi peraturan Islam.

Sejak diutus, Rasulullah saw membuat perubahan pemikiran dalam diri bangsa Arab pada masa itu. Pemikiran Lâ ilâha illallâh yang baginda saw tanamkan mengubah mereka yang sebelum ini menyembah patung beralih kepada menyembah Allah Swt semata-mata. Rasulullah telah mengubah pandangan mereka tentang kehidupan, dari cara pandang yang dangkal menuju cara pandang yang mendalam lagi jernih yang merupakan cermin dari akidah Islam. Pandangan mereka tidak terhad kepada dunia, tetapi menembusi negeri akhirat. Rasulullah saw mengubah pemikiran masyarakat bahawa Allah Swt tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Nya.

Ikatan-ikatan kepentingan, kesukuan, dan patriotisme berubah menjadi ikatan ideologi yang memandang semua orang mukmin bersaudara laksana satu tubuh. Juga, melalui penanaman pemikiranakidah dan syariat Rasulullah berjaya mengubah standard aktiviti kehidupan masyarakat dari manfaat-egoisme kepada standard halal-haram, dari hawa nafsu kepada wahyu. Masyarakat Arab pra Islam yang sebelum ini membina hubungan kenegaraan di atas kepentingan material, kesombongan dan ketamakan menjadi tegak di atas asas penyebaran akidah dan syariat Islam dan membawanya kepada semua manusia.

Begitu juga, pemikiran Islam yang ditanamkan Rasul tentang kehidupan setelah dunia telah mengubah persepsi tentang kebahagiaan pada diri umat, dari sekadar memenuhi nafsu syahwat dengan semua kenikmatan dunia beralih kepada mencari reda Allah Swt. Nampaklah umat Islam yang dibina oleh Nabi tidak takut pada kematian, dan berharap mati syahid di jalan Allah Swt.

Sebab, mereka memahami bahawa dunia ini hanyalah jalan menuju akhirat. Demikianlah, melalui pemikiran Islam sama ada berupa akidah mahupun syariah, Rasullah saw berjaya membentuk pemahaman, standard dan keyakinan masyarakat ketika itu menjadi Islam sehingga terwujudnya daulah Islamiyah di Madinah.

Selain itu, banyak sekali nas-nas Al Quran dan perbuatan Nabi yang menunjukkan adanya pergolakan pemikiran (shirâ’ul fikriy) untuk menentang ideologi, peraturan dan idea kufur. Juga, baginda menentang akidah yang rosak, idea-idea yang keliru dan pemahaman yang rancu. Baginda melakukannya dengan cara menjelaskan kepalsuan, kesalahan dan pertentangannya dengan Islam untuk memurnikan dan menyelamatkan masyarakat dari idea-idea tersebut, serta dari pengaruh dan kesan buruknya. Antaranya, Rasulullah saw menyampaikan firman Allah Swt:

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ
أَنْتُمْ لَهَا وَارِدُونَ

“Sesungguhnya kalian dan apa yang kalian sembah selain Allah adalah umpan neraka jahannam” [TMQ Al Anbiya (21): 98].

Terhadap mereka yang menipu dalam takaran dan timbangan, Al Quran mengancam mereka dengan menyatakan:

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ% الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ% وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi, dan apapbila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [TMQ Al Muthaffifin (83): 1 – 3].

Demikianlah, Rasulullah saw mencontohkan sentiasa menanamkan pemikiran Islam dan melakukan pergolakan pemikiran terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Hizbut Tahrir –sebagai bentuk ketundukan kepada Rasulullah saw– memandang wajib melakukan perubahan masyarakat melalui pemikiran Islam yang disampaikan secara terbuka kepada masyarakat. Iini dilakukan dengan pengajian-pengajian di masjid, ceramah umum, dialog, diskusi umum, atau kajian di tempat pertemuan lain. Begitu juga dilakukan dengan menggunakan wasilah media massa, buku, booklet, dan sebagainya.

Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesedaran umum dalam masyarakat supaya dapat berinteraksi dengan umat sekaligus menyatukannya dengan Islam. Melalui perubahan pemikiran tidak islami menjadi pemikiran Islam diharapkan terjadi perubahan masyarakat yang rosak di negara-negara umat Islam sekarang ini menjadi masyarakat Islam. Di samping mengubah perasaan yang tidak islami di dalam masyarakat yang ada menjadi perasaan yang islami sehingga ia akan redaerhadap apa yang diredai Allah dan Rasul-Nya, serta akan marah dan benci terhadap apa yang dimurkai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hal ini akan mendorong umat Islam yang telah dicerahkan oleh pemikiran Islam untuk sama-sama mencerahkan dan membangkitkan umat dengan Islam, dan kemudian mengubah hubungan yang tidak islami yang berlaku di antara mereka menjadi hubungan yang didasarkan pada Islam berdasarkan syariat Islam, dan mengembalikan pelaksanaan syariat Islam serta menyatukan umat Islam seluruh dunia di bawah naungan Khilafah Islamiyah.

Transformasi Masyarakat Melalui Aktiviti Politik

Secara umum, politik adalah memelihara urusan umat (As siyâsah hiya ri’âyatu syu`ûnil ummah). Sedangkan politik Islam bermaksud memelihara dan mengatur urusan masyarakat dengan hukum-hukum Islam dan diselesaikan mengikut syariat Islam. Sirah Rasul saw dan banyak ayat Al Quran menunjukkan bahawa aktiviti dakwah baginda merupakan aktiviti yang bersifat politik. Baginda dalam semua aktivitinya sentiasa memerhatikan dan memelihara urusan masyarakat supaya sesuai dengan hukum-hukum syarak yang diturunkan Allah Swt. Antara aktiviti politik yang baginda dan sahabatnya lakukan adalah:

1. Mendidik masyarakat dengan tsaqofah Islam supaya mereka dapat menyatu dengan Islam, supaya mereka terbebas dari akidah yang rosak, pemikiran yang salah, dan dari pemahaman yang keliru serta pengaruh idea-idea dan pandangan kufur. Setiap kali berjumpa dengan orang lain, Rasulullah selalu menawarkan Islam kepada mereka. Baginda saw mengirim para sahabat untuk mengajarkan al Quran kepada orang-orang yang baru memeluk Islam. Baginda mengutus Khabab bin al-Art untuk mengajar al Quran kepada Zainab bin al-Khathab dan Sa’id, suaminya. Begitu juga baginda menetapkan rumah Al Arqam bin Abil Arqam sebagai markas dakwah. Baginda membina mereka. Setiap sahabat pun terus menyebarkan dan membina orang yang menganut Islam. Demikianlah aktiviti pembinaan yang terus dilakukan Rasulullah.

2. Pergolakan pemikiran yang nampak dalam penentangannya terhadap pemikiran dan sistem kufur, pemikiran yang keliru, akidah yang rosak, dan pemahaman yang sesat dengan cara menjelaskan kerosakannya, menunjukkan kekeliruannya serta menjelaskan hukum Islam dalam masalah tersebut. Selain ayat-ayat yang sudah dipaparkan di atas, juga ada ayat-ayat yang menyerang kemusyrikan mereka, seperti firman Allah Swt:

وَجَعَلُوا ِللهِ شُرَكَاءَ الْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ وَخَرَقُوا لَهُ بَنِينَ وَبَنَاتٍ بِغَيْرِ عِلْمٍ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يَصِفُونَ

“Mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sebagai sekutu bagi Allah, padahal Allah Yang menciptakan jin-jin itu. Mereka berbohong—dengan mengatakan bahawa Allah mempunyai anak lelaki dan perempuan—tanpa mendasarkan pada ilmu pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka nisbatkan." [TMQ al-An‘âm (6): 100].

Dalam bidang sosial, Allah Swt. antara lain berfirman:

وَلاَ تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِتَبْتَغُوا عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

“Janganlah kalian memaksa hamba-hamba wanita kalian untuk melakukan pelacuran—sedangkan mereka sendiri menginginkan kesucian—dengan tujuan untuk meraih keuntungan duniawi." [TMQ an-Nur (24):33].

Sementara itu, berhubung dengan masalah ekonomi, Allah Swt. antara lain berfirman:

وَمَا ءَاتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلاَ يَرْبُو عِنْدَ اللهِ

“Apa yang kalian berikan berupa riba untuk tujuan menambah harta-kekayaan manusia tidaklah menambah apa pun di sisi Allah.” [TMQ ar-Rum (30): 39].

3. Penentangan terhadap penguasa yang menerapkan hukum kufur dan membongkar makar mereka. Allah SWT mendedahkan konspirasi ini kepada Rasulullah saw. dalam firman-Nya:

إِنَّهُ فَكَّرَ وَقَدَّرَ
قُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ
 ثُمَّ قُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ
 ثُمَّ نَظَرَ
 ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ
 ثُمَّ أَدْبَرَ وَاسْتَكْبَرَ
 فَقَالَ إِنْ هَذَا إِلاَّ سِحْرٌ يُؤْثَرُ
 إِنْ هَذَا إِلاَّ قَوْلُ الْبَشَرِ
 سَأُصْلِيهِ سَقَرَ

“Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan. Celakalah dia, bagaimana dia menetapkan? Celakalah dia, bagaimanakah dia menetapkan? Kemudian dia memikirkan, lalu dia bermuka masam dan berkerut. Dia kemudian berpaling (dari kebenaran) dan menyombongkan diri. Seterusnya dia berkata, “(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang dahulu). Ini tidak lain hanyalah perkataan manusia.”Aku akan memasukkannya ke dalam neraka Saqar." [TMQ al-Mudatstsir (74): 18-26].

Para pemimpin Quraisy itu pun satu persatu dilucutkan jati diri mereka oleh al Quran (lihat Ahmad Mahmud, Dakwah Islam, hal 119-120). Tentang Abu Lahab, Allah SWT berfirman:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ

“Binasalah kedua-dua tangan Abi Lahab…” [TMQ al-Lahab (111): 1].

Tentang penguasa Bani Makhzum, Walid bin Al Mughirah, Allah SWT berfirman:

ذَرْنِي وَمَنْ خَلَقْتُ وَحِيدًا وَجَعَلْتُ لَهُ مَالاً مَمْدُودًا

“Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian. Dan Aku jadikan baginya harta benda yang banyak.” [TMQ Al Muddattsir (7): 11-12].

Terhadap Abu Jahal, Allah SWT berfirman:

كَلاَّ لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعَنْ بِالنَّاصِيَةِ% نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ

“Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti niscaya Kami tarik ubun-ubunnya, iaitu ubun-ubun yang mendustakan lagi derhaka.” [TMQ al-’Alaq (96): 15-16].

Berdasarkan hal ini, dalam konteks kekinian, aktiviti politik yang dilakukan dalam usaha penerapan syariat Islam adalah perjuangan dan berinteraksi dalam lapangan politik untuk membongkar rancangan jahat negara-negara besar yang memiliki pengaruh dan dominasi di negara-negara umat Islam untuk membebaskan umat dari belenggu penjajahan dan dominasinya serta mencabut akar-akarnya sama ada dalam bidang pemikiran, kebudayaan, politik, atau ketenteraan sekaligus mencabut perundangan mereka dari negeri-negeri umat Islam. Juga, melakukan muhasabah terhadap penguasa dengan mengungkap pengkhianatan mereka terhadap umat dan persekongkolan mereka dengan negara-negara kafir, mengkritik dan mengawal mereka. Hizbut Tahrir berusaha melakukan aktivitinya mengikut contoh Rasulullah saw. Oleh kerana itu, dakwah yang dilakukan bersifat pemikiran, politik dan tanpa kekerasan.

Menapaki kekuasaan Melalui Talabun Nusrah

Setelah kita memahami bahawasanya perjuangan untuk menerapkan sistem hukum Islam –yang dilakukan suatu jamaah/harakah/kutlah dakwah- perlu dilakukan secara menyeluruhs dan tanpa melalui cara-cara fizikal (kekerasan/ketenteraan), muncul pertanyaan, bagaimana caranya untuk sampai ke tahap kekuasaan atau pemerintahan? Terutamanya jika umat dalam keadaan beku dan dikongkong oleh kekuasaan yang menolak syariat Islam. Sebab, penerapan sistem hukum Islam secara menyeluruh perlu berada dalam format institusi negara (kekuasaan), iaitu daulah Islamiyah.
Rasulullah saw telah memberikan kepada kita segala langkah yang memungkinkan untuk mencapai tahap kekuasaan/pemerintahan. Langkah-langkah Rasulullah saw yang begitu intensif dan dilakukan secara terus menerus sehingga memperoleh kejayaan, menunjukkan bahawa apa yang dijalankan oleh baginda merupakan metod (manhaj/thariqah), bukan sekadar cara (uslub). Dan setiap orang yang bergerak dalam aktiviti dakwah, yang menghendaki pada usaha penerapan sistem hukum Islam secara menyeluruh melalui format daulah Islamiyah, wajib memahami dan mengambil langkah-langkah Rasulullah saw ini. Metod ini dipanggil talabun Nusrah (seruan untuk memperoleh pertolongan/perlindungan).

Talabun Nusrah dilakukan oleh Rasulullah saw. selepas gangguan terhadap baginda semakin keras, iaitu selepas kewafatan bapa saudara baginda saw. Abu Thalib. Baginda pergi ke kota Thaif untuk meminta pertolongan dan perlindungan dari Bani Tsaqif, dengan harapan mereka mahu menerima seruan baginda. Ketika sampai di kota Thaif, baginda menemui sekumpulan pemimpin dan orang-orang terkemuka dari Bani Tsaqif. Baginda mengajak mereka (untuk beriman) kepada Allah. Baginda juga menyatakan maksud kedatangannya untuk meminta perlindungan dan pembelaan mereka kepada Islam, supaya mereka berdiri di pihak baginda dalam menghadapi sesiapa sahaja dari kaumnya yang menentang baginda. Namun mereka menolak. Sekembalinya baginda ke kota Mekah -ketika musim Haji- baginda menemui kabilah-kabilah Arab yang hadir di kota Mekah. Baginda mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan menyampaikan kepada mereka bahawa baginda adalah Nabi yang diutus untuk mereka. Baginda meminta mereka untuk membenarkan sekaligus melindung baginda.

Fenomena ini menjelaskan bahawa Rasulullah saw menempuh manhaj baru yang belum pernah baginda lakukan sebelum ini. Baginda mengkhususkan dakwah untuk mendapatkan perlindungan dari kumpulan-kumpulan yang mempunyai keupayaan untuk memberikan perlindungan. Dengan kata lain baginda menambahkan aktiviti dakwah pada Islam, dengan dakwah untuk mendapatkan perlin¬dungan terhadap dakwah Islam. Fokus dakwahnya ditujukan pada kelompok-kelompok yang kuat untuk mendapatkan perlindungan. Baginda terus berusaha mewujudkan perlindungan untuk dakwahnya, sejak baginda kembali dari kota Thaif hingga perlindungan tersebut diterima dari penduduk kota Madinah.

Aktiviti untuk mendapatkan perlindungan bagi dakwahnya ini merupakan rangkaian dari hukum-hukum syarak yang berkaitan tata cara menyampaikan dakwah supaya memperoleh perlindungan dari ancaman musuh-musuhnya. Sekaligus merupakan penjelasan mengenai tata cara mendirikan daulah Islamiyah.

Dari kajian terhadap sirah ketika baginda memulai manhaj baru ini diperolehi hal-hal seperti berikut:

1. Rasulullah saw tidak mencari pelindung/pertolongan kecuali setelah gangguan kepada baginda semakin keras, iaitu setelah bapa saudara baginda Abu Thalib meninggal dunia. Rasulullah saw. pernah bersabda: “Orang-orang Quraisy tidak pernah melakukan apa yang aku benci sehingga Abu Thalib meninggal” (Sirah Ibnu Hisyam bi Syarhi al-Wazir al-Maghribi, jilid I/282). Kerasnya gangguan itulah yang mendorong baginda untuk mencari jamaah/ kelompok yang mahu masuk Islam dan melindungi dakwah.

2. Orang-orang kafir Mekah yang sebelum ini bersikap keras terhadap dakwah Rasulullah mengajak kepada Islam, bersikap lebih keras lagi ketika mengetahui Rasulullah memulakan dakwah kepada jamaah/kelompok untuk melindungi dakwah baginda. Ibnu Hisyam berkata, Kemudian Rasulullah kembali ke Mekah. Sedangkan kaumnya bersikap lebih keras kepada baginda dalam menentang dan meninggalkan agama baginda (ibidem, jilid I/285).

3. Para sahabat baginda sedikit jumlahnya dan merupakan orang-orang yang lemah, sehingga mereka tidak mampu melindungi dakwah. Berkata Ibnu Hisyam, Kecuali sedikit (orang) yang lemah dari orang-orang yang beriman kepadanya (ibidem, jilid I/285). Mereka adalah orang-orang yang lemah dan tidak ada di antara mereka jamaah/kelompok yang mampu melindungi dakwah. Sekalipun ada diantara mereka peribadi-peribadi yang kuat secara individual, seperti Hamzah dan Umar.

4. Rasulullah saw mencari pertolongan (talabun Nusrah) kepada jamaah/kelompok yang kuat dan memiliki kemampuan untuk melindungi dakwah, bukan kepada individu, bukan pula pada jamaah/kelompok yang lemah. Kalaupun baginda meminta pertolongan/perlindungan kepada indivi¬du-individu, individu tersebut dianggap sebagai perwakilan dari jamaah/kelompok. Baginda meminta pertolongan dari Bani Tsaqif, kerana Bani Tsaqif adalah kabilah yang kuat. Disamping itu baginda juga meminta pertolongan daripada sekelompok orang dari kabilah Kilab, yang juga merupakan jamaah/kelompok yang kuat. Demikian juga kepada bani Hanifah.

Baginda juga minta pertolongan daripada Suwaid bin Shamit, yang merupakan tokoh terhormat dari kaumnya. Ibnu Hisyam berkata, Rasulullah berada di tempat-tempat istirehat para kabilah Arab (pada musim Haji) kemudian baginda bersabda, Hai Bani Fulan Aku ini adalah Rasul Allah (yang diutus) kepada kalian…(ibidem, jilid I/285) dan seterusnya. Dan Ibnu Hisyam berkata lagi, Itulah yang dilakukan Rasulullah saw setiap kali menemui orang-orang (para kabilah Arab). Ketika orang-orang berkumpul pada musim Haji, baginda mendatangi dan menyeru mereka untuk beriman kepada Allah dan kepada Islam, serta menawarkan diri baginda (untuk dilindungi) pada mereka dan menjelaskan (pada mereka) hal-hal yang baginda bawa dari Allah, berupa petunjuk dan rahmat. Dan apabila baginda mendengar seorang ternama dan terhormat datang ke Mekah, pasti baginda mendatanginya dan menyerunya kepada Allah, dan menawarkan Islam kepada mereka. Semua ini menunjukkan bahawa talabun Nusrah hanya diminta pada jamaah/kelompok yang kuat.

5. Bahawa Rasulullah saw meminta kepada jamaah/ kelompok yang kuat itu dua perkara pada masa yang sama, yang pertama masuk Islam dan berpegang teguh kepadanya; kedua melindungi dakwah dan menolongnya. Ibnu Hisyam berkata, Rasulullah berada di tempat istirehat kabilah-kabilah Arab dan baginda bersabda kepada mereka, Wahai Bani Fulan sesungguhnya aku ini adalah Rasul Allah pada kalian, yang memerintahkan kalian supaya kalian menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa sahaja, dan meninggalkan apa yang kalian sembah selain Dia. Iaitu, beragam sembahan ini. Hendaklah kalian beriman kepadaku, membenarkan aku, dan melindungi aku sehingga aku (mampu) menyampaikan dari Allah apa-apa yang aku diutus dengannya (ibidem, jilid I/285).

Maka adalah suatu kemestian untuk aktiviti talabun Nusrah dan mencari perlindungan terhadap dakwah memenuhi dua syarat, iaitu:

1. Hendaknya talabun Nusrah diminta daripada sebuah jamaah, sama ada diminta dari jamaahnya secara langsung atau dari individu yang merupakan perwakilan dari jamaah tersebut.

2. Hendaknya jamaah/kelompok tersebut diduga kuat mempunyai keupayaan untuk menolong dan melindungi dakwah.

Pada ketika yang lain sepulangnya dari Thaif, Rasulullah saw menawarkan dirinya pada sekelompok orang dari kabilah Kilab yang dikenali sebagai Bani Abdillah. Orang-orang ini dianggap sebagai kelompok kuat dalam sebuah negara. Ibnu Hisyam berkata dari nabi saw, Bahawa baginda mendatangi kabilah Kilab di tempat-tempat istirehat mereka, yang dikenali sebagai Bani Abdillah. Kemudian Rasulullah menyeru mereka supaya beriman kepada Allah Swt dan menawarkan diri baginda pada mereka. Bahkan sampai berkata pada mereka, Ya Bani Abdillah, sesungguhnya Allah azza wajalla telah memberi kebaikan kepada nama bapa kalian (ibidem, jilid I/286).

Rasulullah saw juga menawarkan dirinya kepada bani Amr bin Sa’sa’ah, dan meminta mereka untuk melindunginya dan berdiri di pihak baginda dalam menghadapi orang-orang Quraisy serta membawa baginda ke kampung halaman mereka. Mereka bersedia memberikan perlindungan dan pertolongannya dengan meminta syarat kepada Rasulullah saw. Tetapi baginda saw menolak dengan tegas syarat tersebut.

Rasulullah berbicara dengan utusan yang datang dari Madinah ke kota Mekah yang merupakan sekutu kepada Quraisy. Mereka dipimpin oleh Abu al-Haisar dan Anas bin Rafi’. Turut menyertai mereka sekelompok orang dari Bani Asyhal, termasuk Iyas bin Mu’adz. Mereka merupakan perwakilan dari kabilah Khazraj yang merupakan jamaah yang kuat di Madinah. Kemudian Rasulullah berbicara dengan sekelompok pemuka Khazraj yang berjumlah 6 orang. Mereka mengambil tugas untuk meyakinkan kaumnya. Sehingga pertolongan/perlin¬dungan (Nusrah) diperolehi melalui mereka.

Pada pertemuan berikutnya terjadilah peristiwa bai’at aqabah yang pertama. Lalu baginda mengirimkan Mush’ab bin Umair ke kota Madinah untuk membina orang-orang yang telah memeluk Islam, menyebarluaskan risalah Islam di kota itu, meraih sokongan dari tokoh-tokoh kabilah, dan menyediakan asas masyarakat untuk membina peradaban Islam dalam format daulah Islamiyah. Pada tahun berikutnya datang tujuh puluh tiga laki-laki dan dua orang wanita dari kota Madinah. Mereka bersedia memberi kesetiaan hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, serta bersedia untuk membela dan memperjuangkan risalah Islam dari sasaran musuh-musuh Islam dan umat Islam.Peristiwa tersebut dikenal sebagai bai’at aqabah kedua.

Belum genap setahun, Rasulullah saw dan sebahagian besar umat Islam melaksanakan hijrah ke kota Madinah. Di sanalah baginda saw secara de facto memperoleh kepimpinan dan kekuasaan. Dengan demikian metod talabun nusroh yang sebelum ini baginda lakukan secara terus menerus terhadap pelbagai kabilah kuat (seperti yang dilakukannya terhadap kabilah Tsaqif, kabilah Kindah, kabilah Hanifah, kabilah Amr bin Sa’sa’ah hingga kepada kabilah Khajraj dan Aus) telah berjaya diraih, dengan memperoleh perlindungan dan pertolongan dari penduduk Khazraj dan Aus yang berasal dari kota Madinah.

Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa talabun Nusrah mencakup setiap jamaah/kelompok yang diduga kuat (secara politik) memiliki kemampuan untuk membantu dakwah, sama ada berbentuk sebuah negara atau sebuah jamaah/kelompok dalam suatu negara.

Berdasarkan hal ini nusroh boleh ditawarkan kepada suatu jamaah/kelompok yang berupa suatu negara. Yang penting negara itu merdeka dan tidak dalam dominasi kekuasaan orang-orang atau negara kafir. Atau sekelompok perwira ketenteraan (seperti panglima dan ketua-ketua staf angkatan) yang mempunyai pengaruh. Atau seorang pemimpin yang mempunyai pengaruh di suatu negeri (seperti ketua negara dan perdana menteri). Atau sekelompok orang dari sebuah jamaah/kelompok yang kuat dari suatu kabilah atau parti politik terbesar, yang mampu memikul tugas untuk mendapatkan pertolongan dari kaum atau jamaah mereka.

Khatimah

Inilah hal-hal yang boleh difahami dari kajian terhadap sirah Rasulullah saw dan kajian terhadap realiti dakwah pada masa ini. Oleh kerana itu, menjadi suatu kemestian untuk mengikuti manhaj baginda saw. dalam perjalanan dakwah, sebagai sebuah hukum yang berasal dari Rasulullah saw. Dan inilah manhaj/metod yang dicontohkan oleh Rasulullah saw untuk menapaki kekuasaan ketika masyarakat tengah dikongkong oleh sistem yang kufur, iaitu melalui jalan pemikiran, politik, dan tanpa kekerasan disertai talabun Nusrah dan sokongan umat. Allah SWT berjanji untuk menolong orang-orang mukmin yang berpegang teguh pada syariat-Nya. Dia SWT berfirman:

وَلَيَنْصُرَنَّ اللهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa” [TMQ Al Hajj 40].

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي اْلأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي
لاَ يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [TMQ An Nuur 55].
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment