Imam Syafi'i

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-’Abbas bin ‘Uthman bin asy-Syafi’i bin as-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muthallib bin ‘Abdi Manaf. Dengan demikian nasabnya bersambung kepada Abdu Manaf, nenek moyang Nabi SAW.


Meskipun nenek moyangnya suku Quraisy di Makkah, beliau tidak lahir di Mekah, kerana bapanya, Idris, merantau ke Syam. Beliau dilahirkan di ‎Gaza (Palestin) pada tahun 150 Hijriah, tahun kewafatan Imam Abu Hanifah.

Sejak berusia dua tahun beliau menjadi anak yatim. Ibunya kemudian membawanya ke kampung halaman di Mekah. Sejak zaman kanak-kanak, walaupun hidup dalam kemiskinan, beliau tak berputus asa dalam menimba ilmu. Beliau sering mengumpulkan serpihan tembikar, potongan kulit, pelepah kurma dan tulang unta untuk digunakan untuk menulis.

Dalam aktiviti keilmuannya, Imam al-Baihaqi, berkata, “Imam Syafi’i memulakan aktiviti keilmuannya dengan mempelajari syair, sejarah dan kesusasteraan. Selepas itu beliau menekuni fikih.” Imam Syafi’i rahimahulLâh membahagi waktu malamnya menjadi tiga: satu pertiga untuk menulis, satu pertiga untuk solat malam dan satu pertiganya untuk berehat.

Sejak di Mekah Imam Syafi’i telah menghafal al-Quran ketika berusia 7 tahun dan menghafal kitab Al-Muwattha’ karya Imam Malik ketika berusia 10 tahun. Itu pun hanya mengambil masa 9 hari ketika beliau hendak belajar dari Imam Malik di Madinah . Kemudian pada usia 15 tahun beliau sudah mendapat ijazah untuk berfatwa dari gurunya.

Imam Syafi’i juga merupakan imam dalam lughah (bahasa). Tentang ini, Ibnu Hisyam (pengarang Sirah Nabawiyah) berkata, “Syafii adalah hujjah dalam bahasa Arab”

Imam ‎Syafii juga adalah seorang penyair. Koleksi syair atau puisinya dibukukan dalam kitab Dîwân al-Imâm asy-Syâfi’i (Antologi Puisi Imam Syafi'i).

Mungkin kita, generasi umat Islam di zaman ini tidak akan dapat menandingi kehebatan Imam Syafi’i, tetapi sekurang-kurangnya dengan mengetahui biografi Imam Syafi’i ini kita selalu terdorong untuk mengikuti jalan yang beliau tempuh dalam mengkaji dan memperjuangkan agama Islam. Semoga Allah SWT merahmatinya.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment