Kaedah adh-Dharurat Tubihu al-Mahzhurat

بسم الله الرحمن الرحيم

Silsilah Jawapan asy-Syaikh al-‘Alim Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah Amir Hizbut Tahrir Atas Pertanyaan di Akaun Facebook Beliau “Fiqhiyun”


Jawapan Pertanyaan:
Kaedah adh-Dharûrât Tubîhu al-Mahzhûrât (Darurat Membolehkan Yang Haram)

Kepada Abu al-Qasim Nashar

Pertanyaan:
Syaikh yang saya cintai, as-salamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.

Saya ingin bertanya kepada Anda tentang kaedah syar’iyah yang mengatakan adh-Dharûrât tubîhu al-mahzhûrât… Apa maksud syar’iy dari kata adh-dharûrât? Dan saya akan sebutkan dua keadaan untuk menjelaskan maksud saya:

Pertama: iaitu fatwa syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bolehnya menanggalkan jilbab di sekolah-sekolah asing dengan maksud untuk belajar. Beliau menilai hal itu termasuk adh-dharûrât.

Kedua: kelahiran wanita dibantu oleh doktor lelaki.

Jika kita katakan bahawa adh-dharûrât hanya bererti sampainya kematian dan kebinasaan … lalu bagaimana jika doktor lelaki menyingkap aurat wanita hamil dan melakukan proses kelahiran mereka dalam beberapa keadaan dan ini boleh termasuk tuntutan adh-dharûrât kerana tidak adanya wanita misalnya…

Dan kami dapati bahawa adh-dharûrât jika kita katakan itu adalah kematian maka hal itu tidak terjadi pada dua keadaan tersebut… dalam pengajaran (ta’lim) dan kelahiran?

Semoga Allah melimpahkan berkah kepada Anda dan memberi balasan Anda berupa syurga.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuhu.

Sebahagian ulama mengambil kaedah “adh-dharûrât tubîhu al-mahzhûrât –darurat membolehkan yang haram-“. Mereka yang mengatakan kaedah ini berdalil dengan dalil-dalil seperti, firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2): 173].

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Maidah (5): 3].

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ an-Nahl (16): 115].

Orang yang meneliti kaedah ini menjadi jelas baginya bahawa kaedah ini tidak benar:

Dalil-dalil yang digunakan mereka yang mengatakan kaedah ini tidak menunjukkan kepada pendapat mereka. Akan tetapi paling jauh yang ditunjukkan oleh dalil-dalil itu adalah bolehnya pada saat terpaksa untuk memakan bangkai dan semisalnya disebabkan kelaparan.

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ

“Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan” [TMQ al-Maidah (5): 3].

Al-mahmashah adalah kelaparan dan kelaparan itu dekat dengan kebinasaan… Maka pada saat itu boleh baginya memakan yang haram… Dan keterpaksaan seperti yang jelas dalam ayat tersebut dibatasi dengan kelaparan dan tidak lebih dari itu. Lafaznya bukan bersifat umum atau mutlak sehingga madlûl (konotasi)nya boleh menjangkau lebih dari itu, akan tetapi lafaznya adalah muqayyad (dibatasi) dengan kelaparan.

Dan di dalam beberapa syarah mengenai hal ini menurut mereka yang mengatakan kaedah ini, mereka menjadikannya sebagai rukhshah. Akan tetapi, rukhshah itu memerlukan nash bukan ditetapkan oleh akal tanpa nash… Misalnya, al-fithru (berbuka) pada Ramadhan selama safar atau ketika sakit merupakan rukhshah. Hal itu kerana adanya nash seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ * أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَر

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” [TMQ al-Baqarah (2): 183-184].

Begitulah, setiap rukhshah kerana adanya nash.

Atas dasar itu, kaedah ini tidak benar kerana menjalankannya berdasarkan keumuman seperti yang dinyatakan oleh mereka yang mengatakan kaedah ini. Yang benar, yang ditunjukkan oleh dalil-dalil yang dijadikan sandaran mereka yang mengatakan kaedah ini, adalah bahawa diberi rukhshah bagi seorang muslim untuk memakan atau meminum apa yang diharamkan oleh Allah berupa makanan yang haram pada keadaan keterpaksaan, dan tidak menunjukkan selain itu. Rukhshah pada saat darurat pada keadaan-keadaan lain memerlukan dalil-dalil lainnya.

Penting disebutkan bahawa kaedah ini pada masa kita ini menjadi tunggangan untuk menghalalkan semua yang diharamkan dengan menjadikan kata adh-dharûrât sebagai kata yang longgar di bawahnya masuk banyak perkara sesuai penafsiran mereka untuk kata adh-dharûrah yang jadi pandangan mereka, sampai banyak orang terjatuh pada yang haram atas nama adh-dharûrah!

Adapun contoh yang disebutkan dalam pertanyaan yang mereka bolehkan dengan alasan kaedah adh-dharûrât tubîhu al-mahzhûrât, maka itu tidak boleh. Seorang wanita muslimah yang sudah baligh, secara syar’iy dia dibebani untuk mengenakan tudung. Dia tidak boleh menanggalkan tudungnya dengan alasan sekolah di sekolah asing. Akan tetapi, jika dia ingin sekolah dan tidak mudah baginya di sekolah asing maka dia mestilah mencari sekolah lain yang memperbolehkannya mengenakan tudung dan jilbab, atau bersandar kepada wasilah lain untuk bersekolah, atau berhijrah dengan mahramnya ke negeri yang mudah baginya bersekolah… tanpa menanggalkan tudungnya. Sebab tidak ada dalil-dalil yang memperbolehkan wanita baligh menanggalkan tudung hanya untuk sekolah dan belajar.

Adapun dalam hal doktor lelaki melihat aurat wanita untuk merawatnya maka itu juga tidak berada di bawah kaedah adh-dharûrât tubîhu al-mahzhûrât, akan tetapi hal itu ditunjukkan oleh dalil-dalil bolehnya perubatan. Seperti sabda Nabi saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi di dalam Sunan-nya dari Usamah bin Syuraik, beliau berkata: “orang-orang arab berkata: “ya Rasulullah tidakkah kita berubat?” Beliau menjawab,

“Benar, wahai hamba-hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali juga meletakkan ubat untuknya.” Atau beliau bersabda: “penyakit-penyakit kecuali satu penyakit.” Mereka berkata: “ya Rasulullah apa penyakit itu?” Beliau menjawab: “al-harmu –kematian-“

Tidak diragukan bahawa menyingkap aurat termasuk hal-hal yang diperlukan dari aktiviti perubatan atau rawatan dalam banyak keadaan. Terhadapnya berlaku dalil-dalil bolehnya perubatan. Dan dalam keadaan-keadaan ini maka penyingkapan itu pada tempat-tempat yang diperlukan oleh perubatan dan rawatan, tidak boleh penyingkapan itu pada tempat aurat lainnya. Ertinya hanya pada tempat yang menjadi kemestian terhadap perubatan atau rawatan itu.

Saudaramu
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Selasa, 16 Rabiuts Tsani 1437 H – 26 Januari 2016 M
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment