Sahabat Yang Mulia: Suhail bin Amr Radhiallahu 'anhu

Suhail bin Amr adalah pemimpin Bani Amir, juga dikenali sebagai Abu Yazid. Beliau mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di kalangan kaum Quraisy, seperti Abu Jahal, Utbah bin Rabiah, Abu Sufyan, dll.


Ketika Rasulullah menyeru Islam di Mekah, Suhail bin Amr termasuk salah seorang yang sangat keras terhadap Islam. Dia sentiasa menghasut orang ramai supaya membenci Rasulullah saw, dengan berpidato ke mana-mana.

Kaum musyrikin Quraisy kalah di Perang Badar dan Suhail menjadi tawanan. Ketika ditawan, dia melihat bagaimana muslim adalah sangat baik dalam melayan tawanan perang. Setelah tebusannya dibayar, Suhail akhirnya dibebaskan.

Beliau masuk Islam ketika peristiwa Fathu Makkah selepas terpukau dengan kebijaksanaan Rasulullah dan sedar dengan ajaran Islam yang mulia lagi benar.

Agama Islam telah menempa Suhail dengan ideologi baru. Semua kelebihan dan keahliannya selama ini tambah mengukuhkan imannya. Sehingga orang ramai menggambarkan sifatnya dalam beberapa kalimat, “Pemaaf, pemurah, banyak solat, puasa dan bersedekah serta membaca al-quran dan menangis disebabkan takut kepada Allah”

Suhail sangat menyintai kampung halamannya, Mekah. Bagimanapun, beliau tidak mahu kembali ke sana selepas kemenangan umat Islam di Syria. Beliau berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Kegigihan seseorang pada suatu ketika dalam perjuangan di jalan Allah, lebih baik baginya daripada beramal sepanjang hidupnya.’ Maka sesungguhnya aku akan berjuang di jalan Allah sehingga mati, dan tidak akan kembali ke Mekah!

Suhail memenuhi janjinya ini. Dan ia tetap berjuang di medan perang sepanjang hidupnya, sehingga sampai masa keberangkatannya. Oleh itu, ketika dia pergi, rohnya segera terbang mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Keteguhan Suhail bin Amr dalam berjuang di jalan Allah SWT patut kita teladani untuk menyalakan semangat supaya tetap istiqamah dalam dakwah.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment