Malaysia Hanya Akan Selamat dengan Penerapan Syariah dan Penegakan Khilafah

Malaysia mencatat sejarah pada 04/03/2016 apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani deklarasi bersama dengan beberapa orang bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO). Mesej utama dalam deklarasi yang dinamakan ‘Deklarasi Rakyat’ itu ialah untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat telah banyak merosakkan negara dengan pelbagai skandal, penyelewengan dan salah guna kuasa. Selain itu deklarasi tersebut turut menuntut penyingkiran semua orang yang bekerjasama dengan Najib; pemansuhan undang-undang yang baru digubal yang melanggar hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan dan melemahkan dasar; mengembalikan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).


58 tokoh yang menandatangani deklarasi itu menyatakan bahawa mereka bertindak sebagai rakyat Malaysia dan bukannya mewakili mana-mana parti/pertubuhan masing-masing dan hal itu ditegaskan berulang kali oleh Mahathir dengan persetujuan penuh mereka yang lain. Sungguh aneh kenyataan ini kerana hakikatnya sebahagian besar tokoh yang terlibat, kecuali Mahathir, terdiri daripada ahli dan pimpinan tertinggi parti/pertubuhan masing-masing yang selama ini terkenal bergerak dan memperjuangkan aspirasi atau kepentingan parti/pertubuhan masing-masing! Mereka kononnya ingin membezakan di antara bertindak atas dasar parti/pertubuhan dengan pendirian mereka sebagai individu, walhal hakikatnya mereka dijemput kerana mereka adalah pimpinan parti/pertubuhan tersebut. Apa guna berada dalam parti/pertubuhan jika pendirian mereka tidak sama dengan pendirian parti/pertubuhan mereka sendiri!? Hakikatnya, tidak ada seorang pun mana-mana pekerja kilang atau mekanik atau pelajar atau penjual air di tepi jalan, (yang tidak menjadi ahli mana-mana parti) yang dijemput untuk menandatangani Deklarasi Rakyat itu! Ini semua hanyalah ‘silap mata’ dan merupakan politik Machiavelli yang diasaskan atas manfaat dengan matlamat menghalalkan cara. Sungguh malang apabila ada ahli parti Islam turut terpalit dalam politik Machiavelli seperti ini. Walaupun ada pihak yang berbangga apabila melihat berapa ramai tokoh yang merupakan musuh tradisi politik boleh bersatu dalam deklarasi ini, hal ini sesungguhnya tidak lain melainkan satu gambaran amalan ‘politik kepentingan’ yang amat memualkan, bersifat sementara, tanpa hala tuju yang benar dalam usaha menyelamatkan negara.

Hizbut Tahrir / Malaysia ingin menegaskan bahawa:-

Deklarasi tersebut, walaupun dinamakan sebagai Deklarasi Rakyat dalam rangka menggambarkannya sebagai tuntutan rakyat dan bukannya tuntutan individu, parti/pertubuhan tertentu, sesungguhnya ia tidak mewakili rakyat, khususnya umat Islam, kerana tidak ada seorang pun individu yang menandatangani deklarasi tersebut mendapat mandat dari rakyat atau diwakilkan oleh rakyat, untuk menandatanganinya. Dalam konteks ini, ia lebih tepat dinamakan sebagai ‘Deklarasi 58 Individu’ dan bukannya Deklarasi Rakyat.

Rosaknya negara ini dan masyarakat di dalamnya, bukanlah semata-mata kerana seorang pemimpin/individu tertentu, tetapi kerana sistem yang diterapkan. Segala keburukan yang ada dalam negara bukan baru berlaku hari ini, tetapi sejak selepas merdeka. UMNO-BN yang memegang suara majoriti di Parlimen dan merupakan parti pemerintah sejak dulu, merekalah yang bertanggungjawab melaksanakan sistem sekular dan undang-undang, peraturan dan polisi yang telah membawa kerosakan selama ini. Sistem dan udang-undang inilah yang telah menyebabkan ketidakpuasan dan penderitaan kepada rakyat. Parti pemerintah ini yang melantik agensi-agensi penguatkuasaan untuk mempertahankan undang-undang yang batil ini. Merekalah yang menghalang pejuang-pejuang Islam daripada berusaha menerapkan Islam secara kaffah. Malah mereka menubuhkan pelbagai jabatan agama dan melantik kelompok agamawan bagi mempertahankan dan menghalalkan segala kejahatan dan keharaman yang mereka lakukan. Justeru, menyingkirkan seorang pemimpin negara sedangkan dalam masa yang sama mengekalkan sistem dan undang-undang sekular yang ada, langsung tidak akan memberi jaminan yang negara ini akan menjadi baik.

Berdasarkan jawapan Mahathir, kesemua pihak yang menandatangani deklarasi tersebut tidak memfokuskan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Najib berjaya disingkirkan, kerana fokus mereka sekarang hanyalah untuk menjatuhkan Najib. Sesungguhnya jawapan ini hanyalah ‘jawapan selamat’ dalam rangka menjayakan tuntutan deklarasi tetapi bukannya jawapan yang menyelesaikan masalah. Siapa pun dan parti mana pun yang ingin menjatuhkan kerajaan wajib menyediakan diri mereka untuk memikul beban berat pemerintahan sekiranya mereka berjaya menjatuhkan pemerintahan sedia ada. Soal pemerintahan negara bukanlah soal main-main yang boleh dianggap remeh dan boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja. Soal pemerintahan negara adalah satu persoalan besar yang memerlukan persiapan dan persediaan yang menyeluruh dan atas asas kebenaran. Negara wajib dipimpin oleh orang yang layak dan kelayakan ini wajib diukur berdasarkan Islam dan Islam semata-mata, bukan berdasarkan pertimbangan akal, populariti, pengalaman, pengaruh mahupun suara majoriti. Begitu juga dengan sistem yang ingin diterapkan, wajib sistem Islam dan tidak boleh (haram) untuk menerapkan sistem yang lain. Jadi, baik pemimpin mahupun sistem yang ingin diganti, kedua-duanya wajib diperhatikan dengan serius atas pertimbangan Islam kerana setiap keputusan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah (swt). Tidak ada guna menjatuhkan Najib jika orang yang akan menggantikannya tidak dilantik berdasarkan Islam, kerana ia hanya akan melahirkan Najib yang lain atau lebih buruk.

Akhir sekali, kami ingin tegaskan bahawa sesungguhnya tidak ada cara lain untuk menyelamatkan negara ini dan juga seluruh negeri umat Islam, kecuali dihapuskan sistem demokrasi warisan penjajah ini dan diganti dengan penerapan syariah Islam secara kaffah dalam bingkai Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, di bawah pimpinan seorang Khalifah yang bertakwa. Atas dasar inilah umat Islam wajib bersatu dan berusaha, bukannya bersatu dan berusaha atas dasar untuk menjatuhkan Najib semata-mata!

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia
Ahad, 27 Jamadil Awal 1437 H
06/03/2016 M
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment