Menghapuskan Makanan yang Haram


Oleh: Rokhmat S. Labib, M.E.I.

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Baqarah (2): 168-169].

Sebagaimana dalam aspek kehidupan yang lain, dalam perkara makanan dan minuman, manusia dibatasi dengan hukum halal dan haram. Manusia hanya diperbolehkan makan makanan yang halal dan dilarang makan makanan yang haram. Ketetapan tersebut disebutkan dalam banyak ayat al-quran dan hadis. Antaranya adalah seperti ayat di atas.

Makan Makanan yang Halal

Allah SWT berfirman: Yã ayyuhã al-ladzîna âmanû kulû min thayyibât mâ razaqnâkum (hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu). Khithâb atau seruan ayat ini ditujukan kepada orang-orang Mukmin. Mereka diperintahkan untuk makan dari rezeki yang thayyibât. Dalam ayat sebelumnya [TMQ al-Baqarah (2): 168], perintah yang sama juga ditujukan kepada seluruh manusia. Secara khususnya, para rasul juga diserukan dengan perintah yang sama [rujuk TMQ al-Mukminun (23): 51].

Pengertian al-thayyib dalam ayat ini, menurut al-Samar-qandi, al-Khazin, al-Baghawi, dan al-Jazairi adalah halâl. Tidak jauh beza, Ibnu Jarir al-Thabari juga mengatakan bahawa al-thayyib adalah yang suci; tidak najis dan tidak diharamkan.

Kesimpulan para mufassir itu selari dengan TMQ al-A'raf (7): 157. Dalam ayat tersebut diberitakan bahawa Rasulullah SAW menghalalkan al-thayyibât (yang baik) dan mengharamkan al-khabâits (yang buruk) bagi umatnya. Penjelasan itu menunjukkan bahawa al-thayyibât adalah yang dihalalkan.

Ibnu Katsir menjelaskan, kata kulû (makanlah) bukan hanya menunjukkan kepada perbuatan makan, namun mencakup semua intifâ' (pemanfaatan) terhadapnya. Ditegaskan pula bahawa makan makanan yang halal menjadi sebab diterimanya doa dan ibadah. Sebaliknya, makan makanan yang haram dapat menyebabkan doa dan ibadah tertolak.

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu Thayyib (baik) dan tidak menerima kecuali yang baik (thayyib), dan sesungguhnya Allah memerintahkan kaum Mukmin sebagaimana Dia telah memerintahkannya kepada para Rasul”, lalu membaca TMQ al-Mukminun (23): 51. Kemudian beliau bercerita tentang seorang lelaki yang berada dalam perjalanan yang sangat panjang, sehingga pakaiannya lusuh dan berdebu. Lelaki itu menadahkan dua tangannya dan berdoa, "Ya Tuhanku, Ya Tuhanku," sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram; dan kenyang dengan makanan yang haram. Bagaimana mungkin doanya dapat dikabulkan?" [HR Muslim].

Seterusnya Allah SWT berfirman: wa [i]sykurû li-Lâh (dan bersyukurlah kepada Allah). Bersyukur kepada Allah SWT dengan mengakui semua kenikmatan-Nya, memuji kepada-Nya atas semua kenikmatan itu, dan mempergunakannya dalam keadaan redha-Nya. Begitulah penjelasan al-Jazairi dalam Aysar al-Tafâsîr. Oleh kerana itu, mensia-siakan benda-benda yang telah dihalalkan Allah bukanlah termasuk tindakan bersyukur kepada Allah SWT, begitu juga jika terlebih mengharamkannya seperti khurafat jahiliyyah yang mengharamkan beberapa jenis binatang tertentu.

Kemudian perintah tersebut dikukuhkan dengan frasa berikutnya: in kuntum iyyâhu ta'budûn (jika kamu benar-benar hanya menyembah Allah). Abdurrahman al-Sa'di menyatakan, “Ini menunjukkan bahawa orang yang tidak bersyukur kepada Allah, bererti dia bukan hanya menyembah kepada-Nya; sebagaimana orang yang bersyukur kepada-Nya bererti dia telah beribadah kepada-Nya.”

Jenis Makanan Haram

Setelah menyerukan kepada kaum Mukmin untuk makan makanan yang halal dan bersyukur kepada-Nya, kemudian Allah
SWT berfirman: Innamâ harrama 'alaykum al-maytah wa al-dam (sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah). Bangkai adalah binatang yang mati kerana tidak disembelih secara syar'ie, baik kerana jatuh, tercekik, dipukul, ditanduk, dsb [rujuk TMQ al-Maidah (5): 3]. Ada beberapa jenis bangkai yang dihalalkan, iaitu bangkai binatang laut [rujuk TMQ al-Maidah (5): 96], ikan, dan belalang (HR Ahmad dan Ibnu Majah). Sedangkan darah yang dimaksudkan adalah darah yang mengalir, dam[an] masfûh[an] sebagaimana disebutkan dalam TMQ al-An'am (6): 145, bukan darah yang melekat pada daging. Menurut hadiS riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim ada dua jenis darah yang dihalalkan, iaitu al-kabid wa al-tihâl (hati dan limpa).

Selain daripada itu, diharamkan juga: wa lahm al-hinzîr (daging babi). Perlu ditegaskan, walaupun yang disebutkan hanya lahm (daging), bukan bererti hanya daging babi sahaja yang haram. Sebagaimana dinyatakan al-Khazin, yang diharamkan ialah meliputi seluruh anggota tubuh babi.

Diharamkan juga: wa mâ uhilla lighayril-Lâh (dan binatang yang [ketika disembelih] disebut [nama] selain Allah). Kata al-ihlâl bererti mengeraskan suara. Orang-orang Musyrik dahulu ketika menyembelih binatang menyebut Lâta dan 'Uzzâ dan mengeraskan suaranya. Dituturkan al-Syaukani dalam tafsirnya, bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah semua yang disembelih disebut selain nama Allah SWT. Menurutnya, tidak ada perbezaan pendapat mengenai haramnya benda tersebut. Termasuk di dalamnya adalah sembelihan yang dipersembahkan kepada patung dan berhala mereka.

Kemudian Allah SWT berfirman: faman [i]dhthurra ghayra bâgh[in] wa lâ âd[in] (tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa [memakannya] sedang ia tidak menginginkannya dan tidak [pula] melampaui batas). Kata [i]dhthurra berasal dari al-dharar yang bererti al-dhayyiq. Menurut Fakhruddin al-Razi, keadaan ini disebabkan oleh dua perkara. Pertama, lapar yang amat sangat dan tidak mempunyai makanan lain; dan kedua, kerana dipaksa untuk memakannya.

Sedangkan kata al-bâghi bererti thâlib al-syarr (mencari yang buruk), dan kata al-'âdi merupakan bentuk fâ'il dari al-'udwân yang bermaksud zalim dan melampaui batas. Menurut 'Ali al-Shabuni, dalam konteks ayat ini al-bâghi bermaksud makan yang melebihi keperluannya, dan al-'âdi bermaksud memakan makanan yang diharamkan itu sedangkan ada makanan halal yang lain.

Ditegaskan dalam ayat ini, jika seseorang dalam keadaan terpaksa sebagaimana dijelaskan al-Razi--, memakannya hanya sekadar memenuhi keperluannya dan berlaku zalim, maka: falâ itsma 'alayhi (maka tidak ada dosa baginya). Frasa ini menunjukkan adanya rukhsah bagi orang yang berada dalam keadaan tersebut. Lalu, ayat ini ditutup dengan firman-Nya: Innal-Lâh Ghafûr Rahîm (sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang).

Akhir kata, kita wajib menjaga diri dari makanan yang diharamkan-Nya. Dan tentu saja, pemerintah wajib memenuhi keperluan rakyatnya dengan makanan yang halal, seterusnya menyingkirkan makanan haram dari kehidupan. Wal-Lâh a'lam bi al-shawâb.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment