Tuduhan Jahat & ‎Mitos Feminisme Terhadap Islam & Wanita‬ 1: Kesetaraan Gender Memperkasakan Wanita


Dalam perspektif feminisme, adanya ketidaksetaraan (perbezaan) gender dianggap sangat merugikan kaum perempuan, ini kerana ketidaksetaraan inilah yang menyebabkan munculnya berbagai ketidakadilan sistemik ke atas perempuan, seperti terjadinya praktik subordinasi dan marginalisasi dalam berbagai bidang (politik, ekonomi, sosial, dan budaya), pelabelan negatif, peningkatan kes-kes kekerasan terhadap perempuan, dan lain-lain. Mereka melihat, bahawa selama ini kesalahan persepsi tentang gender yang dipengaruhi budaya patriarki ini telah begitu berpengaruh tidak hanya dalam membangun, tetapi juga dalam mengawal berbagai bentuk interaksi antara lelaki dan perempuan secara tidak seimbang, terutamanya berkaitan peranan mereka di dalam masyarakat: golongan lelaki diposisikan lebih serta memiliki kekuasaan dan "bargaining power" yang tinggi berbanding golongan perempuan; sementara golongan perempuan terpuruk di kedudukan-kedudukan yang rendah yang tidak menjanjikan, dalam serba dilema, serba lemah, dan bahkan ‘terpaksa’ hidup dengan kebergantungan yang tinggi kepada lelaki, sehingga layak diperlakukan secara tidak munasabah dan layak menjadi pihak yang dikorbankan.

Munculnya cara berfikir seperti ini sesungguhnya dipengaruhi oleh prinsip individualisme yang sedia ada dalam pemikiran demokrasi, yang menganggap bahawa masyarakat adalah kumpulan individu-individu yang merdeka, dengan lelaki di satu sisi dan perempuan di sisi lain. Prinsip ini telah menempatkan diri, ego, jenis, dan kelompok sebagai sumber orientasi. Salah satu contohnya, ketika muncul persoalan-persoalan yang menyangkut komuniti perempuan, mereka lantas memandang persoalan tersebut secara berat sebelah dan dikotomik, yakni sebagai persoalan internal kaum perempuan yang mesti diselesaikan oleh perempuan. Akibatnya, pemecahan permasalahan yang dimunculkan pun menjadi separa dan berat sebelah, serta tidak memberikan penyelesaian tuntas, kerana hanya dilihat dari satu perspektif saja, yakni perspektif perempuan.

Secara faktual, tuntutan ini terbantah secara automatik oleh kenyataan bahawa apa yang disebut-sebut oleh golongan feminis sebagai ‘persoalan perempuan’ ternyata tidak hanya menjadi ‘milik’ kaum perempuan. Tidak sedikit kaum lelaki juga mengalami kebergantungan, marginalisasi, mangsa kekerasan, dan lain-lain. Bahkan di dunia ketiga persoalan-persoalan seperti kemiskinan, diskriminasi, kekerasan, kebodohan, penyerahan, kesihatan yang buruk, malnutrisi, dan sebagainya kini menjadi persoalan-persoalan penting yang dihadapi oleh masyarakat secara keseluruhan, bukan berdasarkan gender semata-mata.

Sesungguhnya persoalan yang muncul pada sebahagian individu baik golongan lelaki mahupun perempuan; apakah berkaitan persoalan ekonomi, politik, sosial, dan bahkan persoalan yang memang menyangkut aspek keperempuanan (seperti masalah kehamilan, kelahiran, penyusuan, pengasuhan dan seterusnya) tidak boleh dipandang sebagai persoalan lelaki sahaja atau perempuan saja, melainkan mesti dipandang sebagai persoalan manusia/masyarakat secara keseluruhan dengan pandangan yang holistik dan sistemik. Dengan begitu, solusi yang dihasilkannya pun akan menyelesaikan persoalan secara tuntas dan menyeluruh. Hal ini sesuai dengan realiti bahawa masyarakat bukan hanya sekadar terbentuk dari individu saja, tetapi juga daripada kesamaan pemikiran, perasaan, dan peraturan yang diterapkan dan disertai dengan adanya interaksi yang terus-menerus di antara anggota-anggotanya yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Manakala dalam Islam telah jelas Allah mengaturkan penciptaannya terhadap perempuan tidak sama dengan lelaki, kemampuannya juga berbeza dengan lelaki, maka wajar sekali bila kewajiban yang diberikan Allah SWT berbeza sesuai menurut kejadiannya itu. Walaupun begitu, mereka tidaklah dipisahkan sama sekali kerana peranan wanita dan lelaki dalam Islam adalah saling membantu antara satu sama lain. Dan bagi setiap permasalahan yang timbul telah pun ditetapkan penyelesaiannya menurut syarak.

Allah SWT berfirman : "Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (TMQ At-Taubah : 71)

Justeru ternyata perempuan tidak memerlukan kesetaraan gender yang dicanang oleh golongan feminis untuk dijadikan cara berfikir dalam menghadapi persoalan-persoalan yang bermunculan. Sebaliknya apa yang diperlukan oleh golongan perempuan pada hari ini adalah kembali kepada pengaturan yang ditetapkan oleh Allah agar mereka menjalani hidup sesuai dengan fitrah mereka.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment