Musibah dan Muhasabah

Ummul Mukminin Aisyah ra pernah menuturkan bahawa jika langit mendung, awam menghitam dan angin kecang, wajah Rasulullah SAW yang biasanya memancarkan cahaya akan kelihatan pucat lesi kerana takut kepada Allah SWT. Kemudian baginda Nabi SAW masuk ke dalam masjid dengan keadaan gelisah seraya berdoa, “Ya Allah... aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan hujan dan angin ini, dari keburukan apa saja yang dikandungnya dan keburukan apa saja yang dibawanya”

Aisyah ra bertanya, “Ya Rasulullah, jika langit mendung, semua orang akan berasa gembira kerana petanda hujan akan turun. Namun mengapa engkau ketakutan?”

Nabi SAW kemudian menjawab, “Aisyah, bagaimana aku dapat meyakini bahawa awan hitam dan angin kencang itu tidak akan mendatangkan azab Allah? Kaum ‘Ad telah dibinasakan oleh angin taufan. Ketika awan mendung, mereka bergembira kerana merasakan hujan akan turun, sedangkan Allah kemudiannya mendatangkan azab ke atas mereka.” [HR Muslim dan at-Tirmidzi].

Subhanallah! Kita seharusnya rasa kagum dengan rasa takut Rasulullah SAW kepada Allah. Bayangkan, Rasul adalah kekasih-Nya, penghulu ahli syurga, mustahil Allah SWT akan mengazabnya. Namun, rasa takut kepada Allah sering menyelinap ke dalam batin beliau ketika melihat awan mendung dan angin kencang.

Bagaimana pula dengan para Sahabat beliau? Sama saja. Para Sahabat juga merupakan orang yang paling takut kepada Allah selepas Baginda Rasulullah SAW. Sedangkan mereka telah dijamin masuk ke dalam syurga. Demikian juga para tabi’in dan generasi sesudah mereka. Kebanyakan mereka adalah generasi yang mengisi hari-hari mereka dengan amal ibadah, malamnya diisi dengan zikir, tilawah Al-Quran dan qiyamulail. Siangnya sering diisi dengan berpuasa tetapi mereka tetap mencari nafkah, berdakwah bahkan berjihad (berperang) di jalan Allah. Namun demikian, rasa takut mereka terhadap Allah SWT begitu luar biasa.

Bagaimana dengan generasi Muslim saat ini? Musibah demi musibah telah menimpa umat manusia masa kini. Bermula dari tsunami, letupan gunung berapi, banjir, kebakaran hutan hingga ke gempa bumi, namun, musibah-musibah tersebut hanya menimbulkan duka-lara buat sementara waktu. Setelah itu, mereka kembali melakukan maksiat kepada Allah.

Penguasa dan wakil rakyat tetap menerapkan hukum-hukum kufur. Para ulama pun seolah tetap merasa 'nyaman' dengan tidak terlaksananya hukum-hukum Allah. Kaum Muslim secara umum juga seperti tetap merasa 'enjoy' dengan berbagai kemaksiatan dan kezaliman yang ada.

Padahal Allah SWT berfirman yang bermaksud “Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan menbolak-balikkan bumi bersama kalian sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Ataukah kalian merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu? Kelak kalian akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? Sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya). Alangkah hebatnya kemurkaan-Ku” [TMQ Al-Mulk (67): 16-18].

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud “Apakah mereka tidak melihat bahawa sesunguhnya Kami mendatangi bumi, lalu Kami mengurangi bumi itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya? Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya); tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya” [TMQ Ar-Ra'd (13): 41].

Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa maksud dari "Kami mengurangi bumi itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya" adalah dengan tenggelamnya sebahagian bumi, gempa dan berbagai macam bencana. Semua ini, sebagaimana terungkap dalam ayat di atas, adalah semata-mata atas kehendak Allah SWT (Lihat: TMQ at-Taubah [9]: 51).

Perlu kita sedar bahawa segala bentuk bencana alam merupakan bukti kekuasaan Allah. Dengan itulah, kita sepatutnya menyedari betapa manusia ini sangat lemah dan tidak berdaya di hadapan Allah yaang Maha Berkuasa (Lihat: TMQ ar-Ra'd [13]: 41 di atas). Kita juga perlu sedar bahawa dengan bencana alam itu, Allah sebenarnya hendak menguji kesabaran manusia (TMQ al-Baqarah [2]: 155-157).

Selain itu, perlu kita sedari bahawa berbagai bencana dan musibah yang terjadi merupakan teguran sekaligus peringatan agar kita terdorong untuk rajin melakukan muhâsabah (introspeksi diri). Muhâsabah adalah sangat penting. Dengan itu, setiap Muslim boleh mengukur sejauh mana dia telah betul-betul mentaati seluruh perintah Allah SWT, dan sejauh mana dia benar-benar telah menjauhi larangan-larangan-Nya. Dengan itu juga, setiap saat dia akan terdorong untuk terus berupaya menjadi orang yang selalu taat kepada Allah SWT serta menjauhi maksiat dan dosa kepada-Nya. Tentu, muhâsabah wajib dilakukan setiap saat, bukan sekadar saat-saat terjadi musibah, seperti gempa yang terjadi saat ini. Wallâhu a'lam bi ash-shawâb.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment