Nak Tukar Kerajaan Kena Tunggu Pilihan Raya, ‘Ijtihad’ Dari Mana?

Ketika politik Malaysia terus berada dalam suasana yang tidak menentu ekoran dari krisis yang melanda parti pemerintah dan juga pembangkang, ramai yang tampil memberikan solusi bagi menyelamatkan keadaan. Antara idea yang dominan dalam isu ini ialah menukar Perdana Menteri, kerana Perdana Menteri dilihat sebagai punca kepada masalah. Lalu desakan dibuat besar-besaran agar PM meletak jawatan, dalam keadaan masing-masing tidak mahu “menodai” kesucian demokrasi dengan mengambil cara yang lain.


Dalam masa yang sama, ada pihak yang juga tidak mahu “menodai” demokrasi yang dianggap suci ini, tetapi tidak setuju dengan cara tersebut yang dianggapnya tidak demokratik, lalu mencadangkan agar menunggu pilihan raya umum bagi menjatuhkan seseorang Perdana Menteri. Biarlah pilihan raya yang menentukan, menurut pendapat ini, yang cuba mematuhi perlembagaan persekutuan sepatuh-patuhnya.

Kedua-dua blok ini merupakan blok yang cintakan demokrasi dan mengakui pendapat mereka adalah demokratik dan tidak keluar dari hukum demokrasi sedikit pun, tetapi dalam masa yang sama saling menuduh satu sama lain sebagai tidak memahami demokrasi!

Inilah sifir dan mantera yang telah dijampi oleh Barat ke atas umat Islam yakni, tidak ada jalan untuk menjatuhkan kerajaan, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan yang “haram” hukumnya menjatuhkan kerajaan, selain dari jalan demokrasi!!!

Di Malaysia, sifir dan mantera ini termaktub dalam risalah agung Lord Reid yang diberi nama perlembagaan persekutuan. Menurut jampi yang ada dalam “kitab suci” ini, untuk menukar kerajaan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh maksimum lima tahun sekali. Siapa pun tidak dibenarkan menyalahi jampi ini, yang jika ada mana-mana orang yang menyalahinya, maka “nasib malang” sudah akan pasti menimpa orang itu di mana kehidupannya di dunia ini tidak lagi aman. Begitulah betapa “powerful”nya jampi yang ada di dalam risalah tersebut.

Jika orang yang tidak kuat agama percaya dan mematuhi jampi tersebut, hal ini amat mudah difahami. Namun, jika orang yang berpegang teguh dengan agama berpegang dengannya, maka hal ini amat sukar untuk diterima. Namun, itulah realitinya, sama ada kita setuju atau tidak, orang yang kuat agama sekali pun turut berpegang teguh dengan jampi dan mantera tersebut!

Dalam setiap perbuatan, apatah lagi dalam persoalan penting seperti pemerintahan negara atau thariqah (jalan) untuk menegakkan negara, umat Islam hanya wajib berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah. Jika umat Islam tidak memahami al-Quran dan al-Sunnah sekalipun, mungkin disebabkan oleh tidak pandai bahasa Arab atau kekurangan ilmu dan lain-lain, maka umat Islam dibenarkan bertaklid kepada mana-mana Imam Mujtahid yang diyakininya benar.

Persoalannya, “ijtihad” Imam manakah yang mengajar bahawa tidak boleh untuk kita menukar kerajaan, kecuali melalui jalan pilihan raya lima tahun sekali? Apa yang pasti, hal ini tidak pernah dijumpai di dalam kitab-kitab Imam besar empat mazhab. Apa yang pasti juga, “ijtihad” ini dijumpai dalam kitab Lord Reid yang menjadi pegangan orang-orang tertentu di Malaysia!

Sungguh malang apabila umat Islam, apatah lagi parti Islam dan mereka yang bergelar ulama atau golongan agamawan, berpegang teguh kepada “ijtihad” Lord Reid dan tidak mahu menyalahinya sedikit pun.

Sedangkan Rasulullah SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin yang diperintahkan oleh Rasulullah agar kita berpegang kepada mereka, tidak pernah menunjukkan jalan untuk menukar pemimpin dengan jalan pilihan raya lima tahun sekali. Sebaliknya Rasulullah dan para Khalifah tersebut telah menunjukkan dengan sejelas-jelasnya tatacara untuk menukar pemimpin dalam Islam.

Rasulullah SAW tidak pernah tunduk kepada sistem Jahiliyyah atau mematuhi apa sahaja undang-undang yang ada di zaman Jahiliyyah dalam usaha baginda menukar kepimpinan yang ada pada waktu itu. Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi dengan sistem Jahiliyyah yang ada, atau menggunakan sistem Jahiliyyah tersebut sebagai “alat” untuk melakukan perubahan atau menukar pemimpin. Dalam erti kata yang lain, Rasulullah SAW bergerak di luar sistem Jahiliyyah dan bukannya menceburi atau bergelumang dalam kenajisan sistem tersebut bagi menegakkan Islam.

Apakah thariqah Rasulullah SAW ini tidak wajib, tidak lengkap, tidak mencukupi atau tidak sesuai untuk diikuti pada hari ini? Kepada yang berpandangan demikian, kami memohon keampunan dan perlindungan daripada Allah, na’uzubillah min zalik.

Jadi, persoalan “menunggu pilihan raya untuk menukar kerajaan” merupakan sesuatu yang tidak pernah diajar oleh Islam, malah bertentangan dengan Islam. Ini kerana, mana-mana pemerintahan yang tidak Islami atau tidak menerapkan hukum Islam atau mana-mana pemimpin yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan, wajib diganti sesegera mungkin, kerana membiarkan pemerintahan atau pemerintah seumpama ini dan hanya menunggu lima tahun untuk menggantikannya, bermakna membiarkan keharaman dan kemungkaran merajalela, sedangkan keharaman dan kemungkaran itu wajib dihapuskan segera, bukan untuk dilihat dan ditunggu sehingga tempoh tertentu!

Semoga mereka yang ikhlas akan diberi hati yang terang lagi bersih oleh Allah SWT untuk sedar dan memahami hal ini dan seterusnya bergerak ke arah perubahan menurut peraturan yang dikehendaki dan ditetapkan oleh Allah SWT, bukannya menurut peraturan yang dikehendaki dan ditetapkan oleh Lord Reid!

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment