Pelancaran Kempen Celik Syariah, Cinta Khilafah (CSCK) 2016


Syariah Islam telah menetapkan hak dan kewajipan wanita dan lelaki berbeza. Kepimpinan keluarga misalnya, diserahkan pada suami, tidak pada isteri. Kewajipan mencari nafkah dibebankan pada lelaki, tidak pada wanita. Jihad yang diwajibkan pada lelaki, juga tidak pada wanita. Batas aurat dan pewarisan juga berbeza antara lelaki dan wanita. Inilah yang menyebabkan Syariah Islam sering dituduh mendiskriminasikan wanita.

Golongan Feminis berpendapat diskriminasi terhadap wanita boleh diselesaikan dengan menetapkan hak dan kewajipan yang sama antara lelaki dan wanita melalui konsep kesetaraan gender. Mereka menyebarkan fahaman bahawa Syariah Islam telah merendahkan martabat wanita. Mereka tidak henti-henti mempromosikan kononnya ingin "Memerdekakan Wanita" daripada kongkongan Syariah Islam.

Wahai muslimah sekalian, pernahkah kita lihat di sebaliknya? Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling selamat dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar berselerak bukan? Itulah perumpamaan seorang wanita pada pandangan mata Islam. Isteri wajib taat kepada suami. Tetapi tahukah kita bahawa lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama kepada ibunya berbanding ayahnya?

Subhanallah! Inilah cantiknya Islam. Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firmanNya yang bermaksud,

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (kerana) Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan" [TMQ an-Nisa’ (4):32].

Muslimah sekalian, Islam telah mengatur setiap urusan manusia termasuklah wanita. Perbezaan ini sebenarnya menunjukkan betapa Islam cukup menjaga dan memelihara wanita. Justeru itu, kami daripada Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia melancarkan Kempen Celik Syariah Cinta Khilafah (CSCK). Kami ingin meluruskan kesalahfahaman tentang Syariah Islam dan mencabar mitos-mitos palsu yang dilontarkan oleh golongan anti-Islam seperti feminisme dan liberalisme. Ayuh, marilah bersama-sama dengan kami mencabut fahaman kufur ini daripada terus berakar umbi dalam kalangan Muslimah. Campakkan fahaman ini sejauh-jauhnya dan kembalilah kepada Syariah Islam. Semoga kita akan semakin celik dengan Syariah Islam dan tidak lagi tertipu dengan pandangan serong golongan feminisme ini.

‪#‎CSCK‬ ‪#‎CelikSyariahCintaKhilafah




SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment