Semoga Keangkuhan Trump Menjadi Penamat kepada Keangkuhan Amerika

Ibarat satu roh dua jasad, inilah ungkapan yang mungkin paling tepat bagi menggambarkan hubungan antara Amerika Syarikat dan entiti Yahudi. Negara haram itu umpama anak luar nikah yang manja tetapi sangat nakal, kepada ayahnya (AS). Walaupun sering sahaja kenakalannya itu melampaui batas, namun si ayah tetap menyayangi dan membela anaknya itu, kerana si ayah juga tidak kurang jahatnya.


Hubungan erat antara AS dan Yahudi menjadi salah satu ciri yang paling menonjol dalam polisi luar AS di Timur Tengah berdekad lamanya. Orang yang buta politik sekali pun akan mengetahui hakikat ini. Walau sekejam dan sejahat mana sekali pun entiti Yahudi itu, khususnya terhadap umat Islam, namun AS tetap menyokongnya, membelanya dan sentiasa berpihak kepadanya. Pendek kata, AS sanggup melakukan apa sahaja di rantau tersebut, demi menjaga kewujudan dan kepentingan entiti Yahudi itu.

Legasi hubungan rapat antara kedua-dua buah negara itu bakal diteruskan lagi oleh salah seorang calon Presiden Amerika, Donald Trump, sebagaimana dapat dilihat daripada kenyataannya semasa berkempen, “Tidak ada individu yang lebih pro-Israel berbanding saya. Kita perlu melindungi Israel, Israel sangat penting buat kami,”. Trump turut menekankan bahawa “hakikatnya saya mahu kedutaan (AS) dipindahkan (di Tel Aviv), saya mahu melihatnya di Baitul Maqdis.” Calon daripada parti Republikan itu dengan tegas lagi nyata mahukan ibu negara Israel turut dipindahkan ke Baitul Maqdis, sebagaimana yang diimpikan oleh negara haram itu selama ini.

Ucapan Trump itu bukanlah suatu yang mengejutkan pun, kerana siapa sahaja yang ingin menduduki kerusi presiden Amerika Syarikat mesti mendapatkan sokongan dan dukungan daripada pelobi-pelobi Yahudi dan mesti menjaga hubungan baik dengan kelompok terlaknat tersebut. Hal ini turut diakui oleh seorang lagi calon Presiden Amerika, Hillary Clinton. Malah kemenangan Obama sebelum ini pun tidak boleh dipisahkan dengan sokongan tak berbelah bahaginya kepada negara haram itu.

Kewujudan entiti Yahudi di Timur Tengah adalah suatu yang sangat diperlukan oleh Amerika Syarikat. Ini kerana, hanya dengan kelestarian entiti Yahudi sahajalah yang sentiasa akan mewujudkan suasana yang tidak stabil di Timur Tengah yang membolehkan AS campur tangan. Malah, AS sengaja membiarkan dan memang mahukan rantau tersebut sentiasa bergolak, kerana hanya dengan pergolakan itulah yang membolehkan AS terus mencengkam kukunya ke atas Timur Tengah yang melimpah dengan sumber minyak itu. Kewujudan entiti Yahudi di situ bukan sahaja dapat mencapai impian Yahudi, malah dapat memenuhi nafsu serakah kedua-dua negara kafir itu.

Selain menjadi rantau yang cukup penting serta strategik kepada AS dari segi ekonomi, politik, geografi dan penyebaran ideologi Kapitalisnya, Timur Tengah adalah kawasan majoriti kaum Muslimin, satu kaum yang menjadi musuh bersama antara AS dan Yahudi yang ingin mereka kuasai, baik secara fizikal mahupun pemikiran. Kerana itu, AS sekali-kali tidak akan melepaskan cengkamannya di Timur Tengah dan kewujudan entiti haram Yahudi di Palestin menjadi faktor penting kepada kejayaannya.

Jadi, ucapan Trump itu merupakan suatu yang sangat mudah diduga dan hanya menjadi penguat bukti bahawa siapa pun yang menjadi Presiden Amerika, ia tidak akan sekali-kali mengubah polisi dan pendirian Amerika. Amerika bukan sahaja akan terus berusaha mengekalkan hegemoninya di Timur Tengah, tetapi juga di dunia dan dengan hubungan eratnya dengan Yahudi, mereka sama-sama berjaya dalam kerja jahat mereka itu.

Sebagai seorang yang teramat kaya dan berpengaruh, Donald Trump memang seorang yang angkuh, apatah lagi apabila menjadi calon presiden negara terkuat di dunia buat masa ini. Penampilan, tindakan dan segala ucapannya penuh dengan keangkuhan, apatah lagi apabila menyentuh isu umat Islam. Trump merupakan lambang keangkuhan seorang kafir yang lupa siapakah Penciptanya dan lupa yang Tuhannya dapat melenyapkannya dengan sekelip mata sahaja. Semoga keangkuhan Trump ini menjadi keangkuhan AS yang terakhir sebelum lenyapnya kekuatan dan hegemoni AS apabila tegaknya Khilafah sedikit masa lagi.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment