Syariah dan Khilafah untuk Rahmatan Lil ‘Alamin

Tidak diragukan lagi, wajib bagi kita semua menegakkan Khilafah. Apatah lagi para ulama seluruh mazhab telah menyepakati hal tersebut. Imam Ibnu Hazm dalam kitab Al-Fashlu fi al-Milal wa al-Ahwa‘ wa an-Nihal, (4/78) menyebutkan, “Telah sepakat semua Ahlus Sunnah, semua Murjiah, semua Syiah, dan semua Khawarij tentang kewajipan Imamah (Khilafah).”


Khusus dalam lingkup empat mazhab Ahlus Sunnah, Syaikh Abdurrahman al-Jaziri menyebutkan, “Para imam mazhab yang empat (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Syafii] rahimahumulLah telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu fardhu, dan bahawa kaum Muslim mesti mempunyai seorang imam (khalifah) yang akan menegakkan syiar-syiar agama dan menolong orang yang dizalimi dari orang zalim. Mereka juga sepakat bahawa kaum Muslim dalam waktu yang sama di seluruh dunia tidak boleh mempunyai dua imam, baik keduanya sepakat atau bertentangan.”

Oleh kerana itu, kita wajib bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan itu. Syaikh Abdul Qadim Zallum (Amir kedua Hizbut Tahrir) dalam kitab Nizham al-Hukm fi al-Islam (hlm. 34) menyebutkan, “Mengangkat seorang khalifah adalah wajib atas kaum Muslim seluruhnya di seluruh penjuru dunia. Melaksanakan kewajipan ini—sebagaimana kewajipan manapun yang difardhukan Allah atas kaum Muslim—adalah perkara yang pasti, tidak ada pilihan di dalamnya dan tidak ada toleransi dalam urusannya. Kelalaian dalam melaksanakan itu termasuk sebesar-besar maksiat, yang pelakunya akan diazab oleh Allah dengan azab yang sepedih-pedihnya.”

Tentang tegaknya Khilafah, memang bukan perkara yang mudah mengingat besarnya hambatan, cabaran, gangguan dan rintangan yang terus menghadang. Namun, kita mestilah yakin bahawa semua itu boleh diatasi dan Khilafah pasti akan tegak. Mengapa? Kerana tegaknya Khilafah adalah janji Allah. Semua janji Allah pasti akan terwujud asalkan kita memenuhi semua syarat-syarat bagi terwujudnya janji-janji itu.

Sebagai contoh, jatuhnya ibu kota Romawi Timur, Konstantinopel, ke tangan Islam, memang sangat sulit. Namun, kerana keyakinan para sahabat dan pejuang Islam pada waktu itu bahawa jatuhnya Romawi Timur ini adalah sebuah kemestian, maka misi yang sangat sulit itu tetap saja dilakukan. Ekspedisi untuk menaklukkan Konstantinopel sudah dimulai sejak Khalifah Uthman bin Affan. Sejarah kemudian membuktikan Konstantinopel akhirnya jatuh pada tahun 1453M atau lebih dari 700 tahun kemudian oleh pasukan yang dipimpin oleh Muhammad al-Fatih. Ketika Panglima Muhammad al-Fatih masuk ke benteng Konstantinopel, beliau teringat kepada hadis yang berbunyi Fala ni’ma al-amir, amiruha. Fala ni’ma al-jaiz fadzalika al-jaiz (Sebaik-baik panglima perang adalah panglima perang yang menaklukkan Konstantinopel, dan sebaik-baik tentera adalah tentera yang menaklukkan Konstantinopel).

Hadis itu dibaca oleh Muhammad al-Fatih seolah-olah Nabi saw. memuji dirinya. Padahal hadis itu diucapkan pada 700 tahunan sebelum peristiwa besar itu terjadi.

Apabila untuk menaklukkan Konstantinopel yang merupakan jantung adikuasa Romawi Timur saja akhirnya boleh dilakukan, apatah untuk sebuah Khilafah yang sudah pernah ada, dan tinggal hanya membangkitkan memori umat, tentu insya Allah ia juga akan boleh diwujudkan. Bahkan tidak sedikit pemerhati dunia antarabangsa yang turut menjangkakan bahawa Khilafah Islam akan segera tegak. Bila mereka yang kebetulan non-Muslim turut meramalkan bahawa Khilafah Islam akan berdiri, justeru mengapa kita masih saja ragu?

Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslim di dunia untuk menegakkan hukum syariah dan mengemban dakwah ke seluruh dunia. Keberadaannya akan menjamin kewujudan rahmat bagi seluruh alam ataurahmatan lil alamin melalui penerapan syariah Islam secara kaffah, kesatuan umat dan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.

Penerapan syariah secara kaffah akan mewujudkan kebaikan bagi semua, baik Muslim mahu pun non-Muslim, kerana risalah Islam memang diturunkan untuk semua manusia (rahmatan li al-‘alamin). Penerapan syariah secara kaffah itu akan melahirkan perlindungan terhadap agama, akal, harta, jiwa, keturunan, keamanan serta mewujudkan keadilan, kedamaian dan kesejahteraan. Muslim mahu pun non-Muslim akan merasakan kebahagiaan hidup di dalamnya.

Fakta sejarah peradaban Islam yang membentang selama lebih dari 1400 tahun menjadi bukti nyata kemampuan Islam untuk memberikan kerahmatan tersebut. Sejarahwan terkemuka seperti Will Durant, dalam The Story of Civilization, vol. XIII, mengakui kehebatan peradaban Islam. Ia menulis:

“Para khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia hingga batas yang luar biasa besarnya bagi kehidupan dan kerja keras mereka. Para khalifah itu juga telah menyediakan berbagai peluang untuk siappa pun yang memerlukan dan memberikan kesejahteraan selama berabad-abad dalam wilayah yang sangat luas. Fenomena seperti itu belum pernah tercatat (dalam sejarah) setelah zaman mereka. Kegigihan dan kerja keras mereka menjadikan pendidikan tersebar luas, hingga berbagai ilmu, sastera, falsafah dan kesenian mengalami kemajuan yang luar biasa, yang menjadikan Asia Barat sebagai sebahagian dunia yang paling maju peradabannya selama lima abad.”

Oleh kerana itu, tidak ada yang perlu ditakutkan dengan syariah dan Khilafah kerana kedua-duanya adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang akan membawa kebaikan. Ibarat orang sakit, keduanya merupakan ubat yang bakal menyembuhkan sakit parah yang telah amat lama kita deritai. Kita juga tidak perlu ragu-ragu untuk mencampakkan sekularisme, baik sistem politik demokrasi mahu pun sistem ekonomi liberal. Sistem itu telah jelas menimbulkan berbagai persoalan dan penderitaan kepada seluruh rakyat seperti yang sedang ini kita aalami kini, juga menjadi jalan bagi penjajahan gaya baru (neoimperialisme) atas negeri yang kita cintai ini.

Ketika hukum-hukum Allah ditegakkan secara sempurna di dalam Khilafah, kebaikan dan keberkahan pasti akan dilimpahkan Allah SWT. Rasulullah saw. bersabda, “Satu hukum had (hukum syariah atas kejahatan tertentu) yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi manusia daripada mereka ditimpa hujan selama 30 atau 40 hari.” [HR Ahmad].

Maka dari itu, siapa pun Anda, pegawai negeri atau swasta, pegawai pemerintahan, polis, tentera, pengusaha, intelektual, buruh, mahasiswa, pelajar atau pun rakyat biasa, marilah kita bersama-sama berjuang menegakkan syariah dan Khilafah. Hizbut Tahrir mengajak saudara-saudara semua untuk bersungguh-sungguh secara konsisten memperjuangkan perkara yang sangat penting ini, yang akan menentukan tegak hukum Islam yang akan menjamin penyebaran rahmatan lil alamin dan akan menentukan perwujudan kemuliaan Islam dan umatnya atau‘izzul Islam wal Muslimin.

Songsonglah janji Allah SWT dan berita gembira Rasul-Nya akan kembalinya Khilafah di muka bumi dengan penuh semangat dan rasa optimis. Penuhilah panggilan Allah SWT dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kalian bersama orang-orang yang benar” [TMQ at-Taubah (9): 119].
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment