Ustaz Kasanova vs Mahkamah yang Tak Syar’ie

Dalam negara yang tidak dinaungi sistem Islam ini, suasana dakwah sememangnya mencabar. Cabaran itu bukan sahaja datang daripada kerajaan UMNO-BN yang tidak mahukan penerapan Islam secara kaffah, tetapi turut datang dari keadaan sekeliling yang sering menggugat keimanan dan ketakwaan seseorang pengembang dakwah, baik itu berupa harta dunia, pangkat mahupun wanita.


Bukan semua orang dapat mempertahankan ketakwaan dalam sistem yang rosak ini kerana cabaran dan godaan selalu menjelma di depan mata. Kita sudah melihat berapa ramai para pejuang Islam sekalipun yang kecundang dengan pangkat dan harta benda dunia sehingga sanggup meninggalkan perjuangan Islam yang dibawa selama belasan atau puluhan tahun lamanya. Malah lebih buruk, mereka bertukar menjadi penjilat pemerintah sekular yang dahulunya dihentam habis-habisan.

Terbaru, kita dihebohkan dengan kisah ustaz kasanova yang cuba berpoligami dengan tiga orang wanita tanpa izin mahkamah dan tidak mendaftarkan perkahwinannya. Ustaz tersebut, 34, turut dilaporkan mengaku salah atas pertuduhan berzina dengan seorang wanita berusia 40 tahun sehingga melahirkan seorang anak pada 6 Disember 2012. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah atas kesalahan tersebut.

Walaupun tindakannya memang salah dan telah mencemarkan imejnya sendiri dan turut mencemarkan imej orang yang bergelar “ustaz” serta mendapat kritikan banyak pihak, namun malangnya berapa banyak pihak yang tidak nampak “kesalahan” mahkamah syariah dalam kes ini. Poligami tanpa izin mahkamah itu bukanlah satu kesalahan pun dalam Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar untuk mendapat izin mahkamah sebelum berpoligami.

Dalam Islam, sungguh amat jelas bahawa seseorang yang muhsan (telah berkahwin), jika melakukan kesalahan zina, maka hukumannya adalah rejam! Tidak ada khilaf di kalangan ulama muktabar dalam hal ini dan ia sudah maklum dalam Islam, baik oleh mereka yang alim mahupun jahil. Jadi, tindakan “Mahkamah Syariah” yang menjatuhkan hukuman yang langsung tidak mengikut syariah, merupakan satu tindakan yang jelas salah dan haram di sisi Islam, sama haramnya dengan tindakan ustaz tersebut dalam melakukan persetubuhan dengan wanita yang bukan isterinya.

Inilah “kerosakan sistem” yang tidak terlihat oleh banyak pihak, tetapi semua pihak dapat melihat ‘kerosakan individu” yang dilakukan oleh ustaz tersebut. Sesungguhnya kerosakan sistem itu jauh lebih bahaya berbanding kerosakan individu, kerana rosaknya sistem bukan sahaja melibatkan banyak pihak, tetapi rosaknya sistem akan turut melahirkan ramai individu yang rosak.

Ambil sahaja contoh sistem ribawi yang diamalkan pada hari ini. Oleh kerana riba dibenarkan di Malaysia dan tidak merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang, malah digalakkan lagi oleh kerajaan, lihat sahaja berapa juta individu yang terlibat dengan transaksi riba? Ramai yang melihat “dosa individu” orang yang terlibat dengan riba, tetapi berapa ramai yang melihat “dosa kerajaan” yang mengamalkan sistem ribawi?

Oleh kerana sistem yang rosak ini diterapkan, lihatlah berapa ramai individu yang turut rosak kerananya yakni yang terlibat dengan riba!? Malah individu yang tidak pernah tinggalkan solat sekalipun turut terlibat dengan transaksi haram ini! Sedangkan jika kerajaan mengharamkan riba dan tidak membenarkan sistem najis ini dilakukan dalam negara, berapa ramai individu yang, jika mereka mahu mengambil riba sekalipun, tidak akan dapat berbuat demikian.

Sungguh amat besarnya dosa riba sehingga Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa,
“Riba itu memiliki 73 pintu, yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi].

Justeru, perzinaan ustaz kasanova tersebut, walaupun salah dan wajib dihukum menurut Islam, namun kerosakan mahkamah syariah dan kerajaan negara ini yang tidak berhukum dengan hukum Islam, jauh lebih besar dosanya di sisi Islam!


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment