Wajibkah Mengangkat Pemimpin Meskipun Dia Menerapkan Hukum Kufur dalam Sistem Demokrasi?

Soalan:
Apakah hukum wajibnya “nashb al-imam” dalam kitab-kitab Muktabar P diberlakukan dalam konteks pemimpin sekarang?

Jawapan:

Tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’, mengenai pentingnya negara, dan keberadaan negara untuk menerapkan, menjaga dan mengemban Islam. Bahkan, Hujjatu al-Islâm, Imam al-Ghazâli (w. 555 H), menyatakan:

الدين والسلطان توأمان.. الدين أس والسلطان حارس، فما أس له مهدوم، وما لا حارس له فضائع

“Agama dan kekuasaan adalah dua saudara kembar. Agama adalah dasar, dan kekuasaan adalah penjaga. Sesuatu tanpa dsarnya pasti akan runtuh, dan sesuatu tanpa penjaga, pasti akan hilang.”[1]

Para ulama’ ushul telah memasukkan negara (daulah), sebagai sebahagian daripada kemaslahatan utama (mashlahah dharûriyyah), yang mana ketiadaannya akan menyebabkan terjadinya kerosakan dalam kehidupan umat manusia.[2] Negara itu sendiri didefinisikan oleh al-‘Allamah Syaikh Taqiyuddn an-Nabhani sebagai:

كيان تنفيذي لمجموعة المفاهيم، والمقاييس والقناعات التي تقبلتها مجموعة من الناس

“Entiti pelaksana untuk melaksanakan kumpulan pemahaman, tolok ukur, keyakinan yang diterima oleh sekumpulan umat manusia.” [3]

Kerana itu, adanya negara untuk mengurus urusan merupakan masalah utama dan paling penting dalam kehidupan umat manusia. Kerananya, masalah ini dianggap sebagai masalah yang sudah dimaklumi urgensinya dalam Islam, atau yang biasa disebut Ma’lûm[un] min ad-dîn bi ad-dharûrah.

Di mana letak urgensinya? Dalam pandangan Imam al-Ghazâli, negara itu berfungsi sebagai penjaga agama (hâris). Walaupun, sebenarnya negara bukan hanya berfungsi sebagai penjaga, tetapi lebih dari itu. Kerana negara juga berfungsi untuk menerapkan hukum syariah, menjaga dan mengembannya kepada umat lain. Kerana itu, negara merupakan metod baku dalam Islam untuk menerapkan, menjaga dan mengemban hukum syariah.[4]

Ini tentang intipati negara, fungsi dan kedudukannya dalam Islam, sebagai sebahagian yang tidak terpisah dari Islam, bahkan menjadi satu-satunya metod baku dalam menerapkan, menjaga dan mengemban Islam. Inilah Khilafah Islam. Kerana itu, hukum menegakkan Khilafah, ketika tidak ada, adalah wajib bagi umat Islam. Sebab, tanpa Khilafah ini mustahil Islam boleh diterapkan, dijaga dan diemban ke seluruh dunia. Kaedah syarak menyatakan:

مَا لاَ يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

“Suatu kewajipan tidak akan sempurna, kecuali dengannya, maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib.”

Khilafah, atau Negara Islam, intipatinya adalah kekuasaan yang melakukan pengurusan kemaslahatan rakyat, dan memantau pelaksanaannya dengan Islam. Kerana kekuasaan dalam Islam itu bersifat tunggal, bukan kolektif, maka Khilafah atau Negara Islam itu intipatinya adalah adalah Khalifah. Kerana itu, pembahasan para ulama’ tentang wajibnya mengangkat Khalifah (nashb al-imâm), sesungguhnya bukan hanya membahas tentang wajibnya mengangkat individu Khalifah, tetapi sekaligus wajibnya mendirikan Khilafah.

Imam al-Farra’ (w. 458 H) menyatakan, “Mengangkat imam hukumnya wajib. Ahmad ra. berkata dalam riwayat Muhammad bin ‘Auf bin Sufyan al-Humashi, ‘Fitnah, jika tidak ada imam yang mengurusi urusan umat manusia.’” [5] Al-Imidi (w. 631 H) menyatakan, “Mazhab Ahl al-Haq dalam kalangan kaum Muslim menyatakan, bahawa mengangkat Imam (Khalifah) dan para pengikutnya hukumnya fardhu bagi kaum Muslim.” [6] Ibn Hazm al-Andalusi (w. 456 H) menyatakan, “Semua Ahlissunnah sepakat tentang wajibnya imamah. Umat wajib tunduk kepada imam yang adil dan menegakkan hukum-hukum Allah di tengah-tengah mereka, serta mengurus mereka dengan hukum-hukum syariah.” [7] Al-Baghdadi (w. 429 H) menyatakan, “Sesungguhnya adanya imamah hukumnya fardhu bagi umat dalam rangka mengangkat imam.” [8]

Kewajipan tersebut ditarik dari sejumlah dalil, di antaranya firman Allah SWT:

ياَ أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا أَطِيْعُوْا اللهَ، وَأَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ، وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan penguasa di antara kalian” [TMQ an-Nisa’ (4): 59].

Perintah untuk mentaati penguasa yang menerapkan hukum Allah di antara kalian juga merupakan perintah untuk mengangkatnya, jika penguasa tersebut tidak ada. Sebab, Allah SWT tidak akan mungkin memerintahkan sesuatu yang tidak ada. Allah SWT juga tidak akan memerintahkan wajibnya mentaati sesuatu yang adanya tidak wajib. Ini menjadi bukti, bahawa adanya uli al-amr (penguasa) yang menerapkan hukum Allah ini adalah wajib.

Kerana itu, Syaikh Wahhab Khallaf menyatakan, “Maka wajib menjadikan urusan kepemimpinan ini sebagai sebahagian daripada agama dan taqarrub yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.” [9] Bahkan, beliau menegaskan, “Mengurusi urusan umat manusia ini merupakan kewajipan agama yang paling agung. Bahkan, agama ini tidak akan tegak, kecuali dengannya.” [10]

Kerana itu, semua konteks pembahasan para ulama’, baik ushul, fikih mahu pun tafsir, dalam kaitannya tentang wajibnya mengangkat imam, atau memilih pemimpin ini adalah dalam rangka menerapkan, menjaga dan mengemban Islam. Bukan asal pemimpin, apatah lagi pemimpin yang dipilih untuk menerapkan hukum Kufur. Kerana, selain nas-nas yang memerintahkan ketaatan, juga ada nas-nas yang melarang ketaatan terhadap orang tertentu, dengan sifat dan perbuatan tertentu.

Allah SWT berfirman:

“Janganlah kamu mentaati orang-orang Kafir dan orang-orang Munafik itu” [TMQ al-Ahzab (33): 4].

“Janganlah kamu mentaati orang-orang yang berdosa dan orang-orang Kafir di antara mereka” [TMQ al-Insan : 24].

Ayat-ayat di atas melarang kita untuk mentaati orang Kafir, orang Munafik dan orang-orang yang berdosa. Selain itu, Nabi saw. juga bersabda:

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan kemaksiatan kepada sang pencipta” [HR Ahmad].

Dengan demikian, kewajipan mentaati pemimpin di antara kaum Muslim ini dibatasi pada pemimpin yang menerapkan hukum Islam, bukan pemimpin yang menerapkan hukum Kufur. Jika pemimpin seperti ini tidak ada, maka hukum mengadakannya menjadi wajib. Kerana itu, dalil terkait dengan kewajipan mengangkat atau mengadakan pemimpin seperti ini tidak boleh diberlakukan secara umum, termasuk untuk memilih atau mengangkat pemimpin yang tidak menerapkan hukum Islam.

Menggunakan dalil ketaatan kepada pemimpin, khususnya TMQ. an-Nisa’ [04]: 59, untuk mentaati pemimpin yang tidak taat kepada Allah dan Rasul juga tidak tepat. Apalagi, untuk menarik hukum wajibnya mengangkat pemimpin yang tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya, tentu lebih tidak relevan lagi, baik dari aspek manthûq, mafhûm mahu pun syubhat ad-dalîl. Bahkan, penggunaan nas-nas al-Qur’an mahu pun as-Sunah untuk menyatakan pandangan seperti itu merupakan bentuk iftirâ’ (kebohongan besar) terhadap Allah, serta penyesatan opini yang besar sekali dosanya di sisi Allah SWT.

Oleh: Ustaz Hafidz Abdurrahman (Lajnah Tsaqafiyyah DPP HTI)

[1] Hujjatu al-Islam, Abu Hamid al-Ghazali, al-Iqtishad fi al-I’tiqad, hal. 255-256.
[2] Lihat, al-Hafidh as-Syathibi, al-Muwafaqat fi ‘Ulum as-Syari’ah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, Juz II, hal. 12; Muhammad Husain ‘Abdullah, Dirasat fi al-Fikr al-Islami, Dar al-Bayariq, Beirut, cet. I, 1990, hal. 44-45.
[3] Al-‘Allamah Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur, Min Mansyurat Hizb at-Tahrir, Juz I, hal. 6.
[4] Al-‘Allamah Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nidzam al-Islam, Min Mansyurat Hizb at-Tahrir, hal. .
[5] Al-Qadhi Abu Ya’la al-Farra’, al-Ahkam as-Sulthaniyyah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cet. 1983, hal. 19.
[6] Saifuddin al-Amidi, Ghayat al-Maram, hal. 364.
[7] Al-Hafidh Ibn Hazm al-Andalusi, al-Fashl fi al-Milal wa an-Nihal, Juz IV, hal. 87.
[8] Al-Qahir al-Baghdadi, al-Farqu Baina al-Firaq, hal. 210.
[9] ‘Abdul Wahhad Khallaf, as-Siyasah as-Syar’iyyah, hal. 162.
[10] Ibid, hal. 161.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment