Definisi Rezeki

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga….” [TMQ At-Taubah: 111].


Kebiasaannya, kita sering risau dengan apa-apa yang merupakan milik kita. Misalnya, kita sering gelisah bilamana kereta kita tercalar sebaliknya tidak risau jika ianya berlaku kepada orang lain. Secara umumnya, dua perkara paling berharga yang sering kita risaukan (dan yang kita fikirkan adalah milik kita) adalah kehidupan dan harta kekayaan kita. Tetapi Allah azza wajjal mengingatkan kita dalam ayat ini bahawasanya perkara-perkara tersebut bukan milik kita, kerana Dia telah membelinya dari kita, maka kenapa harus risau tentang perkara-perkara tersebut?

Nampaknya sesama kita masih terdapat pemahaman yang kurang tepat mengenai konsep rezeki, sehinggakan kita sering terkeliru dengan sebab akibat yang menyebabkan kita mendapat rezeki dengan punca sebenar datangnya rezeki. Kita selalu yakin bahawa rezeki yang kita dapat sekarang dan pada masa akan datang, datang dari usaha kita sendiri. Lebih banyak kita berusaha dan bersusah payah, lebih banyak yang akan kita perolehi dan capai.

Sememangnya mengikut ajaran Islam, telah diberitakan bahawa segala-galanya datang dari Allah (swt), tetapi sikap kita mencerminkan sebaliknya. Ini telah membawa kita kepada sikap mengutamakan kerja atau komitmen keluarga mengatasi komitmen dakwah. Mungkin ini kerana kita hidup dalam masyarakat yang sekular dan kapitalis di mana kita diajar untuk percaya bahawa kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk hasilkan kekayaan dan peluang bagi diri kita, dan juga hakikat bahawa kita hidup dalam keadaan ekonomi yang sukar.

Ya benar, Islam mengajar kita bahawa seorang lelaki mesti keluar mencari nafkah, dan ini adalah satu perbuatan yang mulia di sisi Allah (swt). Dan ya, kebanyakan kita mempunyai beberapa tanggungjawab, samaada kepada ibu bapa kita, anak-anak kita, atau kedua-duanya atau tanggungjawab bekerja dan ada sahaja bil yang perlu dibayar. Tetapi mencari rezeki, tidak boleh menjadi sesuatu yang amat penting sehingga menyebabkan kebanyakan masa, tenaga dan fokus ditumpukan hanya kepada mencari rezeki. Ia memang sebuah keutamaan tetapi ia termasuk dalam senarai panjang keutamaan yang kita ada. Dan yang paling penting, siapa sebenarnya yang berhak mendefinisikan keutamaan kita?

Allah (swt) berfirman:
Katakanlah, "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik” [TMQ At-Taubah: 24].

Jadi, berdasarkan ayat tersebut , Allah menyebutkan tentang perkara-perkara yang merupakan kewajipan kita seperti hak ibu bapa, hak pasangan kita dan sebagainya, tetapi Allah meletakkan kesemuanya dalam sebuah konteks bagi kita dan memberitakan kepada kita tentang akibat jika kita mengutamakan mereka melebihi Allah dan RasulNya.

Maka, yang mana satu yang kita utamakan? Pemahaman yang jelas mengenai rezeki adalah sesuatu yang penting untuk mempengaruhi hidup kita, yang akan menentukan bagaimana kita membuat keputusan yang tepat bilamana tiba soal menyeimbangkan tanggungjawab-tanggungjawab yang lain.

Rezeki datangnya daripada Allah

Rezeki kita semuanya di tangan Allah- salah satu nama Allah(swt) yang indah adalah Ar Razzaaq, Yang Maha Memberi Rezeki . Dialah yang menciptakan segala sumber makanan dan keperluan asas bagi makhlukNya. Dialah yang menyediakan segala-galanya yang diperlukan oleh makhlukNya.

” Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh” [TMQ adh-Dhariyat:58].

“Kami akan memberi rezeki kepadamu” [TMQ Al-An'aam: 151].

Ayat-ayat ini jelas menunjukkan bahawasanya Allah (swt) adalah Maha Pemberi Rezeki dan bahawa rahsia rezeki itu dalam bidang kuasa Allah semata-mata – Dia memberikan rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya, dan kuasa memberi rezeki adalah khusus bagi Allah semata-mata.

“ Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya” [TMQ Al-Ma’idah: 88].

Dalam ayat ini, Allah menggalakkan kita untuk memakan apa sahaja yang Allah telah sediakan untuk kita, tetapi mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita kepadaNya. Allah menghubungkan kedua-dua perkara ini dan mengingatkan kita agar tidak menjadikan pencarian rezeki itu sebagai jalan untuk melanggar mana-mana perintahNya. Allah juga sedang mengingatkan kita bahawa rezeki yang kita miliki, tidak kira berapa banyak kita rasa kita yang telah ‘mengusahakannya’, ia bukannya datang dari diri kita tetapi telah disediakan oleh Allah.

Penting juga untuk mengambil perhatian bahawa urusan rezeki tidak dikaitkan dengan manusia dalam mana-mana ayat atau hadis melainkan sekadar pengurusan dan pengagihannya, sepertimana Allah menyebut :

“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik” [TMQ An-Nisa: 5].

Allah juga menghubungkan taqwa dengan pemberian rezeki dalam ayat berikut :

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka“ [TMQ At-Talaq: 2-3].

Ini bermakna bahawa walaupun kita mungkin rasa kita tahu secara tepat dari mana hasil gaji kita datang setiap bulan, pasti ada saat ketika kita dicukupkan keperluan di saat kita benar-benar memerlukannya, dari jalan yang kita sendiri tidak sangka. Cuba fikirkan sejenak suatu ketika dahulu ketika mana anda sangat memerlukan pertolongan, atau ketika sesuatu dicuri dan kemudiannya diganti dengan yang lebih baik, atau anda ‘pokai’ atau nyawa-nyawa ikan dan tiba-tiba anda mendapat wang dari sebuah sumber yang anda tidak pernah jangkakan, ataupun mungkin sekadar anda diajak makan sesuatu(rakan belanja makan) pada waktu yang anda tak terfikir akan dibelanja makan.

Ini semua merupakan contoh mudah bagaimana kita diberi rezeki tanpa apa-apa usaha dari diri kita.

Walaubagaimanapun, Ini bukan bermaksud bahawa kita melakukan perkara yang melampau seperti meninggalkan pekerjaan dan kewajipan terhadap diri dan keluarga kerana ini akan melanggar peraturan Allah (swt) kerana kita diperintah untuk berusaha bagi mendapatkan rezeki kita sebagaimana firman Allah (swt) :

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah” [TMQ Al-Jummuah: 10].

Sebaliknya, kita perlu merancang kehidupan kita dengan cara yang sebaik mungkin dalam mencari rezeki agar tetap dapat memenuhi komitmen kita kepada Allah dan RasulNya, dan mempunyai keyakinan yang teguh kepada Ar-Razzaq agar Dia mencukupkan rezeki kita.

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Rahimullah mengatakan dalam kitabnya Jami al-ulum wa 'l-hikam fi sharh khamsina hadis min jawami al-kalim bahawa "... seorang hamba harus lebih yakin dengan apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada dalam tangan dia sendiri. Ini akan wujud daripada keteguhan dan kekuatan iman, kerana Allah menjamin rezeki hamba-hambaNya dan bertanggungjawab terhadap mereka.

“Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya” [TMQ Hud: 6].

”Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu” [TMQ adh-Dhariyat: 22].

Rezeki telah ditetapkan

Rezeki kita kadarnya telah ditetapkan. Ini adalah sebuah lagi konsep penting untuk difahami, bahawasanya rezeki untuk setiap makhluk telah ditetapkan oleh Allah (swt).

Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) berkata kepada isterinya Ummu Habiba: "Sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepada Allah tentang tempoh hidup yang telah ditetapkan, dan langkah-langkah yang akan kamu ambil, dan limpah kurnia rezeki yang telah ditetapkan. Tiada apa yang akan berlaku sebelum masa yang ditetapkan, dan tiada apa yang akan ditangguhkan lewat dari apa yang telah ditetapkan" [Muslim].

Seorang Muslim perlu sentiasa bergantung kepada Allah (swt), kepercayaan ini memberikan kekuatan kepada orang beriman untuk mengatasi kesusahan mereka. Seseorang yang mempunyai pemahaman yang tepat bahawasanya rezekinya adalah dari Allah (swt) akan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah (swt) agar memberinya rezeki terutamanya di saat beliau dalam kesusahan.

“Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat” [TMQ Ar-Ra’d: 26].

Jadi, jika tiba saat yang sukar, orang yang benar-benar beriman akan nampak ia sebagai ujian dari Allah (swt), dan Allah lah yang akan memberikan kecukupan dan jalan keluar bagi masalah. Kita perlu mengambil peringatan dari ayat yang menceritakan tentang apa sebenarnya kehidupan ini”…hanyalah kesenangan kecil dan tidak kekal”.

Ketika berhadapan dengan masa-masa yang sulit dan sukar, misalnya keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, kita mungkin terdorong untuk bekerja lebih masa, atau mencari pekerjaan tambahan (sampingan) sehinggakan kita tiada lagi tenaga sampaikan kita mengabaikan tanggungjawab lain tetapi orang beriman yang percaya sungguh-sungguh bahawa rezekinya datang dari Allah(swt) , yang memahami nasihat Rasulullah bilamana Rasulullah (saw) bersabda :

"Janganlah kerana ketakutan kepada orang menyebabkan kamu berhenti mengatakan kebenaran, atau melakukan sesuatu yang penting, kerana apa yang kita kata atau lakukan tidak akan hentikan rezeki yang diperuntukkan kepada kita, atau mendekatkan kita kepada ajal yang telah ditentukan.”

...Dan yang memahami bahawa dia mungkin dihalang daripada rezekinya kerana perlakuan haram yang dia lakukan seperti yang dinyatakan dalam hadis Thawban dalam riwayat Ahmad bahawa Nabi (saw) bersabda "hamba ini dilarang mendapat rezekinya kerana perlakuan salah yang dia lakukan ".

Nilai kekayaan

Kualiti terakhir bagi orang beriman yang telah memahami rezeki dalam konteks yang benar, adalah nilai kecil yang dia letakkan pada hartanya, ataupun nilai yang dia letakkan pada hartanya adalah berbeza. Dia tahu ia sebuah beban, dia sedar rezekinya telah ditetapkan dan bahawa Allah (swt) akan mencukupkan rezekinya jadi tidak ada kerisauan untuk membelanjakan hartanya dengan bebas ke jalan yang benar dan dengan cara yang selari dengan syariat, kerana amalan ini akan memberi keuntungan kepada dia di akhirat manakala harta dunia yang dia kumpulkan dan barang-barang dan perlindungan yang dia telah beli tidak akan menguntungkannya.

Abu Dawud dan at-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab berkata: Rasulullah (saw) memerintahkan kami untuk memberikan sedekah dan saya bersetuju untuk memberi dengan harta yang saya miliki, jadi saya berkata, "Hari ini saya akan mengalahkan Abu Bakar dan saya membawa separuh daripada kekayaan saya." Rasul Allah (saw) berkata: "Apa yang anda tinggalkan untuk keluarga anda?" Saya berkata, "Saya tinggalkan separuh lagi harta saya." Kemudian Abu Bakar datang dengan segala harta miliknya, lalu Rasul berkata, "Abu Bakar, apa yang telah anda tinggalkan untuk keluarga anda?" dia berkata, "Aku telah meninggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya." Saya berkata, "Aku tidak akan pernah mengalahkan dia dalam apa-apa."

Atau kisah Mus'ab bin Umair, yang mana Nabi (saw) pernah berkata, "Tiada siapa yang lebih kacak di Mekah daripada Mus'ab. Tiada orang dalam bandar ini yang lebih baik pakainnya dan mewah makan minumnya daripada Mus’ab. Tiada kanak-kanak dibesarkan dengan cinta dan kasih sayang yang lebih dari yang dia dibesarkan.”

Dia berasal dari keluarga yang kaya raya tetapi selepas penerimaannya kepada Islam, beliau menumpukan seluruh hidupnya ke jalan Allah dan Rasul-Nya sehinggakan pernah sekali beliau menemui Rasulullah(saw) dalam keadaan beliau hanya berpakaian kulit yang compang-camping untuk menutup tubuhnya. Bilamana sahabat Rasulullah (saw) nampak ini, mereka mendongak kepala dalam kekaguman.

Nabi (saw) bersabda :
"Alhamdulillah sekarang keadaan dunia dan orang yang cintakan dunia perlu berubah. Ini adalah pemuda yang tiada tandingannya di Mekah kerana membesar dalam penuh kemewahan. Tetapi kerana cinta terhadap kebaikan dan cinta kepada Allah dan Rasulnya telah menjadikan dia tidak peduli kepada kesenangan duniawi.”

Pendakwah mesti bersedia untuk menghadapi ujian dan seksaan dari mereka yang menentang Islam. Satu-satunya cara untuk bersedia menghadapi perkara tersebut adalah perlunya ada ilmu yang jelas dan benar tentang idea Islam yang asas seperti rezeki datangnya dari Allah (swt) , dan Al-Tawakkul (pergantungan kepada Allah (swt) di samping perkara-perkara lain.

Pemahaman ini perlu difikirkan dengan baik dan bebas daripada keraguan kerana ia akan membebaskan orang beriman dari usaha dan keletihan untuk mengumpul harta dan seterusnya meletakkan fokusnya kepada memenuhi seruan Allah. Ia juga akan menghasilkan individu yang berpegang kepada undang-undang syariah bilamana mendapatkan harta dan seseorang yang bersifat pemurah, yang sentiasa aktif mencuba mencari cara-cara bermanfaat untuk membelanjakan hartanya dengan cara yang akan menguntungkannya yakni melalui redha Allah.

“Kerana sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dengan tidak terkira” [TMQ al-Imran: 37].

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment