Demokrasi Menaja Kebebasan yang 'Membunuh' Wanita

Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)

8 Mac 2016 sekali lagi menyaksikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini ialah “Pledge For Parity” (Bersama Menjamin Kesetaraan). Tema yang menekankan kepentingan kesamarataan atau kesetaraan gender dalam pembangunan masyarakat ini telah sekian lama menjadi asas perjuangan gerakan wanita atau golongan feminis di peringkat global dalam kerangka memperjuangkan hak asasi.

Dunia telah dimomokkan, kononnya pelbagai kelebihan bakal dinikmati bersama seandainya misi kesetaraan gender ini tercapai. Antaranya, ia mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan produktiviti negara, seluruh masyarakat akan menikmati prestasi kewangan dan harga saham yang lebih stabil, mampu mendatangkan kemakmuran bukan sahaja kepada wanita, syarikat malah kepada negara secara seluruhnya dan pelbagai lagi jaminan kemakmuran yang bakal dikecapi. Malaysia, negara demokrasi yang dihuni oleh majoriti umat Islam turut tidak ketinggalan dalam agenda licik yang diperkenalkan oleh kuffar Barat ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menggesa negara ini yang merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar serius dalam mematuhi Matlamat 5 yang terkandung dalam Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Mampan iaitu menerima pakai dasar yang kukuh dan menguatkuasakan undang-undang bagi menggalakkan kesetaraan gender dan seterusnya memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan pada semua peringkat. Walaupun kesetaraan gender dalam pendidikan telah dikatakan berjaya, namun rakyat di negara ini masih mempunyai pandangan stereotaip mengenai peranan wanita sehingga agak sukar mendapat peluang yang sama seperti yang dinikmati oleh kaum lelaki dalam pelbagai bidang. Menurut SUHAKAM lagi, kesetaraan gender adalah asas yang penting bagi keamanan dan kemakmuran negara apabila semua orang dapat mengakses dan menikmati ganjaran, sumber dan peluang yang sama tanpa mengira gender.

Kebebasan Wanita Acuan Demokrasi

Sebagai natijah daripada tunduk dan patuhnya pemerintah dengan agenda kufur PBB tersebut, maka kehidupan wanita kini hanya berbekalkan motivasi untuk bersaing dengan kaum lelaki. Jika lelaki boleh melakukannya, maka wanita juga boleh melakukannya.Wanita yang tidak jernih pemikirannya dan wanita yang mudah termakan dengan hasutan fahaman yang dibawa oleh golongan feminis ini, merasakan tidak adil jika hanya kerana mereka dikurniakan dengan organ reproduksi, maka mereka wajib berperanan sebagai ibu, mengasuh anak kecilnya, menguruskan rumah tangga dan pelbagai tugas domestik yang lain. Isu-isu yang melibatkan kaum wanita seperti kemiskinan, kebodohan, keganasan terhadap wanita, pemerdagangan manusia dan sebagainya dikatakan timbul akibat keterperosokan dan gaya hidup kolot wanita itu sendiri. Ironisnya, berbekalkan strategi untuk membebaskan wanita mengikut acuan demokrasi, perjuangan golongan feminis telah menyalahkan agama, khususnya syariat Islam. Syariat Islam yang mulia telah dilabelkan sebagai penghalang kepada kemajuan wanita. Contohnya hukum meminta izin suami ketika keluar rumah, kewajipan bersama mahram ketika safar dan larangan berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram dikatakan menyekat kebebasan wanita.

Prinsip kebebasan yang menjadi dasar dalam demokrasi akhirnya mencipta pandangan bahawa agama perlu ditundukkan dan diketepikan, nau’zubillahiminzalik. Kebebasan dan kedaulatan yang dimiliki manusia menempatkan akal semata-mata untuk membuat penilaian dan peraturan untuk hidupnya sendiri. Ini sekaligus mendorong wanita (termasuklah wanita Islam yang telah dirosakkan dan dipengaruhi pemikirannya) tadi untuk bangkit memperjuangkan aspirasinya agar dasar-dasar yang ditetapkan pemerintah akan memihak kepadanya. Justeru tidak hairanlah apabila wanita menuntut hak untuk tidak mahu mengandung, tidak mahu menyusukan anak, sanggup meninggalkan anak-anaknya, ingkar serta enggan mentaati suami, tidak mahu terikat dengan urusan rumah tangga dan menuntut untuk bebas berinteraksi dengan mana-mana lelaki pun.

Padahal menurut seorang jutawan Nicholas Rockefeller, tujuan kesetaraan gender adalah untuk mengumpulkan lebih banyak cukai demi kepentingan perniagaan para kapitalis. Seorang penulis terkenal Bernard Lewis menulis dalam bukunya, The Middle East, faktor utama perjuangan hak wanita adalah untuk sektor ekonomi yang memerlukan tenaga buruh wanita. Konsep kesetaraan gender ciptaan Barat sebenarnya lahir untuk memenuhi keperluan perniagaan, bukannya menaikkan martabat wanita. Seterusnya industri fesyen, kosmetik, ubat pelangsing badan berjaya menjana kekayaan kerana dikatakan memberi rasa bahagia bagi wanita yang menikmati kebebasan. Justeru, konsep kesetaraan gender yang kononnya membuatkan lelaki dan wanita setaraf hanyalah fatamorgana semata-mata. Lebih buruk, wanita terus dieksploitasi dan dimanipulasi oleh para kapitalis yang rata-ratanya adalah lelaki.

Realiti Demokrasi Mengorbankan Wanita

Pertama, demokrasi telah menyerang peranan keibuan. Ibu yang hakikatnya diamanahkan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak terpaksa menjadi pencetak duit tanpa jaminan penjagaan kehormatan, kesihatan, keselamatan dan keamanan. Ibu terpaksa menjauhkan diri daripada tanggungjawabnya terhadap anak-anak.

Kedua, pendidikan keperibadian anak terabai akibat hilangnya peranan si ibu.

Ketiga, rumah tangga tidak mejadi harmoni akibat pemerkasaan wanita mengikut acuan demokrasi. Kadar penceraian meningkat kerana wanita ingin berdikari secara ekonomi dan politik.

Keempat, kehancuran masyarakat sebagai akibat daripada tiga faktor di atas. Ibu menganggap anak, suami dan rumah tangga sebagai beban sehingga menyebabkan dia merasakan lebih tenang menjadi ibu tunggal. Anak yang menghadapi situasi perceraian kedua ibu bapanya tidak memperolehi kasih sayang yang diperlukan dan didikan yang sempurna justeru cenderung terjerumus dengan gejala-gejala yang tidak sihat.

Kelima, sistem demokrasi dan Kapitalisme semakin kukuh kerana ramai wanita yang tidak menyedari muslihat sebenar di sebalik perjuangan kesetaraan gender ini. Wanita diperkasakan bagi mengubah keadaan ekonomi negara kepada lebih baik tanpa mengubah sistem yang merendahkan martabat mereka.

Campakkan Demokrasi, Kembalikan Syariah!

Sesungguhnya demokrasi adalah satu ilusi yang penuh pembohongan kerana ia tidak pernah dan tidak mampu menjamin kesejahteraan wanita. Perjuangan hak-hak wanita di beberapa negara umat Islam telah menjadikan Muslimah mengambil budaya berfikir ala wanita Barat yang menolak kebenaran wahyu. Maka kerosakan demi kerosakan terus berlaku. Sungguh benar firman Allah SWT,

“Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun” [TMQ an-Nur (24): 39].

Sebenarnya Allah SWT telah menjelaskan dengan terperinci bagaimana hanya Syariah dapat menjamin kesejahteraan wanita. Islam memuliakan wanita pada posisi dan peranan yang menepati fitrah kejadiannya. Wanita ialah ibu dan pencetak generasi. Dibahunya terletak tanggungjawab yang besar untuk pembentukan generasi kebanggaan ummah. Bagi memastikan fungsinya berjalan dengan baik, Syariah Islam menjamin kehormatan dan kemuliaannya. Hukum-hukumnya termasuklah pernikahan, hak dan kewajipan suami dan isteri, kehamilan, kelahiran, penyusuan, jaminan nafkah, pendidikan dan lain-lain. Islam juga menetapkan kewajipan bagi negara untuk memelihara dan melindungi tugas mulia setiap ibu. Kesemua hukum tersebut pernah diterapkan oleh Rasulullah SAW dan telah diteruskan oleh para Khalifah, pemerintah dan perisai bagi umat Islam.

Khatimah

Sejarah penerapan Syariah Islam di bawah sistem Khilafah seperti pengusiran Bani Yahudi Qainuqa’, keberanian Khaulah mengkritik Khalifah Umar serta pengiriman tentera oleh Khalifah Mu’tasim, adalah bukti yang tidak dapat disangkal lagi. Rakaman sejarah daripada perisitwa-peristiwa di atas adalah manifestasi kepada keunggulan Syariat Islam memartabatkan kaum wanita. Malangnya tidak sedikit umat Islam hari ini khususnya wanita telah kabur dan dibutakan oleh wayang yang dimainkan oleh Barat! Ayuhlah para Muslimah, jangan tertipu lagi dengan perjuangan kesetaraan gender bertunjangkan kebebasan sistem demokrasi. Mari bersama-sama memperjuangkan Syariah dan Khilafah yang bukan sahaja mensejahterakan wanita, tetapi anak-anak juga kaum lelaki, Muslim dan juga non-Muslim.

Wallahu ‘alam.

Nota kaki:
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment