Gerakan Selamatkan Malaysia – Apa yang Perlu Kita Sedari

Selepas Deklarasi Rakyat, gabungan individu yang menuntut pengunduran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berhimpun dalam Kongres Rakyat yang diadakan pada Ahad lepas (27 Mac). Golongan ini sekarang bergerak di bawah nama “Gerakan Selamatkan Malaysia” yang secara tak rasminya diterajui oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mesej dalam kongres tersebut sama sahaja iaitu menuntut Najib turun dari takhta, kerana telah banyak merosakkan negara.

Apa pun yang telah mereka lakukan, setakat ini Najib nampaknya tetap tidak berganjak, walau suku sentimeter pun, dari kerusi empuknya. Najib cuma memberi respons bahawa cara untuk menjatuhkannya seperti itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kumpulan pendesak itu sepatutnya menunggu pilihan raya umum ke-14 nanti untuk berbuat demikian.

Melihat kepada realiti yang ada, walaupun tidak mustahil, tetapi agak sukar bagi Gerakan Selamatkan Malaysia untuk mencapai objektif mereka menyingkirkan Najib, selagi ramai pemimpin UMNO dan pihak polis masih menyokong Perdana Menteri Malaysia itu.

Apatah lagi ikatan yang wujud dalam kumpulan pendesak itu amat rapuh kerana ia hanya berlandaskan kepada manfaat semasa dan sementara. Apabila hilang manfaat, maka bubarlah permuafakatan tersebut dan keadaan akan kembali seperti sebelumnya, yang menyaksikan mereka bercakaran sesama sendiri dan saling membongkar pekung antara satu sama lain.

Itu dari satu sudut. Dari sudut lain yang jauh lebih penting, persoalannya, adakah Malaysia dapat diselamatkan dengan hanya penyingkiran seorang Perdana Menteri?

Walaupun kemarahan pada Perdana Menteri kini boleh dikatakan sampai ke tahap maksimum bagi sebahagian rakyat, namun sebagai Muslim, kita perlu bertanya adakah jalan penyingkiran PM itu merupakan jalan yang benar yang dapat menyelamatkan Malaysia? Adakah dengan turunnya Najib dan naiknya orang lain contohnya Zahid Hamidi atau Hishamuddin Hussein yang begitu rapat dengan Amerika, akan dapat menyelamatkan Malaysia?

Persoalan yang perlu dijawab di sini bukanlah persoalan untuk selamatkan Malaysia dari siapa, tetapi untuk selamatkan Malaysia dari apa? Ini kerana, siapa pun yang memegang tampuk pemerintahan, jika ia menerapkan sistem Islam, maka Insya Allah Malaysia dan rakyatnya akan selamat. Namun, siapa pun yang berada di tampuk pemerintahan dan menerapkan sistem selain Islam, maka Malaysia dan rakyatnya tidak akan selamat sampai bila-bila.

Setiap Muslim sepatutnya tahu, bukan sahaja jalan yang benar untuk menyelamatkan Malaysia, tetapi hendaklah tahu dari manakah ia perlu bermula. Jika inginkan perubahan, maka hendaklah tahu ‘apa’ yang ingin diubah dan ‘kenapa’ perlu diubah, barulah kemudian menjawab persoalan ‘bagaimana’ perlu diubah. Kegagalan menjawab kesemua persoalan ini dengan benar (berdasarkan hukum syarak), akan menyebabkan kita semua terus berada dalam kitaran musibah yang tidak berkesudahan, seperti mana sekarang!

Realitinya, kita telah menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri hasil dari ‘desakan’ ke atas mereka untuk berundur. Dr. Mahathir didesak hebat oleh pembangkang (dan dari dalam UMNO juga, walaupun tidak kuat) agar berundur kerana dikatakan zalim dan banyak skandal semasa pemerintahannya sehingga Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu digelar sebagai Maha Firaun. Mahathir lalu berundur dan diganti dengan Abdullah Badawi.

Tidak lama setelah berkuasa, Pak Lah pula didesak habis-habisan agar berundur, dari dalam dan luar UMNO kerana dikatakan ‘lembik’ dan banyak pembaziran projek mega di zamannya serta pemerintahannya dipengaruhi oleh orang lain. Dr. Mahathir dan Muhyiddin Yassin antara tokoh berpengaruh dalam UMNO dalam usaha penyingkiran Perdana Menteri Malaysia kelima itu.

Pak Lah akhirnya akur, lalu berundur dan menyerahkan jawatan kepada Najib. Pertukaran PM ini pada awalnya amat disukai dan dinanti-nantikan oleh Mahathir sendiri, yang akhirnya mengakui kesilapannya, sama ada dalam melantik Pak Lah atau melobi untuk pelantikan Najib. Mahathir kini hidup dalam kekesalan yang tak terhingga, sehingga beliau sanggup berjuang habis-habisan untuk menjatuhkan Najib walau apa risikonya sekali pun.

Akhirnya Mahathir mengetuai Gerakan Selamatkan Malaysia dan menyerang Najib dari segenap arah tanpa henti, dalam usaha mendesak Najib berundur. Gelombang yang dicipta Mahathir kali ini dan tuntutan untuk jatuhkan Najib ternyata jauh lebih besar dari dua tuntutan sebelumnya.

Kita telah menyaksikan bagaimana pertukaran wajah Perdana Menteri semata-mata tidak akan menjadikan Malaysia lebih baik dan tidak pernah dapat menyelamatkan Malaysia, malah ternyata Malaysia lebih buruk setiap kali berlakunya pertukaran Perdana Menteri. Maka persoalan simplenya ialah, kenapa perlu mengulang hal yang sama, sedangkan hasil dan akibatnya sudah kita lihat berkali-kali?

Malaysia ini hanya ibarat ‘kilang kapitalisme’ yang dipenuhi mesin-mesin yang telah usang dan rosak dan telah menghasilkan banyak produk yang rosak, manakala Perdana Menteri ialah ketua operatornya. Justeru, jika ditukar 100 kali ketua operatornya pun, tidak akan dapat menyelamatkan kilang, mesin-mesin dan produk-produk yang telah rosak ini. Sesungguhnya kilang ini berserta kesemua mesin di dalamnya perlu diganti baru, barulah ia akan beroperasi dengan baik dan akan mengeluarkan produk yang baik.

Ayuhlah bersama Hizbut Tahrir untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Inilah satu-satunya jalan yang benar untuk menyelamatkan Malaysia.

Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment