Hukum Isbal Bagi Lelaki


Soalan:

Ustaz, apa hukum isbal (melabuhkan seluar atau kain sarung) melebihi paras mata kaki bagi lelaki?

Jawapan:

Isbal ertinya melabuhkan sesuatu (kain sarung, seluar, jubah, dll) dari atas sampai ke bawah melebihi paras mata kaki. (Rawwas Qal’ahjie, Mu’jam Lughah Al Fuqoha`, ms. 139; Sa’di Abu Jaib, Al Qamus Al Fiqhi, ms. 111).


Hukum isbal bagi lelaki dibahas seperti berikut, Pertama, isbal kerana sombong, hukumnya haram. Dalilnya hadis Ibnu Umar RA, dia berkata,”Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ جَرَ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ لَمْ يَنْظُرِ اللهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Barang siapa yang melabuhkan bajunya (melebihi mata kaki) kerana sombong maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada Hari Kiamat.” [HR Bukhari dan Muslim]. Imam Syaukani mengatakan hadis ini menunjukkan haramnya isbal kerana sombong (khuyala`). (Imam Syaukani, Nailul Authar, ms. 328).

Kedua, isbal bukan kerana sombong, hukumnya tidak haram, tetapi makruh. Ini pendapat jumhur ulama’ dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hambali. (Nashir bin Muhammad bin Misyri Al Ghamidi; Libasur Rajul Ahkamuhu wa Dhawabithuhu, Juz I ms. 703).

Dalil tidak haramnya isbal jika bukan kerana sombong, adalah mafhum mukhalafah (makna tersirat yang sebaliknya dari makna yang tersurat) dari hadis Ibnu Umar RA di atas. Imam Syaukani menjelaskan kata khuyala` (sombong) dalam hadis tersebut merupakan taqyid (batasan). Maka mafhum mukhalafahnya adalah ‘siapa pun yang melabuhkan bajunya [melebihi mata kaki] bukan kerana sombong, bererti dia tidak akan mendapat ancaman seperti yang dinyatakan dalam hadis itu’. Imam Syaukani rahimahullah menyatakan :

و ظاهر التقييد بقوله خيلاء يدل بمفهومه أن جر الثوب لغير الخيلاء لا يكون داخلا في هذا الوعيد

“Zahirnya taqyiid (batasan) dengan sabda Nabi SAW “khuyala`” (kerana sombong), mafhum mukhalafahnya menunjukkan bahawa melabuhkan baju bagi orang yang tidak sombong tidak termasuk dalam ancaman ini.” (Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut : Dar Ibn Hazm, 2000, ms. 328).

Selain mafhum mukhalafah ini, terdapat manthuq (makna tersurat) dari nas yang tidak mengharamkan isbal jika bukan kerana sombong. Dari Ibnu Umar RA, dia berkata,”Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ جَرَ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ لَمْ يَنْظُرِ اللهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَقَالَ أَبُوْ بَكْرٍ إِنَ أَحَدَ شِقَيْ إِزَارِيْ يَسْتَرْخِيْ إِلاَ أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ، فَقَالَ إِنَكَ لَسْتَمِمَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ خُيَلاَءَ

“Barangsiapa melabuhkan bajunya [melepasi mata kaki] kerana sombong, maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada Hari Kiamat.’ Abu Bakar kemudian berkata,’Sesungguhnya salah satu hujung kain sarungku selalu terulur [melebihi mata kaki] kecuali aku sengaja mengikatnya.’ Maka Rasululullah SAW bersabda,’Sesungguhnya engkau tidak termasuk orang yang mengerjakan perbuatan itu kerana sombong.” [HR Bukhari, Abu Dawud, dan Nasa`i]. (Imam Syaukani, Nailul Authar, ms. 327; Imam Shan’ani, Subulus Salam, 4/158).

Hadis ini menunjukkan isbal bukan kerana sombong adalah tidak haram. Walaupun tidak haram bukan bererti hukumnya mubah, tetapi makruh. Sebab terdapat nas-nas yang melarang isbal secara mutlak, baik kerana sombong mahupun tidak. Dari Jabir bin Sulaim RA, Nabi SAW pernah bersabda :

وَارْفَعْ إِزَارَكَ إِلىَ نِصْفِ السَاقِ فَإِنْ أَبَيْتَ فَإِلىَ الْكَعْبَيْنِ وَإِيَاكَ وَإِسْبَالَ الْإِزَارِ فَإِنَهَا مِنَ الْمَخِيْلَةِ وَإِنَ اللهَ لاَ يُحِبُ الْمَخِيْلَةِ

“Angkatlah kain sarungmu hingga pertengahan betis. Kalau kamu enggan, angkatlah hingga ke mata kaki. Hindarkan dirimu dari isbal terhadap kain sarung, kerana isbal itu merupakan kesombongan, dan sesungguhnya Allah tidak menyukai kesombongan.” [HR Abu Dawud, Nasa`i, dan Tirmidzi]. (Imam Syaukani, Nailul Authar, ms. 328).

Hadis ini menunjukkan larangan isbal secara mutlak, baik kerana sombong mahupun tidak.

Maka, walaupun isbal bukan kerana sombong pun, tetap terkena larangan mutlak ini. Namun demikian, isbal yang bukan kerana sombong hukumnya makruh, bukan haram. Kerana terdapat qarinah yang masih membolehkan isbal asalkan tidak sombong, iaitu hadis Ibnu Umar tentang kisah Abu Bakar di atas. Jadi, isbal yang bukan kerana sombong hukumnya makruh. Imam Syaukani menukilkan pendapat Imam Nawawi seperti berikut :

قال النووي إنه مكروه وهذَا نص الشافعي قال البويطي في مختصره عن الشافعي لا يجوز السدل في الصلاة ولا في غيرها للخيلاءولغيرها خفيف لقول النبي صلى الله عليه وسلم لأبي بكر، انتهى

“Imam Nawawi berkata,’Sesungguhnya hal itu (isbal bukan kerana sombong) adalah makruh, dan inilah nas dari Imam Syafi’i. Imam Al Buwaithi telah mengatakan dalam kitab Mukhtashar-nya dari Imam Syafi’i bahawa tidak boleh isbal baik dalam solat mahupun di luar solat bagi orang yang sombong. Adapun orang yang tidak sombong maka ada keringanan berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Abu Bakar” (Imam Syaukani, Nailul Authar, ms. 328).

Memang ada sebahagian ulama’ yang mengharamkan isbal secara mutlak, yakni isbal kerana sombong mahupun tidak, seperti Qadhi ‘Iyadh, Imam Ibnul ‘Arabi, dan Imam Ibnu Hajar Al ‘Asqalani. Namun Imam Syaukani menolak pendapat ini. Kerana pendapat ini bererti tidak mengamalkan hadis muqayyad (yang mengandungi taqyid/batasan), yakni kata khuyala` (sombong) dalam hadis Bukhari tersebut. Padahal hadis yang mutlak (iaitu hadis Jabir bin Sulaim RA di atas) mahupun yang muqayyad seharusnya diamalkan oleh semua, dengan mengkompromikan nas mutlak dan nas muqayyad, yang sesuai dengan kaedah usul fiqh : yuhmal al muthlaq ‘ala al muqayyad wajib (membawa nas yang mutlak kepada nas yang muqayyad adalah wajib). (Imam Syaukani, Nailul Authar, ms. 328; ‘Amir bin Isa Al Lahwu, Manhaj Al Imam Al Syaukani fi Daf’i Al Ta’arudh Baina Al Adillah Al Syar’iyah, ms. 14).

Kesimpulannya, isbal kerana sombong hukumnya haram dan isbal bukan kerana sombong, hukumnya tidak haram, tetapi makruh. Inilah hukum syara’ tentang isbal yang kami rajihkan. Wallahu a’lam.

Oleh: Ustaz Shiddiq al-Jawi (Lajnah Tsaqafiyah HTI)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment