Khilafah Menjaga Kehormatan Muslimah

Oleh: Najmah Saiidah (Anggota Lajnah Tsaqofiyah MHTI)

“Hukum asal seorang wanita adalah sebagai ibu dan pengatur rumah tangga; wanita adalah kehormatan yang wajib dijaga.”

Hari ini Kapitalisme telah membuat kehidupan manusia sangat sengsara. Ekonomi kapitalis telah menimbulkan kemiskinan yang mengerikan. Kerana kemiskinan, ramai wanita terpaksa bekerja dan meninggalkan peranan utamanya sebagai ibu. Akibatnya, ramai yang mengalami tekanan dan hilang naluri keibuannya. Malah tidak sedikit dikalangan mereka yang telah mengeksploitasi dirinya untuk mendapatkan wang demi menampung semua keperluannya.

Sistem Islam yang diterapkan oleh Daulah Islam atau Khilafah Islam adalah berbeza daripada sistem Kapitalisme. Penerapan Islam oleh sistem pemerintahan Khilafah bukan sahaja mewujudkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga ketenteraman hidup semua rakyatnya, termasuk wanita. Khilafah mengangkat wanita dalam kedudukan terhormat dan mulia. Khilafah memastikan mereka mampu menjalankan peranan mereka untuk melahirkan dan mencetak generasi.

Khilafah Menjaga Kehormatan Wanita

Bagaimana Khilafah Islam melaksanakan tanggungawabnya dalam rangka menjaga kehormatan wanita?

Pertama: Khilafah akan menerapkan syariah Islam yang dengan sangat tegas menjaga kehormatan wanita. Peraturan tersebut antaranya adalah kewajipan meminta izin apabila memasuki kehidupan khusus orang lain. Ini bertujuan agar wanita—yang di dalamnya dibenarkan untuk menanggalkan jilbab—tidak terlihat auratnya oleh lelaki yang bukan mahram-nya (Lihat: QS an-Nur [24]: 27). Islam juga mewajibkan wanita menutup seluruh tubuhnya (kecuali muka dan kedua telapak tangannya) dan memakai tudung (QS an-Nur [24]: 31) dan jilbab (QS al-Ahzab [33]: 59) ketika keluar rumah. Khilafah Islam juga akan memerintahkan mahram-nya untuk menemani wanita ketika dia melakukan perjalanan yang jauh. Khilafah akan melarang wanita untuk melakukan perjalanan sejauh perjalanan lebih dari sehari semalam seorang diri tanpa ditemani oleh mahram-nya, sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah SAW
.
Khilafah Islam akan melarang wanita mendedahkan kecantikan mereka (tabarruj) di hadapan lelaki asing (QS al-Ahzab [33]: 33). Khilafah juga akan melarang wanita bekerja jika pekerjaan itu adalah untuk mengeksploitasi sisi sensualiti mereka, seperti menjadi model atau peragawati, kerana pasti dengan pekerjaan seperti ini, kaum wanita turut menghina dirinya sendiri.

Semua hukum tersebut sebenarnya bukanlah untuk menyekat kebebasan wanita. Malah dengan peraturan tersebut wanita dimuliakan kerana boleh beraktiviti tanpa sebarang ancaman. Sebab, mereka yakin bahawa Allah SWT akan melindungi wanita kerana mereka telah terikat dengan peraturan Allah SWT.

Kedua: Khilafah akan menjamin pelaksanaan tugas utama wanita sebagai ibu dan pengatur rumah (ummu wa rabbatul bayt). Untuk menjamin kedudukan yang mulia ini, Islam menjauhkan wanita daripada skop tanggungjawab yang berat yang ada dalam urusan pemerintahan. Ia sudah tentu untuk menjaga kedudukan utamanya sebagai ibu generasi. Anda boleh bayangkan apabila wanita menjadi pemerintah, pengatur urusan rakyat yang begitu banyak dan kompleks, urusan rumah dan anak-anak mereka akan diabaikan. Bagi memastikan kesinambungan fungsi ibu, Islam juga mengecualikan kewajipan untuk berpuasa Ramadan bagi mereka semasa mengandung dan menyusukan anak, juga mengecualikan kewajipan solat semasa mereka haid.

Islam mewajibkan pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas wanita untuk memenuhi hak-hak mereka dengan baik, termasuk negara. Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan untuk laki-laki supaya dapat memberi nafkah kepada keluarga mereka. Negara juga wajib menyediakan kemudahan yang diperlukan, seperti kemudahan kesihatan dan pendidikan yang baik supaya wanita boleh melakukan peranannya yang mulia dengan baik juga. Negara wajib memastikan keselamatan dalam kehidupan awam supaya wanita mendapat ketenangan apabila keluar rumah untuk menunaikan kewajipan mereka.

Khilafah juga menerapkan sistem pendidikan Islam berdasarkan akidah Islam. Sistem ini akan melahirkan generasi berkeperibadian Islam, berkelayakan dalam ilmu dan sains teknologi serta berjiwa pemimpin. Tentu ini akan semakin memudahkan tugas wanita sebagai pendidik generasi, sekolah pertama (madrasatul ula) untuk anak. Kaum ibu tidak akan bimbang dengan kesolehan anak yang telah dibentuk dari rumah kemudian dirosakkan oleh persekitaran sekolah dan sikap guru-gurunya.

Ketiga: Khilafah akan menjaga keselamatan wanita, sama ada di dalam rumah atau di luar rumah, daripada sebarang gangguan yang akan membahayakan dirinya. Khilafah akan menerapkan hukuman (‘uqûbat) Islam. Setiap pesalah, sama ada melanggar hukum syariah atau pentadbiran negara, akan dikenakan hukuman mengikut ketentuan syariah dan dasar Khalifah. Khilafah akan mengenakan hukuman sebatan dan rejam bagi penzina, hukum potong tangan bagi pencuri, hukum qisâs bagi pembunuh dan jenayah fizikal, hukuman sebatan bagi peminum arak, hukum ta’zir (seperti denda, sebatan atau penjara) bagi pelaku khalwat, pelecehan dan lain-lain. Hukum-hukum tersebut akan menjamin keselamatan, kehormatan dan kemuliaan wanita.

Keempat: Khilafah akan menguasai media massa supaya kandungan yang disampaikan tidak menyimpang dari syariah Islam. Media massa bagi Khilafah dan kepentingan dakwah Islam mempunyai fungsi yang strategik. Di dalam negara, media massa berfungsi untuk membina masyarakat Islam yang kukuh. Oleh kerana itu Khilafah akan memantau media-media swasta yang ada, sama ada cetak mahupun elektronik supaya tidak membahayakan masyarakat. Untuk menjaga kehormatan wanita dan keluarga Muslim, Khilafah akan menghapuskan sama sekali tayangan-tayangan yang mendedahkan aurat, pornografi ataupun yang bersifat keganasan. Kerana, tayangan-tayangan tersebut akan menyuburkan kemaksiatan di tengah-tengah masyarakat yang mengakibatkan pelanggaran kehormatan wanita.

Demikianlah. Islam dengan hukum-hukum syariahnya yang diterapkan oleh Khilafah sedemikian rupa menjaga dan melindungi wanita. Di dalam masyarakat Khilafah, wanita tidak akan dipaksa atau terpaksa bekerja; kerosakan akhlak generasi kesan daripada kaum wanita yang meninggalkan tugas-tugasnya juga tidak akan banyak berlaku.

Bukti Sejarah

Penjagaan kehormatan wanita oleh Khilafah telah banyak dibuktikan dalam sejarah. Pada zaman Nabi SAW. seorang Muslimah membeli-belah di pasar Bani Qainuqa. Seorang Yahudi mengikat hujung pakaiannya sehingga ketika berdiri, aurat wanita itu terdedah diiringi dengan gelak ketawa orang-orang Yahudi di kawasan itu. Wanita itu menjerit. Kemudian salah seorang Sahabat datang untuk menolong dan segera membunuh pelakunya. Namun, orang-orang Yahudi membelasah dan membunuh Sahabat tersebut. Ketika berita ini sampai kepada Nabi SAW baginda terus mengumpulkan tenteranya. Pasukan Rasulullah SAW. mengepung mereka dengan rapat selama 15 hari sehingga akhirnya Bani Qainuqa menyerah kerana takut.

Pada masa Khalifah Umar bin al-Khaththab beliau biasa membuat rondaan di sekitar rumah penduduk setiap malam. Satu malam dia mendengar suara tangisan anak-anak dari sebuah rumah yang ternyata menangis kerana kelaparan. Ibu anak-anak itu sedang memasak batu yang pasti tidak akan pernah masak. Melihat itu, Khalifah Umar bersegera mengambil sekarung gandum yang beliau bawa sendiri dan diberikan kepada ibu tersebut.

Pada satu malam yang lain, beliau mendengar keluhan seorang wanita—melalui senandung syair—yang merindukan suaminya yang sedang menjalankan tugas di medan pertempuran. Kemudian Khalifah Umar RA. bergegas mendatangi puterinya, Hafsah, untuk bertanya berapa lama seorang wanita tahan menunggu suaminya. Dari jawapan Hafsah, Khalifah Umar mengirim perintah kepada para panglima perang yang berada di medan pertempuran, agar tidak membiarkan seorang pun dari tenteranya meninggalkan keluarganya lebih dari empat bulan.

Pada masa Khalifah al-Mu’tasim Billah, pernah seorang wanita menjerit di Negeri Amuria kerana dilecehkan dan dianiaya. Dia memanggil-manggil nama al-Mu’tasim. Jeritannya didengar dan diberi perhatian oleh Khalifah. Serta-merta Khalifah al-Mu’tasim mengirim surat kepada Raja Amuria, “Dari al-Mu’tasim Billah kepada Raja Amuria. Lepaskan wanita itu atau kamu akan berhadapan dengan pasukan yang kepalanya sudah di tempatmu, sedangkan ekornya masih di negeriku. Mereka mencintai mati syahid seperti kalian menyukai khamar!”

Singgahsana Raja Amuria pun bergetar ketika Raja membaca surat itu. Kemudian wanita itu pun segera dibebaskan dan Amuria ditakluk oleh tentera umat Islam.

Marilah kita bersegera untuk meraih kemuliaan dan kehormatan yang dijanjikan Allah SWT. Mari mendidik diri, keluarga dan semua umat Islam untuk taat kepada seluruh syariah. Jagalah diri kita dari propaganda sesat dan perjuangan tanpa arah. Sudah sampai masanya kita sedar bahawa perjuangan untuk tegaknya syariah dan Khilafahlah yang kita tujui. Hanya dengan Khilafah sahajalah ketenteraman, kehormatan dan kemuliaan wanita akan direalisasikan.

WalLâhu a’lam bi as-sawwâb.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment