Meluruskan Kefahaman Tentang Syariah dan Khilafah

Muqaddimah

Perjuangan menegakkan syariah Islam merupakan kewajipan. Ia tidak pernah dan tidak akan berhenti. Para pejuang Islam yang ikhlas sentiasa berusaha bagi merealisasikan kehidupan berlandaskan Islam. Mereka bersungguh-sungguh berusaha menegakkan semula sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang akan segera menerapkan syariahNya. Inilah yang ditakuti oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam. Namun, kesalahfahaman umat sendiri tentang syariah dan khilafah juga menjadi penghambat kepada perjuangan ini. Antaranya, golongan feminis dan liberal yang begitu gencar menjaja idea-idea mereka dengan tujuan menyerang pemikiran umat Islam terutama hak dan kebebasan golongan wanita. Dengan cara membentuk landasan berfikir yang salah, mereka menyerang nilai-nilai Islam secara meluas sehingga wanita menjadi ragu-ragu dan salah faham akan kemuliaan syariah dan khilafah serta kewajipan untuk merealisasikannya.
Punca Kesalahfahaman

Serangan terhadap syariah Islam yang dibawa oleh golongan feminis dan liberal ini bertitik tolak daripada pandangan dan keyakinan mereka terhadap idea sekularisme iaitu segala hal berkaitan agama adalah terpisah dari hal ehwal kehidupan. Bagi mereka, agama hanya layak untuk mengatur urusan kerohanian dan tidak pada hal ehwal kehidupan. Natijahnya, manusia layak menilai sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk, bermanfaat atau sebaliknya berdasarkan akal masing-masing. Antara pemikiran yang diusung adalah;

Pertama, Hak Asasi Manusia (HAM). Pemikiran ini bersumber daripada konsep kebebasan manusia. Bebas berkeyakinan, bebas berpendapat, bebas bertingkahlaku dan bebas memiliki sesuatu. Ini bermakna kehidupan di dunia tidak perlu diatur oleh syariah Islam kerana kebebasan yang diberikan akan menjamin hak seperti yang disebut di atas. Malah undang-undang dan peraturan digubal bagi memastikan setiap individu berhak mendapatkan kebebasan tersebut walaupun ternyata melanggar syariah Islam seperti berzina dan berkhalwat. Menurut jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, perbuatan berkhalwat tidak boleh dikenakan tindakan dan hukuman berpandukan pada Perlembagaan. Ini kerana ianya termasuk hak dan privasi setiap individu. Malah G25 mencadangkan agar hukuman terhadap pelaku khalwat dimansuhkan. Selain itu, kes seorang guru mualaf yang dipaksa membuka tudung di Kota Tinggi juga mendapat perhatian Sisters in Islam (SIS). SIS membela guru tersebut dengan alasan ia adalah hak asasi seseorang wanita untuk bertudung atau tidak. Perjuangan SIS adalah untuk memastikan wanita juga dalam masa yang sama diiktiraf hak mereka untuk tidak menutup aurat. Mereka merujuk kepada Konvensyen Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang turut menawarkan jaminan bahawa wanita memiliki hak untuk memilih cara mereka berpakaian.

Persoalannya, jika benar setiap individu dijamin haknya, mengapa perlu dihukum pelaku rogol, samun dan jenayah lainnya? Bukankah itu juga sebahagian dari kebebasan bertingkah laku yang diakui oleh pejuang HAM? Bagi golongan liberal ini, syariat Islam dianggap mengekang hak untuk berpakaian, bertingkah laku termasuk melakukan seks bebas. Walhal menjadikan HAM sebagai landasan berfikir merupakan sebuah kesalahan besar. Konsep HAM adalah konsep buatan akal manusia sedangkan akal manusia sangat terbatas. Konsep HAM ini batil kerana menjadikan kebebasan sebagai hak mutlak setiap individu.

Kedua, kedaulatan membuat hukum di tangan manusia. Berdasarkan pemikiran liberal yang didokong oleh sistem demokrasi, manusia memiliki hak untuk menetapkan hukum bersumberkan akalnya. Lebih buruk lagi, syariah Allah pula menjadi bahan undian di Parlimen sama ada sesuai dilaksanakan atau tidak. Jika mendapat undian untuk dilaksanakan, pasti diubah mengikut kehendak manusia yang kononnya sesuai dengan perkembangan zaman. Apabila akal manusia dijadikan tolok ukur baik buruknya sesuatu perkara, maka kerosakan demi demi kerosakan pasti berlaku. Padahal Allah SWT telah berfirman,

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu (al-Qur’an), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaaha (20):124].

Maka tidak hairanlah apabila syariah Islam dilihat sebagai undang-undang yang tidak adil atau menzalimi sesetengah golongan kerana ia telah diubah suai mengikut kehendak manusia sebelum dilaksanakan, bukannya dilaksanakan seperti mana yang telah diturunkan Allah, pencipta yang Maha Adil.

Ketiga, Islamofobia iaitu rasa takut terhadap penerapan syariah Islam sebagai pengatur dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Perspektif inilah yang digunakan untuk menjentik pemikiran Muslimah supaya menganggap Islam tidak mampu memberikan kesejahteraan dan ketenangan bagi wanita kerana tidak menghargai hak-hak sivil mereka dalam berpakaian, perlunya izin wali untuk safar, melarang khalwat, membiarkan kelaminnya disunat, memposisikan isteri di bawah suaminya, termasuk kerelaan dipoligami dan pembahagian harta yang dianggap berat sebelah.

Walhal jika diteliti golongan feminis liberal secara tidak langsung telah mengenepikan hak asasi muslimah untuk patuh dan tunduk pada syariat yang diyakininya. Bukankah ini satu bentuk pencabulan keatas hak asasi individu untuk mengamalkan agama serta keyakinannya? Apapun yang diungkapkan oleh para feminis liberal adalah ungkapan dari kebencian dan permusuhan kaum kafir terhadap Islam, sebagaimana permusuhan syaitan laknatullah terhadap segala perkara yang diperintahkan Allah SWT,

“Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka adalah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah [2]: 257].

Usaha Meluruskan Kesalahfahaman

Golongan feminis juga mencanangkan bahawa jika syariah dan khilafah diterapkan, wanitalah pihak pertama yang bakal menjadi mangsa. Gambaran buruk ini adalah satu pembohongan yang dipropagandakan oleh pihak kuffar Barat dan para agennya untuk mempertahankan kepentingan mereka di negara-negara Islam. Mereka memanfaatkan dan membiayai pelbagai institusi antarabangsa dan tempatan serta media massa supaya berfungsi sesuai dengan kepentingannya. Serangan besar-besaran terhadap syariat yang berkaitan isu-isu wanita, sebenarnya merupakan reaksi membabi buta akibat ketakutan akan kembalinya Islam melalui perjuangan yang turut sama disertai golongan wanita.

Jadi, salah faham terhadap syariat sewajarnya mendorong kita untuk memberikan penjelasan yang terperinci dan gambaran menyeluruh bagaimana hukum Allah patut diterapkan. Pada ketika ini, iaitu apabila hukum Islam dilihat mendiskriminasi dan merugikan wanita, maka mereka perlu diberi kefahaman dan pencerahan bahawa kemuliaan dan peranan utama wanita hanya akan dapat dicapai apabila Islam diterapkan secara kaffah dalam sebuah negara.

Selain itu, usaha yang lebih menyeluruh perlu digencarkan dengan mendidik wanita memahami politik dan kewajipan berpolitik berdasarkan syariat Islam. Kewajipan berpolitik sebenarnya merupakan sebahagian daripada dakwah Islam. Islam mewajibkan seluruh kaum Muslim sama ada lelaki mahupun wanita untuk berdakwah dengan mengajak kepada yang ma’ruf dan menjauhi yang mungkar. Amar ma’ruf nahi mungkar ini bermaksud menyeru untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan menerapkan seluruh hukum syariatNya. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” [TMQ Ali-Imran: (3)104].

Khatimah

Allah SWT telah melengkapkan syariahNya demi kesejahteran hidup manusia di dunia termasuklah wanita. Apa yang kita perlukan sekarang adalah seorang Khalifah (pemerintah) yang menerapkan syariah Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam Daulah Khilafah ala Minhajin Nubuwwah.


Rujukan:

6) Al-Quranul Kareem
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment