Panama Papers: Lambang Hipokrasi & Korupsi Global

Dunia tiba-tiba sahaja digemparkan dengan berita kebocoran dokumen berharga daripada sebuah firma perundangan dan khidmat amanah, Mossack Fonseca, yang berpengkalan di Panama. Dokumen berharga tersebut dikenali sebagai Panama Papers. Pendedahan maklumat daripada Panama Papers oleh organisasi wartawan global, International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) menerusi 100 cawangan media di seluruh dunia telah mencetuskan skandal yang meluas. Pendedahan ini menyebabkan kita tertanya-tanya apakah sebenarnya Panama Papers ini?

Panama Papers merupakan senarai nama pelanggan Mossack Fonseca yang telah dibocorkan. Pelanggan tersebut adalah mereka yang pernah menggunakan khidmat firma tersebut untuk mendirikan syarikat bebas cukai di luar pesisir . Data yang didedahkan mengandungi sebanyak 11.5 juta keping dokumen sebesar 2.6 Tera Byte, yang berisi maklumat dari tahun 1977 sehingga awal 2015. The Guardian dan BBC menyifatkan ianya sebagai kebocoran maklumat yang terbesar dalam sejarah. Turut menarik perhatian dalam Panama Papers ialah ramai individu yang tersenarai terdiri daripada ahli sukan, selebriti, ahli perniagaan dan juga pemimpin negara serta ahli keluarga mereka yang dikatakan bertujuan untuk lari daripada membayar cukai.

Terdapat seramai 150 orang ahli politik dari 50 buah negara yang dikaitkan dengan pendedahan Panama Papers termasuklah Ketua Negara, kaum keluarga dan rakan mereka. Berikutan itu, Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson dengan serta merta telah meletakkan jawatan berikutan dokumen yang mengaitkan nama beliau dan isteri dalam sebuah syarikat di Kepulauan British Virgin. Manakala di Britain, Perdana Menteri David Cameron menafikan penglibatannya dengan urusan mendiang ayahnya Ian Cameron yang menyimpan dana pelaburan di Bahamas selama 30 tahun bagi mengelak daripada membayar cukai. Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif yang juga turut dikaitkan dalam Panama Papers begitu marah apabila pihak pembangkang mendesak agar beliau meletakkan jawatan. Nawaz malahan mempertahankan kekayaannya diperoleh sesuai dengan perundangan. Selain itu, beberapa nama pemimpin negara termasuklah Presiden Russia, Raja Arab Saudi, bekas Presiden Sudan dan ramai lagi yang turut disenaraikan terlibat dalam Panama Papers.

Di Malaysia pula terdapat 2300 nama individu dan syarikat yang tersenarai dalam Panama Papers termasuklah nama anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta anak mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad.

Hipokrasi, Pelarian Cukai dan Korupsi

Panama Papers telah mendedahkan kebusukan sistem ekonomi kapitalisme berserta pemimpin dan pengamalnya. Berpegang kepada konsep Laissez-faire iaitu perdagangan bebas, mereka meletakkan fungsi kerajaan untuk mengutip cukai sebagai pendapatan utama negara. Tetapi dalam masa yang sama di dalamnya terdapat suatu mekanisme yang sah secara perundangan untuk membenarkan golongan ini untuk lari daripada membayar cukai dan juga melakukan pengubahan wang haram (money laundering). Mereka mencipta sistem perniagaan pesisir yang tidak tunduk kepada perundangan tempatan dan tidak telus dari segi urusniaganya. Sistem perniagaan sedemikian telah memberi peluang kepada orang-orang kaya untuk lari daripada membayar cukai. Malahan ianya juga dapat menyelamatkan individu-individu yang menjana kekayaan hasil daripada korupsi ataupun kegiatan jenayah seperti kartel dadah dengan cara membersihkan kekayaan yang mereka perolehi dalam perniagaan pesisir.

Dalam membicarakan hal ini, sekurangnya terdapat dua perkara penting yang perlu kita fahami;

Pertama, Isu Pelarian Cukai: Dalam sistem negara kapitalis-demokrasi cukai merupakan sumber pendapatan utama bagi negara. Semakin besar pendapatan individu mahupun syarikat perniagaan, maka semakin tinggi cukai yang perlu dibayar. Oleh itu bagi golongan kaya, perniagaan atau pelaburan pesisir merupakan alternatif terbaik yang boleh dilakukan untuk lari daripada membayar cukai. Profesor Gabriel Zuchman yang merupakan pengarang buku “The Hidden Wealth of Nations” menyatakan bahawa kes Panama Papers ini hanyalah mewakili sebahagian kekayaan terselindung daripada pengetahuan umum. Beliau menganggarkan terdapat pelarian cukai sekitar USD190 billion setahun hasil daripada aktiviti perniagaan atau pelaburan pesisir.

Perkara ini jelas bertentangan dengan Islam yang pada asasnya mengharamkan cukai kecuali pada perkara yang diizinkan syara’. Apa yang terjadi kepada golongan kaya yang lari daripada cukai ini berkemungkinan besar tidak terjadi di dalam sistem Islam. Ini kerana sistem Islam itu sendiri menjamin harta mereka terpelihara dan terselamat daripada bayaran-bayaran lain yang tidak diwajibkan oleh syarak.

Kedua, Isu Korupsi Dan Kronisme. Mengikut Kamus Dewan korupsi bermaksud amalan atau perbuatan yang salah atau tidak amanah (seperti pecah amanah, menerima rasuah, dan lain-lain lagi). Bagi kes Panama Papers ini, meskipun ia tidak dapat dibuktikan di atas kertas dan malah ia sah secara perundangan, namun adalah suatu yang pelik jika pemerintah mempunyai kekayaan yang luar biasa berbanding gaji rasminya. Lihat saja apa yang berlaku di negara Pakistan yang mana satu perlima daripada penduduknya berpendapatan kurang dari USD2 sehari tetapi pemerintah dan kroni mereka hidup dengan kaya raya hasil daripada perniagaan pesisir.

Islam Melawan Korupsi

Allah SWT melarang sama sekali syurga kepada pemimpin yang menipu rakyat dan melakukan korupsi (ghulul). Tindakan korupsi ini dicela oleh Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang yang diamanahkan oleh Allah memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga” [HR Mutaffaqun Alaih].

Namun, seseorang yang ingin dijatuhkan hukuman perlulah mengikut kaedah yang ditentukan oleh syarak dalam aspek pembuktian. Persoalannya sekarang, adakah sah dokumen Panama Papers ini boleh dijadikan bukti dalam Mahkamah?

Untuk menjawab persoalan ini, Syeikh Ahmad Daur menulis “Dokumen-dokumen yang ditandatangani oleh pemiliknya sendiri baik di hadapan institusi rasmi mahupun bukan, dokumen ini merupakan pengakuan tertulis dan tidak ada bezanya dengan pengakuan lisan. Begitu juga dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh badan rasmi dapat dijadikan bukti di Mahkamah, salinan (copy) dokumen tidak dapat dijadikan bukti selagi belum ada pengesahan dari badan yang mengeluarkan” [al-Ahkamul Bayyinat, Ahmad Daur hal 32].

Amir kedua Hizbut Tahrir, Syeikh Abdul Qadim Zallum telah merincikan bagaimana seseorang pemimpin atau kakitangan awam dalam negara berkemungkinan melakukan korupsi terhadap harta negara.

Pertama: Rasuah, iaitu harta yang diberikan kepada pemerintah atau pegawai negara dengan maksud memperoleh maslahat mengenai suatu kepentingan yang sepatutnya diputuskan oleh mereka tanpa bayaran. Rasuah adalah haram (mutlak) baik apapun bentuknya, sedikit atau banyak, melalui apa cara sekalipun, sama ada ia diserahkan atau diterima. Hal ini dinyatakan oleh Nabi SAW melalui Abu Hurairah ra,

“Laknat Allah terhadap pemberi rasuah dan penerimanya dalam (urusan) pemerintahan” [HR Abu Daud].

Begitu juga dalam hadis lain dari Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah” [HR Tirmizi].

Harta yang diterima melalui cara rasuah wajib dipulangkan kepada pemiliknya (jika diketahui) atau disita dan disimpan di dalam Baitul Mal (jika pemiliknya tidak diketahui) manakala pelaku rasuah, saksi serta perantaranya akan dikenakan uqubat.

Kedua: Hadiah atau hibah yang diperolehi oleh pemimpin atau kakitangan awam sama halnya seperti rasuah. Mereka tidak boleh menerimanya sama sekali meskipun pihak yang memberi hadiah tersebut pada saat itu tidak mempunyai kepentingan tetapi ia ingin memperoleh kepentingan di kemudian hari. Harta jenis ini dikategorikan sebagai haram berdasarkan peristiwa Ibnu Utabiyyah yang ditugaskan sebagai amil zakat oleh Nabi SAW ke sebuah tempat. Ibnu Utabiyyah kemudian menyerahkan zakat yang dikumpulnya bersama hadiah yang diberi kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW mengharamkan hadiah tersebut [HR Bukhari-Muslim]. Seperti mana harta rasuah, harta yang diperolehi dengan cara hibah ini mesti dikembalikan kepada pemiliknya atau dimasukkan ke Baitul Mal.

Ketiga: Harta yang diperolehi oleh pemerintah dan penjawat awam yang berasal dari harta atau tanah milik negara atau milik masyarakat yang diambil secara paksa, kekerasan, tekanan dan penyalahgunaan kuasa. Kesemua harta yang diperolehi dengan cara ini adalah haram dan merupakan suatu kezaliman. Hal ini sama dengan kecurangan dan pelakunya akan dimasukkan ke dalam neraka berdasarkan hadis Nabi SAW,

“Barangsiapa yang secara zalim mengambil sejengkal tanah, maka kelak ia akan dikalungi Allah dengan (belenggu seberat) tujuh lapisan bumi” [HR Mutafaq Alaih].

Harta ini wajib dikembalikan kepada pemiliknya (jika diketahui) atau dimasukkan ke dalam Baitul Mal (jika pemiliknya tidak diketahui). Tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz tatkala menerima kekhilafahan dengan mengembalikan seluruh harta dan tanah yang diambil Bani Umayyah daripada masyarakat secara tekanan kekuasaan.

Keempat: Komisen atau dalal yang diperolehi para pemerintah dan pegawai negara melalui bayaran oleh syarikat asing atau tempatan kerana jasa atau balasan kepada pemeliharaan kepentingan mereka. Seluruh harta seperti ini dianggap sebagai ghulul dan haram hukumnya. Hadis daripada Mu’az bin Jabal di atas menjadi dalil kepada keharaman ghulul dalam hal ini. Perbuatan ini dianggap sebagai rasuah kerana ia diberikan perusahaan terbabit bagi mendapatkan kontrak atau projek dan sebagainya demi mencapai kepentingan mereka, bukannya kepentingan umat mahupun negara.

Kelima: Harta penyelewengan iaitu harta yang diperolehi oleh para pemimpin dan penjawat awam melalui jalan penyalahgunaan harta negara yang berada di bawah seliaan mereka di dalam membiayai tugas pekerjaan mereka. Termasuk dalam hal ini misalnya mark-up tuntutan perjalanan, penipuan, pemalsuan dokumen/invois atau mengambil kesempatan atas kelalaian pihak lain. Semua ini merupakan perolehan harta secara ghulul yang wajib disita dan dimasukkan ke dalam Baitul Mal. Umar al-Khattab sering melakukan hal ini di mana beliau ‘mengaudit’ para pegawainya dan mana-mana pegawai yang didapati memiliki kelebihan harta akan disita dan dimasukkan ke dalam Baitul Mal. Pendek kata, apa sahaja yang diperolehi oleh penjawat awam melalui cara yang tidak syar’ie, maka harta ini ialah kepunyaan Baitul Mal. Termasuk dalam masalah ini juga adalah harta yang diperolehi oleh seseorang dengan cara ‘penambahan kekayaan’ yang diharamkan oleh syara’ kerana ia merupakan perolehan haram dan tidak sah dimiliki. Justeru, sesiapa sahaja yang memperolehi penambahan harta dengan cara (memakan) riba, ia tidak berhak memiliki harta tersebut kerana penambahan harta dengan cara riba adalah dilarang oleh Allah. Wajib mengembalikan harta riba tersebut kepada tuan asalnya (jika diketahui) dan jika tidak diketahui tuannya, maka hendaklah dikembalikan ke Baitul Mal. Begitulah juga dengan harta yang diperoleh daripada hasil judi. Ia adalah haram untuk dimiliki atau dimanfaatkan oleh orang tersebut [al-Amwal Fi al-Daulah al-Khilafah, Abdul Qadim Zallum, Hizbut-Tahrir, hal 137].

Inilah antara kejahatan kewangan yang boleh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara berasaskan hukum-hakam syarak. Harta benda mereka sepatutnya disita dan dipindah ke Baitul Mal untuk kepentingan rakyat di samping mereka dikenakan takzir (hukuman) yang bersifat jawabir dan zawajir, iaitu untuk menghapuskan dosa yang mereka lakukan di dunia dan juga mencegah orang lain dari mengikut jejak langkah mereka daripada mengkhianati umat.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin, apa yang didedahkan di dalam Panama Papers ini merupakan kes yang berprofil tinggi yang turut melibatkan pemimpin dunia, sama ada dari negara kapitalis yang maju ataupun daripada negara sedang membangun dan negara miskin. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa ramai pemimpin dunia dan golongan pemilik modal yang bersifat hipokrit. Dalam pada mereka menyeru agar rakyat melaksanakan tanggungjawab membayar cukai, tetapi dalam masa yang sama mereka pula secara sembunyi menubuhkan syarikat pesisir untuk lari daripada membayar cukai. Lebih parah lagi bagi negara yang majoriti rakyatnya hidup dalam kemiskinan, tetapi pemimpin-pemimpin serta keluarga mereka mempunyai kekayaan yang melimpah ruah yang disembunyikan dalam perniagaan pesisir. Jika dihitung berdasarkan gaji yang mereka perolehi, sangat mustahil pemimpin tersebut mempunyai kekayaan sebegitu banyak. Isu Panama Papers ini seharusnya dapat menyedarkan manusia secara umumnya dan umat Islam secara khususnya betapa lemah dan hipokritnya sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini hanya menguntungkan segelintir manusia yang kaya raya, tetapi menekan dan menindas sebilangan besar umat manusia. Oleh itu, tiada sistem ekonomi yang lebih layak dan mampu untuk memberikan kesejahteraan yang hakiki kepada kehidupan manusia melainkan Sistem Ekonomi Islam yang diturunkan oleh Allah SWT.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment