Pecah Amanah Hasil Didikan Kapitalisme-Demokrasi

Pada 25 mac, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan sembilan orang, termasuk setiausaha bahagian kementerian, berkaitan sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Kes penyelewengan dana atau pecah amanah bukan lagi menjadi satu kehairanan bagi rakyat Malaysia khususnya. Rakyat seakan-akan sudah lali dengan kes sebegini bahkan kes-kes jenayah lainnya yang melibatkan pemimpin, menteri mahupun rakyat. Sistem kapitalis-demokrasi yang rosak betul-betul membuatkan kemaksiatan semakin subur dan berkembang. Bukan sahaja rakyat, malahan menteri dan pemimpin juga melakukan kemaksiatan. Makanya tidak hairanlah jika ada rakyat yang mengikut 'jejak langkah' pemimpin-pemimpin mereka. Jika para pemimpin ini menunjukkan contoh tauladan yang baik bagi rakyat, maka rakyat juga akan mencontohi sikap tersebut. Tetapi jika sebaliknya, maka akan rosaklah rakyat.

Pada masa kini, sukar untuk kita mencari pemimpin yang bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Sedangkan menjaga amanah itu adalah sebahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW,

حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ حَدَّثَنَا الْمُغِيرَةُ بْنُ زِيَادٍ الثَّقَفِيُّ سَمِعَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

“Tidak beriman orang yang tidak menjaga amanah yang dibebankan padanya. Dan tidak beragama orang yang tidak menepati janjinya” [HR Ahmad].

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ ، وَإِنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ

“Empat (perilaku) kalau seseorang ada padanya, maka dia benar-benar termasuk orang munafik. Kalau berbicara, ia berdusta, jika berjanji, ia tidak menepati, jika bersumpah, ia khianat, jika bertelingkah, ia melampau batas. Barangsiapa yang memiliki salah satu dari sifat tersebut, maka dia memiliki sifat kemunafikan sampai dia meninggalkannya" [HR. Bukhari, No. 3178 dan Muslim No. 58].

Hadis-hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya menjaga amanah yang diberi sehingga termasuk dalam golongan orang munafik jika seseorang mengingkari amanah yang telah diberikan kepadanya.
Pada zaman Kekhilafahan Bani Umaiyah, terdapat seorang khalifah yang sangat jujur, adil dan bijaksana iaitu Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kekuasaan di tangannya bererti kemakmuran bagi rakyatnya, bukan miliknya atau keluarganya. Beliau sangat berhati-hati dalam menggunakan wang atau harta milik negara sehinggakan pelita yang minyaknya dibayar menggunakan wang negara dipadam ketika anaknya datang ke bilik kerjanyanya untuk membicarakan hal keluarga.

Betapa jujurnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam menjalankan amanah yang telah diberikan kepadanya kerana beliau tahu bahawa kekuasaan adalah amanah yang akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah di hari pembalasan kelak.

Pada akhir zaman ini susah untuk kita mendapatkan pemimpin atau seseorang yang bersikap seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Manusia berebut-rebut untuk memegang jawatan tetapi cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya. Benarlah hadis Rasulullah SAW,

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ قُدَامَةَ الْجُمَحِيُّ عَنْ إِسْحَقَ بْنِ أَبِي الْفُرَاتِ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada masyarakat tahun-tahun yang penuh penipuan. Pada tahun-tahun itu pembohong dipandang benar, yang benar dianggap bohong; pada tahun-tahun tersebut pengkhianat diberi amanat, sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu yang berbicara adalah ruwaibidhah.” Lalu ada sahabat bertanya, “Apakah ruwaibidhah itu?” Rasulullah menjawab, “Orang bodoh yang mengurus urusan umum” [HR Ahmad, Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Bazzar]. (Dalam riwayat lain disebutkan, ruwaibidhah itu adalah orang fasik yang mengurus urusan umum dan al-umara (pemerintah) fasik yang mengurus urusan umum).

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment