PRN Sarawak: Apa Beza BN Menang atau Kalah?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan keyakinannya yang rakyat Sarawak akan tetap memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang.


Najib dalam blog rasminya pada 5 April lalu memberitahu, keyakinan itu adalah bersandarkan kepada sambutan dan sokongan rakyat negeri itu dalam majlis-majlis yang dihadirinya sepanjang lawatan kerja dua hari ke Sarawak baru-baru ini.

“Alhamdulillah, dalam pertemuan saya dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan setibanya saya di sana, saya lihat beliau begitu bersemangat serta bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi,” kata Najib dalam blognya yang dipetik akhbar tempatan baru-baru ini.

Itulah keyakinan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO dalam berhadapan dengan PRN Sarawak kali ini, walaupun BN sebenarnya berada dalam keadaan amat lemah hasil kemelut yang melandanya sejak PRU yang lepas lagi.

PRN Sarawak kali ini dilihat sebagai medan ujian pertama bagi Adenan sejak menjadi Ketua Menteri menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

DUN Sarawak telah pun dibubarkan pada 11 April lalu dan sekarang Suruhanjaya Pilihan Raya sedang dalam proses mengatur segala persiapan berhubung dengan pilihan raya di bumi kenyalang itu, dengan kos pilihan raya diperuntukkan sebanyak RM135 juta, satu jumlah yang membuktikan betapa mahalnya sistem demokrasi yang tidak syarie ini.

Bagi parti-parti politik dan ramai pemerhati politik, PRN ini dilihat sebagai kayu ukur awal kepada PRU yang dijangka diadakan pada 2018 nanti.

Umum mengetahui bahawa Sarawak dan Sabah merupakan dua buah negeri yang menjadi harapan BN untuk terus mengekalkan kekuasaan di peringkat Pusat. Kemenangan di peringkat DUN sudah pasti menjadi kayu ukur kemenangan di peringkat Parlimen. Kerana itulah, jika BN berjaya sekali lagi memenangi PRN ini, maka secara congaknya mereka merasa akan berjaya memenangi pilihan raya Parlimen nanti, walaupun sifir politik tidak semestinya begitu.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 82 kerusi DUN akan dipertandingkan dengan 11 kerusi baru. PAS setakat ini telah menyatakan akan meletakkan 11 calon, manakala DAP dan PKR masih lagi dilaporkan bertelagah dalam rundingan mereka terhadap pembahagian kerusi.

Apa yang jelas, dan sebagai Muslim, persoalan kita ‘simple’ sahaja yakni, parti mana pun yang menang dalam PRN ini, apakah ia akan merubah Sarawak menjadi sebuah negeri yang diredhai oleh Allah SWT dengan penerapan hukum-hukumNya? Apa yang pasti, parti Islam tidak akan dapat memerintah walau menang kesemua kerusi sekalipun, yang sekali gus bermaksud pemerintahan Sarawak sebenarnya akan tetap berada di tangan orang-orang yang tidak akan menerapkan hukum Allah SWT.

Sesungguhnya Sarawak, Sabah dan Malaysia ini tidak akan menjadi baik kecuali ia bertukar menjadi sebuah negeri yang diredhai Allah SWT dengan penerapan hukum-hukumNya secara kaffah.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment