PTPTN Terus Menjerut, Apa Pilihan yang Ada?

Media tempatan melaporkan seramai 662,983 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan RM5.4 bilion sehingga Disember 2015 menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Sidang Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.


KPT dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu, RM2.79 bilion daripada RM5.4 bilion itu merangkumi baki tertunggak kerana peminjam membuat bayaran balik lebih rendah daripada ansuran yang telah ditetapkan. “Bagi tempoh itu juga, seramai 1.8 juta peminjam perlu membayar balik pinjaman melibatkan jumlah sebanyak RM15.33 bilion,” kata kenyataan itu.

Isu kegagalan pembayaran balik PTPTN ini nampaknya tidak akan berkesudahan, walaupun pelbagai cara dan mekanisme yang telah dan sedang dilakukan oleh badan tersebut. Antaranya, penjadualan pembayaran balik dengan amaun yang berpatutan serta diskaun sekiranya peminjam membuat bayaran sekali gus. Ada juga tindakan yang agak keterlaluan seperti menyenaraikan hitam peminjam selain potongan gaji yang tinggi sehingga menyempitkan kehidupan peminjam.

Dalam perkembangan yang berkaitan, baru-baru ini kecoh seketika apabila ada akhbar yang melaporkan terdapat pelajar yang ikat perut akibat pinjaman PTPTN yang tidak mencukupi.

Inilah sebahagian masalah dalam bidang pendidikan di Malaysia pada hari ini. Tatkala kerajaan menggalakkan rakyatnya belajar, pada masa yang sama kerajaan bertindak sebagai ‘along’ dengan mengenakan pinjaman berserta faedah dan ‘mengejar’ habis-habisan mereka yang gagal membayar balik pinjaman yang dikenakan.

Dunia pendidikan Malaysia yang berteraskan sistem Kapitalis ternyata meletakkan manfaat lebih utama berbanding pendidikan itu sendiri. Ruang pendidikan hanya dibuka kepada pelajar yang berduit sahaja. Jika tiada wang atau wang tidak mencukupi, maka para pelajar terpaksa berhutang untuk mendapatkan segulung diploma/ijazah dan terpaksa menanggung balik bayaran hutang dalam tempoh yang lama sehingga menyusahkan kehidupan mereka selepas itu.

Atas orientasi mendapatkan keuntungan, universiti dan kolej swasta bercambah dengan cukup pesat, di samping universiti awam yang juga sentiasa menaikkan yuran demi mencapai keuntungan maksimum. Inilah ‘matlamat’ pendidikan dalam sistem Kapitalisme pada hari ini yakni sebagai sebuah ‘perniagaan’ yang sangat menguntungkan, bukan lagi bermatlamat menyampaikan ilmu pengetahuan atau memberi kebajikan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu.

Dalam Islam, pendidikan bagi setiap rakyat wajib disediakan oleh negara dengan percuma, di samping prasarana yang mencukupi dan sistem pembelajaran yang akan melahirkan cendekiawan yang bermutu. Tiada had umur bagi sesiapa yang ingin menuntut ilmu dalam Islam dan negara wajib menyediakan segala kemudahan yang diperlukan.

Inilah tradisi keilmuan yang sangat terkenal dalam sejarah Islam yang ternyata telah melahirkan ramai cendekiawan yang terkenal dalam sejarah peradaban dunia. Coretan emas sejarah Daulah Islam (Khilafah) telah mengharumkan dunia dengan sumbangan cendekiawan Muslim dalam pelbagai disiplin ilmu, sains dan teknologi yang sehingga kini masih dapat dirasai dan dimanfaatkan. Kerana itu, tidak hairanlah kenapa begitu ramai orang-orang kafir yang kagum dan menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi di zaman kegemilangan Khilafah dahulu.

Sesungguhnya para pelajar akan terus ditindas dan tersepit selagi sistem Kapitalisme menguasai negara. Pendidikan kini hanya untuk orang-orang kaya dan mampu sahaja. Jika tidak mampu, maka pilihan yang ada ialah untuk melupakan sahaja bidang pelajaran atau menyambung pelajaran dengan bantuan ‘along-along yang sah’ yang akan menyusahkan kehidupan para pelajar di kemudian hari.

Tiada jalan lain untuk menikmati pendidikan percuma dan berkualiti kecuali setiap daripada kita wajib berusaha untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah yang Insya Allah akan mengembalikan kegemilangan pendidikan Islam sebagaimana dahulunya, malah jauh lebih hebat Insya Allah.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment