Sejarah dan Bukti Pelaksanaan Syariah dalam Naungan Khilafah

Oleh : Pn. Zainab Ghazali (Aktivis MHTM)

Muqaddimah

Hijrah kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah telah menjadi titik perubahan hidup kepada tamadun dunia. Berdirinya Daulah Islam yang pertama di Madinah telah berjaya mengubah dunia secara keseluruhannya. Seperti cahaya yang menukar malam kepada siang, Islam dalam naungan Daulahnya yang melaksanakan syariah, membawa tamadun yang menakjubkan jika dibanding dengan kehidupan zaman moden yang tidak melaksanakan syariah Islam.

Sekilas Sejarah: Muslimah pada Era Khilafah

Di Fes, Maghribi, berdiri sebuah universiti yang juga sebuah masjid, yang menyandang rekod sebagai universiti tertua di dunia kerana ia adalah institusi pendidikan (madrasah) pertama yang mengurniakan ijazah kepada lulusannya. Universiti Qarawiyin didirikan oleh seorang Muslimah kaya berpendidikan bernama Fatimah al-Fihri pada tahun 245H bersamaan 859M. Perpustakaannya antara yang tertua di dunia yang masih berfungsi dan menempatkan 30,000 manuskrip berharga. Bilik jam universiti ini menempatkan astrolab, jam matahari, jam pasir dan jam hidraulik yang boleh menentukan waktu solat dengan tepat. Kuliah diajar dalam bahasa Arab meliputi tsaqafah Islam seperti al-Quran, fiqh, nahu, sejarah dan geografi; serta ilmu alat seperti mantik, matematik, astronomi, perubatan, kimia dan muzik. Pada masa kemuncaknya, universiti ini mempunyai 8,000 pelajar dan mensyaratkan hafaz al-Quran sebagai kriteria sebelum memasukinya. Alumni pelajar dan guru di universiti ini datang dari Afrika, Eropah dan dunia Arab, termasuklah Ibnu Khaldun (ahli sejarah dan kenegaraan), Al-Idrisi (ahli Geografi) dan Ibnu Rusyd (ahli astronomi, perubatan dan pelbagai ilmu). Universiti ini turut menyumbang ilmu kepada intelek Barat zaman Renaissance dari Perancis, Belanda dan Belgium.

Contoh teladan dalam bidang kebajikan umat pula ialah Hurrem Haseki iaitu permaisuri kepada Khalifah ‘Uthmaniyah, Sulaiman al-Qanuni (abad ke-16). Berinspirasikan Zubaidah iaitu permaisuri kepada Khalifah Harun al-Rasyid daripada Khilafah ‘Abbasiyah, Hurrem mewakafkan pelbagai kemudahan untuk rakyat di Turki, Mekah dan Jerusalem dalam bentuk “imaret”. Imaret ialah kompleks yang meliputi antaranya masjid, madrasah, penginapan, dapur, hospital wanita dan tempat mandi. Imaret di Jerusalem mempunyai 55 bilik penginapan untuk para musafir dan pedagang serta memberi dua kali makanan percuma kepada 500 orang setiap hari. Dana yang besar ini diperoleh daripada sumbangan orang kaya dan harta jizyah yang melimpah-limpah.

Selain itu, saudara perempuan Fatimah Al-Fihri, Mariam al-Fihri juga mewakafkan hartanya untuk membina Masjid Al-Andalus di Fes. Pada abad ke-13 pula di Damsyiq, Syria, dua orang saudara perempuan kepada Salahuddin Al-Ayubi masing-masing mendirikan kompleks masjid yang menjadi pusat pengajian tinggi yang penting. Sitt al-Sham mendirikan Madrasah Al-Shamiyah lengkap dengan tempat mandi dan asrama; manakala As-Sahiba Rabi’a mendirikan Madrasah As-Sahiba. Pada abad yang sama di Divrigi, Turki, Turan Melek Sultan iaitu puteri kepada pemerintah di sana telah mendirikan hospital Darussifa yang melengkapi kompleks Masjid Besar Divrigi yang didirikan oleh suaminya. Pada penghujung era Uthmaniyah, ibu kepada Khalifah Abdul Aziz mendirikan kompleks masjid dan sekolah di Istanbul dan hospital di Mekah.

Contoh-contoh di atas hanyalah sebahagian kecil daripada catatan-catatan sejarah tentang sumbangan besar para muslimah semasa zaman Khilafah. Ada banyak lagi sumbangan para muslimah kepada tamadun Islam termasuklah dalam menguruskan tempat perdagangan, sekolah perempuan, dan minuman percuma untuk jemaah haji, umrah dan ziarah. Ringkasnya, pada era Khilafah ‘Uthmaniyah, sumbangan wakaf dari para muslimah membentuk sepertiga daripada keseluruhan sumbangan wakaf.

Di sisi yang lain, dalam pemerintahan Khilafah juga, wanita telah diangkat martabatnya menjadi insan yang mulia. Negara Khilafah sentiasa melindungi kehormatan dan keselamatan wanita. Inilah yang dilakukan oleh Khalifah Al-Muktasim Billah ketika era pemerintahannya. Sejumlah pasukan tentera yang dianggarkan sejauh jarak di antara Rom dan Baghdad telah dikerah hanya semata-mata untuk menyelamatkan dan mempertahankan maruah seorang muslimah di perbatasan Rom yang dimalukan dan dipersendakan oleh orang-orang Rom.

Sejarah juga menukilkan peristiwa pada zaman Khalifah Umar r.a, apabila seorang hamba wanita mengadu kepadanya akan majikannya yang menuduhnya berzina dan menghukuminya dengan hukuman berat. Setelah disiasat, ternyata majikan wanita tersebut hanya mengesyaki sahaja tanpa adanya saksi, bukti atau pengakuan yang dapat mensabitkan kesalahannya. Akhirnya Khalifah Umar r.a menghukum si majikan dengan 100 kali sebatan dan membebaskan wanita hamba itu. Demikianlah bagaimana kehormatan wanita dilindungi walaupun berstatus hamba. Negara Khilafah, dengan kekuasaannya yang bersumberkan syariahNya, Islam pasti menjamin perlaksanaan hukum hudud Allah SWT.

Refleksi Sejarah

Paparan di atas memaparkan sebahagian kecil ketinggian tahap hidup yang dicapai oleh sesiapa yang berada di negara Islam. Kebahagiaan hidup dalam negara Islam yang mereka kecapi bukanlah kerana kaliber pemerintah semata-mata. Semua pemerintah pada zaman tamadun Islam, bermula Rasulullah SAW pada tahun 621M kepada Khilafah Rasyidah, Khilafah Bani Umaiyah, Khilafah Bani ‘Abasiyah, hinggalah Khilafah ‘Uthmaniyah yang berakhir pada tahun 1924M telah membangunkan Islam sebagai ideologi negara. Akidah dan syariat Islam dilaksanakan, dipertahankan, dan disebarkan.

Selain itu, futuhat (pembebasan) yang dilaksanakan melalui jihad dan dakwah menjadikan wilayah Islam meluas sehingga meliputi benua Asia, Afrika dan Eropah. Wilayah yang banyak dan luas ini disatukan di bawah pemerintahan seorang Khalifah sebagai satu negara. Oleh itu, tidak hairanlah kapal perang dari Turki dihantar membantu wilayah sejauh Nusantara menentang penjajah seperti Portugis dan Belanda. Khilafah Islam mempunyai kekuatan tentera yang sukar dikalahkan kerana mereka diresapi oleh ruh jihad yang menghasilkan keberanian, kesabaran dan kebijaksanaan. Kerana itu wilayah strategik seperti Palestin dapat dipertahankan selama kewujudan Khilafah. Hanya pada tahun 1948 iaitu selepas ketiadaan Khilafah, barulah Zionis berjaya merampas bumi Palestin.

Negara Islam juga mempunyai Baitul Mal yang memperoleh dana yang sangat besar hasil daripada jihad dan kutipan seperti zakat, jizyah dan kharaj. Ini membolehkan negara menjalankan kewajipannya mengagihkan keperluan dan kemudahan untuk seluruh rakyat di segenap wilayahnya. Di samping itu, galakan bersedekah menjadikan kaum Muslimin yang kaya berlumba-lumba menafkahkan harta mereka pada jalan Allah. Ketetapan Islam yang rinci dalam perkara pemerolehan, penggunaan dan pengembangan harta iaitu urusan muamalat telah menghasilkan golongan pemerintah dan masyarakat yang bersih daripada korupsi sekaligus makmur dan berkembang. Suasana ini tidak dapat dirasai pada masa kini apabila negeri-negeri kaum Muslimin telah terpecah kepada lebih kurang 50 negara yang kecil lagi lemah.

Di sebalik kemakmurannya, rakyat negara Islam, baik Muslim mahupun bukan, menjalani kehidupan sosial yang sihat. Kaum wanita tidak terpinggir daripada arus pembangunan ruhiyah, akliah dan material. Kaum wanita belajar ilmu fardu ain dan mengerjakan ibadah sebagaimana lelaki. Mereka juga melaksanakan fardu kifayah tanpa mengorbankan peranan asal mereka iaitu sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Ini dilakukan dengan panduan hukum-hakam dan pelaksanaan hukuman seperti pengasingan lelaki dan wanita yang bukan mahram dan batas aurat.Berbanding era kapitalisme saat ini, pemikiran liberalisme dalam kalangan wanita telah menjerat mereka hingga mereka mengorbankan diri dan masa depan generasi kerana mereka dengan bangganya mengambil alih fungsi lelaki. Kaum lelaki pula telah meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai “qawwam” iaitu pemimpin. Lalu muncul pula keliaran melampau dalam pergaulan lelaki dan wanita yang kemudiannya mengakibatkan jenayah dan kecelaruan generasi.

Akhir sekali, ‘uqubat (sistem hukuman) Islam sentiasa dilaksanakan di segenap wilayah Islam sepanjang kewujudannya. Hukum hudud, ta’zir, jinayat dan mukhalafat telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu mendidik dan mencegah pelanggaran syariat Allah. Jenayah tidak berleluasa kerana pemerintah melaksanakan syariat Islam, masyarakat saling menjaga satu sama lain melalui amar ma’ruf nahi mungkar dan individu menahan diri mereka daripada maksiat dengan ketaqwaan kepada Allah SWT. Meskipun umat Islam pada masa Khilafah telah hidup dengan sentosa tatkala ‘uqubat Islam dilaksanakan, propaganda pengemban ideologi Kapitalisme pula cuba memomokkan dunia dengan cubaan menconteng imej menakutkan pada ‘uqubat Islam. Sebaliknya undang-undang sivil ciptaan manusia terbukti gagal dilihat pada kebejatan jenayah yang berlaku di seluruh dunia kini.

Khatimah

Pengkajian sejarah sama ada pada tinggalan yang nyata seperti bangunan-bangunan infrastruktur yang masih berfungsi atau maklumat yang dicatatkan melalui pengalaman atau pengkajian, sememangnya menimbulkan kekaguman terhadap tahap kecemerlangan yang telah dicapai sewaktu syariat Islam dilaksanakan. Jadi, dapat difahami bahawa Islam menjadi ideologi negara yang berkesan apabila dilaksanakan secara menyeluruh dan mandiri iaitu melaksanakan keseluruhan syariah Islam tanpa menjadikannya tampalan kepada sistem hidup buatan manusia.

Luar biasanya syariah Islam adalah kerana ia direkacipta bukan oleh manusia meskipun yang cerdas tetapi oleh Allah yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini. Maka sudah tentulah syariah Islam dicipta dengan sebaik-baiknya untuk mengatasi semua masalah manusia. Sejarah telah membuktikan bahawa kebahagiaan hidup di dunia dapat dicapai dengan melaksanakan syariat yang diwahyukan dan ini bukanlah utopia ataupun kemustahilan. Semoga kita diberikan jalan dan kekuatan untuk mengembalikan kehidupan Islam dan merasai Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment