Seni Perakaunan Dalam Islam

Oleh: Risma Nur Anissa

Perakaunan merupakan seni mencatat transaksi yang terdapat dalam sesebuah perniagaan atau organisasi. Ilmu pengetahuan moden menyatakan bahawa perakaunan dipelopori oleh seorang cendekiawan berasal dari Genoa, Itali yang bernama Lucas Pacioli (1445-1517). Pada waktu itu beliau telah menulis buku bertajuk “Summa de Arithmetica Geometria, Proportioni et Proportionalita”. Buku ini menjelaskan tentang sistem pencatatan berpasangan yang baru dikenali pada saat itu. Untuk pengetahuan, Lucas Pacioli adalah seorang paderi dari Francisco dan kini terkenal sebagai Bapa Perakaunan.

Jika kita kaji dalam sejarah Islam, sebenarnya sejak awal perkembangannya sudah ada sistem perakaunan. Hal ini dapat kita simpulkan berdasarkan kepada kewujudan aktiviti kafilah atau perdagangan. Pada tahun 622 M terbukti beberapa sistem pencatatan perdagangan telah berkembang di Madinah, dan pada zaman pemerintahan Abbasiyah 750 M telah dikembangkan dengan lebih sempurna, antaranya ialah Al Jaridah Annafakat (Jurnal Pengeluaran atau Expenditure Journal), Jaridah al-Mal (Jurnal penerimaan dana untuk Baitul Mal) dan lain-lain.

Berdasarkan sejarah, aktiviti perdagangan tersebut menunjukkan bahawa terdapat pemisahan di antara pemilik dengan pedagang (pengurus) seperti kisah Muhammad (sebagai pedagang/ejen) dengan Khadijah (sebagai pemilik). Justeru itu, sistem perakaunan ini juga dapat dilihat dalam al-Quran, bahawa Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 282 yang memerintahkan supaya mencatat transaksi-transaksi yang belum dijelaskan atau dengan kata lain, hutang dalam jual beli. Walau bagaimanapun, masih belum banyak analisis yang dibuat terkait sistem perakaunan yang wujud pada zaman ini (lebih kurang 570 M). Dalam buku rujukan perakaunan, banyak disebut bahawa sistem perakaunan bermula di Eropah.

Sedangkan sistem perakaunan telah lama wujud dan disebut dalam al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 282, Allah SWT telah berfirman, yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu’amalah tidak secara tunai untuk tempoh masa yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil. Dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana Allah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, dan janganlah dia mengurangkan sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka walinya wajib mengimlakkan dengan jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki (di antara kamu). Jika bukan dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika salah seorang terlupa, maka yang seorang lagi mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil; dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar, sehingga sampai tempoh membayarnya.

Dengan itu, ia lebih adil di sisi Allah dan lebih mengukuhkan kesaksian dan tidak menimbulkan keraguan. Tetapi jika ia merupakan jual beli tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak berdosa (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli; dan janganlah penulis dan saksi memudaratkan pihak yang bermu'amalah (dan begitu juga dengan pihak yang bermu'amalah, jangan memudaratkan para saksi dan penulis). Jika kamu memudaratkan (yang demikian), sesungguhnya kamu merupakan seorang yang fasik. Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”

Asbabun Nuzul ayat ini berkenaan ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah buat pertama kali, penduduk di Madinah telah biasa menyewakan kebunnya dalam tempoh satu hingga tiga tahun. Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menyewakan (memberi hutang) sesuatu hendaklah dengan cara timbangan atau ukuran yang tertentu dan dalam tempoh waktu yang tertentu”. Sehubungan dengan itu Allah SWT menurunkan ayat ke 282 sebagai perintah apabila mereka berhutang mahupun bermu’amalah dalam tempoh waktu tertentu, hendaklah mereka menulis perjanjian dan mendatangkan saksi. Demi untuk menjaga daripada berlakunya persengketaan pada waktu-waktu yang akan datang. [HR Bukhari].

Ayat ini adalah ayat yang terpanjang dalam al-Quran dan berbicara tentang hak manusia. Iaitu memelihara hak kewangan masyarakat. Ayat ini ditempatkan selepas huraian tentang anjuran bersedekah dan berinfaq (ayat 271-274), kemudian disusuli dengan larangan melakukan transaksi riba' (ayat 275-279), serta anjuran memberi penangguhan kepada yang tidak mampu membayar hutangnya sehingga mereka mampu atau bahkan digalakkan untuk sedekahkan sebahagian atau kesemua hutang itu (ayat 280).

Kedudukan huraian tentang anjuran atau kewajipan menulis hutang-piutang setelah anjuran dan larangan di atas, mengandungi makna tersendiri. Anjuran bersedekah dan melakukan infaq di jalan Allah merupakan penjelmaan kekejaman dan kekerasan hati, sehingga dengan perintah menulis hutang-piutang akan menyebabkan harta terpelihara, melambangkan keadilan yang didambakan Al-Quran sehingga lahir jalan tengah antara rahmat murni yang ditunjukkan oleh sedekah dan kekejaman yang diperagakan oleh pelaku riba’. Larangan mengambil keuntungan melalui riba’ dan perintah bersedekah dapat menimbulkan kesan bahawa Al-Quran tidak bersimpati terhadap orang yang memiliki harta. Kekeliruan itu dijernihkan melalui ayat ini yang mana intinya memerintahkan untuk memelihara harta dengan membuat catatan hutang-piutang, walaupun sedikit, serta mempersaksikannya.

Potongan ayat-ayat ini menasihati setiap orang yang melakukan transaksi hutang-piutang untuk membuat catatan yang mengandungi pernyataan untuk tempoh waktu yang ditetapkan. Ini bukan saja menunjukkan bahawa ketika berhutang, masa pelunasannya wajib ditentukan. Bukan sekadar berkata “bila ada rezeki, saya akan bayar hutangnya”, atau kata-kata lain yang tidak jelas dan tidak pasti. Tuntunan agama melahirkan ketenangan bagi penganutnya, sekaligus harga diri, oleh kerana itu, agama tidak menganjurkan seseorang untuk berhutang kecuali jika sangat terpaksa. “hutang adalah kehinaan di siang dan keresahan di malam hari”. Demikian sabda Rasulullah SAW. Beliau juga bersabda, “Penangguhan pembayaran hutang bagi yang mampu adalah penganiayaan” [HR Bukhari dan Muslim]. Perintah mencatat hutang-piutang difahami oleh banyak ulama’ sebagai anjuran, bukan kewajipan.

Begitulah yang dipraktikkan oleh para sahabat Nabi ketika itu, begitu juga yang terbaca pada ayat berikutnya. Memang agak sukar untuk dilakukan oleh kaum muslimin jika perintah menulis hutang-piutang ini adalah perintah yang wajib kerana sewaktu turunnya ayat ini, kemahiran menulis ketika itu sangat rendah. Namun demikian, ayat ini juga menunjukkan perlunya belajar menulis kerana dalam hidup ini setiap orang mungkin mengalami keperluan untuk pinjaman dan meminjamkan. Itu ditunjukkan oleh penggunaan kata (اذا) idza/apabila pada awal potongan ayat ini, yang lazim digunakan untuk menunjukkan kepastian akan berlakunya sesuatu.

Perintah menulis mencakupi perintah kepada kedua-dua orang yang bertransaksi, dalam ertinya salah seorang menulis, dan apa yang ditulisnya diserahkan kepada rakannya, dan jika salah seorang pandai menulis membaca, atau tidak pandai, atau kedua-duanya tidak pandai, mereka hendaklah mencari orang ketiga sebagaimana yang disebut dalam ayat seterusnya. Allah SWT menegaskan: Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Tidak menyalahi ketentuan Allah dan perundangan yang berlaku dalam masyarakat. Tidak merugikan salah satu pihak. Dengan demikian terdapat 3 kriteria yang diperlukan bagi penulis, iaitu kemampuan menulis, pengetahuan tentang aturan serta tata cara menulis perjanjian, dan kejujuran.

Terkait dengan perakaunan, yang dimaksudkan dengan kemampuan menulis secara profesional adalah seorang akauntan yang bertugas mencatat segala transaksi yang berlaku dalam sebuah perusahaan sesuai dengan Pernyataan Standard Perakaunan Kewangan. Akauntan merupakan sarjana perakaunan yang telah memperoleh lesen akauntan. Pertamanya ayat ini menyebut terkait ‘adil’ dan ‘diantara kamu’, kemudian baru disebut ‘pengetahuan yang diajarkan Allah’. Ini disebabkan keadilan. Disamping berlaku adil, seseorang itu dituntut untuk mempunyai pengetahuan. Jika seseorang itu adil, tetapi tidak berpengetahuan, keadilannya itu akan mendorongnya untuk belajar. Berbeza dengan orang yang berpengetahuan tetapi tidak adil, dia akan menggunakan pengetahuannya untuk menutup ketidakadilannya. Dia akan mencari helah untuk membenarkan penyelewengan dan menghindari hukuman.

Seterusnya diingatkan kepada penulis agar menulis sebagai tanda syukur kerana Allah telah mengajarkannya kepada kita semua. Potongan ayat ini meletakkan tanggungjawab di atas pundak penulis yang mampu, bahkan setiap orang yang memiliki kemampuan untuk melaksanakan sesuatu sesuai kemampuannya. Walaupun pesanan ayat ini dinilai sebagai anjuran atau galakan oleh sebahagian besar ulama’, ia akan menjadi wajib jika tidak ada selainnya yang mampu dan pada saat yang sama, jika dikhawatirkan akan terabai hak-hak.

Maka jelaslah betapa pentingnya pencatatan (perakaunan) dalam kegiatan mu’amalah. Harapannya, keadilan dan kejujuran terus mampu ditegakkan dalam kegiatan ini agar kesejahteraan bersama dapat tercapai.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment