Seputar Pakaian Syar’ie Bagi Wanita

الرحيم الرحمن الله بسم

Rangkaian jawapan asy-Syaikh al-'Alim Atha 'bin Khalil Abu ar-Rasytah Amir Hizbut Tahrir terhadap pertanyaan di akaun facebook beliau

Kepada Hassan Ali Ali

Soalan:

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Soalan saya tentang hijab, apakah ianya merupakan kewajipan berserta dalil, atau dahulunya hanya menjadi adat kebiasaaan dan diwajibkan kerana untuk membezakan antara wanita merdeka dengan hamba sahaya?

((Jadi hijab pada asalnya adalah tasyri' yang mempunyai kandungan bersifat pengkelasan yang tujuannya membezakan wanita merdeka dari hamba sahaya. Dan inilah yang difahami oleh sahabat Nabi SAW. Sebab dahulu Umar bin al-Khattab (ketika meronda di Madinah, beliau melihat hamba sahaya berhijab maka Umar memukulnya dengan rotannya yang terkenal sehingga hijab pun jatuh dari kepala hamba sahaya itu, dan Umar berkata, "Kenapa hamba sahaya menyerupai wanita merdeka?") Apa yang ingin saya katakan, pada zaman ini di mana tidak ada tetangga atau hamba sahaya, dan segala puji hanya bagi Allah, sebab kewajipan bertudung telah pun gugur. Tidak ada sesuatu di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang mengatakan bahawa hijab adalah fardhu kerana tudung itu menghalang fitnah atau untuk menjaga kesucian diri. Orang yang mengatakan begini maka dia berdosa dan telah melakukan kedustaan terhadap Allah. Wanita yang berhijab disebabkan sebahagian daripada adat kebiasaan kaumnya atau masyarakatnya, maka dia tidak melakukan kesalahan, selama dia memahami bahawa memakai hijab bukan merupakan kewajipan dari Allah SWT . Akan tetapi wanita yang mengenakan hijab dan menyerukannya dengan keyakinan bahawa Allah SWT telah memerintahkannya, tidak lain dia melakukan dosa besar sebab telah menyekutukan Allah dengan manusia yang mewajibkan undang-undang bukan dari Allah dan juga Rasul-Nya yang mulia, dan dia tersesat dari risalah al-Quran dan jalan yang lurus. Hijab bukan merupakan kewajipan Islami akan tetapi merupakan adat kebiasaan masyarakat yang ada sebelum Islam dan tidak ada hubungannya dengan agama sama sekali. Antara perkara yang paling berbahaya adalah mencampuradukkan antara adat kebiasaan dan ajaran-ajaran dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya yang mulia sebab dengan menyatakan bahawa suatu adat kebiasaan adalah berasal dari Allah adalah menyerupai kesyirikan kepada Allah dan pendustaan terhadapNya.))

Saya mohon pandangan anda terhadap ucapan ini. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada anda dan juga memberi petunjuk kepada kami dan anda.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Dalil-dalil syara' berkenaan pakaian Syar’ie bagi wanita itu sudah jelas dan terang. Pakaian wanita itu bukan dari sisi adat kebiasaan, sehingga jika masyarakat terbiasa dengannya maka dipakai, dan jika masyarakat tidak terbiasa dengannya maka digunakan. Akan tetapi pakaian perempuan itu adalah kewajipan yang diwajibkan oleh Allah SWT terhadap wanita.

Syara' telah mewajibkan pakaian Syar’ie tertentu kepada wanita ketika keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan umum. Syara' telah mewajibkan ke atas wanita agar mengenakan pakaian di atas pakaiannya yang dipakai dirumah ketika dia hendak keluar ke pasar, atau berjalan di jalan umum. Syara' mewajibkan ke atas wanita agar adanya jilbab, dengan maknanya yang Syar’ie iaitu: sehelai pakaian yang dikenakan di atas pakaian rumahnya dan ia dihulurkan ke bawah hingga menutupi kedua kaki. Jika seseorang tidak mempunyai jilbab, hendaklah dia meminjam jilbab daripada jirannya atau temannya atau keluarganya. Jika dia tidak boleh meminjam atau tidak seorang pun meminjamkannya, maka dia tidak boleh keluar tanpa memakai jilbab. Dan jika dia keluar tanpa mengenakan jilbab yang sepatutnya dikenakan di atas pakaian rumahny, maka dia berdosa. Ini kerana dia meninggalkan kewajipan yang telah difardhukan oleh Allah terhadapnya. Ini dari sisi pakaian bawah bagi perempuan. Sedangkan dari sisi pakaian atas, maka dia mesti mengenakan tudung, atau yang menyerupai atau menduduki kedudukannya berupa pakaian yang menutupi seluruh kepala, seluruh leher dan bukaan pakaian di dada. Dan ini hendaknya dipakai ketika keluar ke pasar, atau berjalan di jalan umum. Jika dia memiliki kedua-dua pakaian ini, maka dia boleh keluar dari rumahnya ke pasar atau berjalan di jalan umum, iaitu keluar ke lingkungan kehidupan umum. Namun, jika dia tidak mempunyai kedua-dua pakaian ini, dia tidak boleh keluar, walau apapun keadaannya. Sebab perintah dengan kedua-dua pakaian ini datang bersifat umum dan ia tetap berlaku umum dalam semua keadaan kerana tidak ada dalil yang mengkhususkannya sama sekali.

Adapun dalil atas wajibnya kedua-dua pakaian untuk kehidupan umum tersebut, adalah berdasarkan firman Allah SWT mengenai pakaian dari atas,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” [TMQ an-Nur (24): 31].

Dan firman Allah SWT tentang pakaian bawah,

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33): 59].

Dan apa yang diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyah bahawa beliau berkata,

«أَمَرَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِيْ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى، اَلْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُوْرِ، فَأَمَا الْحَيّضُ فَيَعْتَزلْنَ الصَّلاَةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ، وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِيْنَ. قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِحْدَانَا لاَ يَكُوْنُ لَهَا جِلْبَابٌ، قَالَ: لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا»

“Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari Idul Fithri dan Adha, baik gadis yang menginjak akil baligh, wanita-wanita yang sedang haid mahupun wanita-wanita pingitan. Wanita yang sedang haid tetap meningggalkan solat, namun mereka dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum Muslim. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah salah seorang diantara kami ada yang tidak memiliki jilbab?” Rasulullah saw menjawab: Hendaklah saudarinya meminjamkan jilbabnya kepadanya” [HR Muslim].

Dalil-dalil ini jelas dalam dalalahnya atas pakaian wanita dalam kehidupan umum. Jadi dalam dua ayat ini, Allah SWT telah menerangkan pakaian yang Allah wajibkan atas wanita agar mereka mengenakannya dalam kehidupan umum dengan keterangan yang dalam, sempurna dan menyeluruh. Allah SWT berfirman tentang pakaian wanita dari atas:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” [TMQ an-Nur (24): 31].

Iaitu hendaknya mereka menghulurkan penutup kepala mereka di atas leher dan dada mereka, untuk menutupi apa yang nampak dari belahan baju, dan belahan baju dari leher dan dada.

Allah berfirman berkaitan pakaian wanita dari bawah,

يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ

“Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33): 59].


Iaitu hendaknya mereka menghulurkan ke atas diri mereka jilbab-jilbab mereka yang mereka kenakan di atas pakaian rumah untuk keluar, hendaknya mereka labuhkan ke bawah. Allah berfirman tentang tatacara umum yang berlaku atas pakaian ini,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” [TMQ an-Nur (24): 31].

Iaitu hendaknya mereka tidak menampakkan anggota-anggota badan yang merupakan tempat perhiasan seperti kedua-dua telinga, kedua lengan bawah, kedua-dua betis dan selainnya kecuali apa yang boleh nampak dalam kehidupan umum ketika ayat ini turun, iaitu pada masa Rasulullah SAW, iaitu wajah dan kedua telapak tangan . Dan dengan keterangan yang mendalam ini maka menjadi jelas sejelas-sejelasnya, berkenaan tatacara pakaian wanita dalam kehidupan umum dan kewajipan atas pakaian tersebut. Dan hadis dari Ummu 'Athiiyah menjelaskan secara jelas dan terang mengenai wajibnya wanita mempunyai jilbab yang mereka kenakan di atas pakaian rumahnya ketika mereka keluar. Sebab Ummu 'Athiyah berkata kepada Rasulullah SAW,

"Salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab". Lalu Rasul SAW menjawab, "Hendaknya saudaranya meminjaminya dari jilbab kepunyaannya". Ertinya ketika Ummu 'Athiyah berkata kepada Rasul, jika dia tidak mempunyai jilbab yang dia kenakan di atas pakaiannya untuk keluar, lalu Rasul SAW memerintahkan agar saudarinya meminjaminya jilbab kepunyaannya. Dan maknanya bahawa jika dia tidak dipinjami maka tidak boleh untuknya keluar. Dan ini adalah qarinah (indikasi) bahawa perintah dalam hadis ini adalah untuk menyatakan ia adalah wajib. Ertinya wajib wanita memakai jilbab di atas pakaian rumahnya jika dia ingin keluar. Dan jika dia tidak mengenakan jilbab maka dia tidak (boleh) keluar. Dan dalam hal jilbab disyaratkan agar dapat dilabuhkan ke bawah hingga menutupi kedua kaki.

Hal ini demikian kerana, Allah SWT telah berfirman dalam ayat berikut,

يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ

“Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33): 59].

Iaitu hendaknya mereka melabuhkan jilbab mereka. Sebab kata "min" di sini bukan li at-tab'idh (menyatakan sebahagian) akan tetapi li al-bayân (untuk penjelasan). Ertinya, hendaklah mereka melabuhkan jilbab hingga ke bawah. Diriwayatkan dari Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

«مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ قَالَ يُرْخِينَ شِبْرًا فَقَالَتْ إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ قَالَ فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا لاَ يَزِدْنَ عَلَيْهِ»

“Siapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak memandangnya pada Hari Kiamat”. Lalu Ummu Salamah berkata: Lalu bagaimana cara wanita perlu memperlakukan dengan hujung pakaiannya ?”. Rasul menjawab: “Hendaklah mereka melabuhkannya sejengkal”. Ummu Salamah berkata: “Kalau begitu tersingkap kedua kaki mereka”. Rasulullah pun menjawab: “Maka hendaknya mereka melabuhkannya sehasta, jangan mereka lebihkan atasnya” [HR at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan shahih].

Jadi hadis ini jelas bahawa jilbab yang dikenakan di atas pakaian itu wajib dipanjangkan ke bawah hingga menutupi kedua kaki. Jika kedua-dua kaki ditutupi dengan kasut atau sarung kaki, maka yang demikian itu belum cukup untuk tidak melabuhkan jilbab itu ke bawah hingga kedua-dua kaki dalam bentuk yang menunjukkan adanya irkha '(dijulurkan). Dan tidak wajib jilbab itu menutupi kedua kaki ketika kedua kaki itu tertutup. Akan tetapi di situ perlu ada irkha' , iaitu jilbab itu perlu melabuh ke bawah hingga kedua kaki secara nyata yang darinya diketahui bahawa itu adalah pakaian kehidupan umum yang wajib dikenakan wanita dalam kehidupan umum, dan di dalamnya kelihatan irkha' iaitu dipenuhi di dalamnya firman Allah: "yudnîna" iaitu yurkhîna (hendaknya mereka melabuhkan).

Seperti yang anda lihat, pakaian wanita itu merupakan pakaian yang sudah dibatasi dengan sekatan yang jelas dengan nas-nas yang jelas (sharih) tidak ada kekeliruan dan keraguan dalam dalalahnya sehingga Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Ummu 'Athiyah tentang wanita keluar jika mereka tidak punya jilbab, maka Rasulullah SAW menjawabnya agar wanita itu meminjam jilbab dari jirannya atau tetap dia dirumah. Ini adalah dalalah yang kuat menunjukkan wajibnya jilbab sebagai pakaian Syar’ie bagi wanita.

Saudaramu,
Atha 'bin Khalil Abu ar-Rasytah
1 Muharram 1435
4 November 2013
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment