Wayang Demokrasi Kembali Lagi

Setiap kali tiba musim pilihan raya dalam sistem demokrasi, maka kita akan menyaksikan bagaimana rakyat mendapat perhatian yang luar biasa daripada parti-parti yang bertanding. Fenomena ini sekali lagi boleh dilihat dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.


Pada waktu inilah kita akan dapat melihat para pemimpin parti-parti politik demokrasi memaparkan wajah prihatin masing-masing kepada rakyat. Pendek kata, pantang dengar di mana ada orang miskin, maka berebut-rebutlah mereka untuk ke sana, walau di ceruk mana sekalipun, demi menyuapkan nasi ke mulut si fakir miskin, dengan dikelilingi oleh para wartawan.

Inilah politik kepura-puraan yang ada dalam demokrasi. Di atas pentas opera berjudul “pilihan raya demokrasi”, di sini tempat untuk menonton para pelakon handalan yang menjadi hero rakyat. Bukan sekadar hero, malah mereka juga turut melakonkan watak khadam kepada rakyat, manakala rakyat menjadi raja. Parti lawan diburukkan habis-habisan sebagai penjahat. Segala wang ringgit dan janji ditabur demi meraih sekeping kertas bernama undi. Inilah wayang demokrasi yang diulang tayang setiap kali pilihan raya di Malaysia.

Bagi yang prihatin, mungkin masih ingat kenyataan seorang mantan Menteri Besar dari sebuah parti sekular bahawa manifesto pilihan raya bukanlah janji, yang bermaksud, jika mereka menang, apa sahaja yang terkandung dalam manifesto tidak semestinya dilaksanakan. Ringkasnya, manifesto hanyalah pemanis undi semata-mata.

Pada masa ini juga suara rakyat menjadi suara keramat yang hakikatnya penuh pendustaan dan ilusi. Jika ada sekali pun, ‘kekeramatan’ suara itu akan berakhir sebaik sahaja pesta pilihan raya berakhir dan pemenangnya dinobatkan.

Demikianlah bagaimana demokrasi telah menukar manusia menjadi “sesumpah” dan melahirkan manusia yang hipokrit. Malangnya masih ramai dalam kalangan rakyat yang tidak nampak hakikat ini. Jika ada yang nampak pun, masih ramai pula yang tidak kisah, semata-mata kerana beberapa biji gula-gula yang mereka dapat semasa wayang tersebut sedang berlangsung.

Bagaimana dengan nasib rakyat selepas pilihan raya? Ringkasnya, tidak akan wujud perubahan yang mendasar, tanpa mengira siapa pun pemenang pilihan raya tersebut. ‘Perubahan’ yang pasti hanyalah kepada calon yang menang dan para kroni mereka, yang bertambah keegoan dan kekayaan mereka, manakala rakyat secara umumnya kembali seperti biasa dengan segala masalah dan penderitaan.

Malahan lebih buruk, darah rakyat terus dihisap dan segala hak rakyat dirampas dengan pelbagai undang-undang baru yang diluluskan, di samping undang-undang zalim sedia ada yang terus dikekalkan. Lihat sahajalah bagaimana GST yang membelenggu rakyat dengan setahun sahaja parti pemerintah berjaya merampas RM39 bilion dari poket rakyat, rakyat yang suatu waktu dulu mereka suapkan nasi ke mulut mereka tatkala pilihan raya!

Semoga rakyat, khususnya umat Islam semakin sedar akan penipuan dan kebusukan demokrasi dan meninggalkan sistem kufur yang berasal dari Barat ini serta beralih kepada perjuangan Islam yang Insya Allah akan pasti merubah kehidupan rakyat kepada kebaikan dan rahmat dari Allah Azza wa Jalla.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment