Akhlak Pendakwah

Fahaman Sekularisme telah menjauhkan umat daripada usaha untuk menyucikan jiwa. Kelesuan nafsiyyah islâmiyyah (pola sikap Islami) terus melanda umat. Walaupun ada, ianya hanya sekadar pada sikap individual; bukannya sebagai usaha perjuangan membangkitkan umat. Padahal Rasulullah SAW diutus dengan membacakan ayat-ayat Allah kepada para Sahabat, menyucikan jiwa mereka, dan mengajari mereka al-Quran dan as-Sunnah. Kini, diperlukan orang-orang yang dapat membangkitkan jiwa yang sentiasa dekat dan taat kepada Allah sekaligus berjuang untuk mengubah masyarakat.

Beban yang berat hanya mungkin dipikul oleh orang yang kuat dan hebat. Tugas penting hanya mungkin dijalankan oleh orang yang terpilih. Amanah yang utama hanya mungkin dilaksanakan oleh orang yang memiliki keutamaan. Taklif istimewa hanya mungkin dapat dipikul oleh orang yang istimewa. Beban yang berat, tugas penting, amanah utama dan taklif istimewa tidak mungkin dipikul oleh orang lemah, sembarangan, berkualiti rendah atau yang biasa-biasa sahaja.

Dakwah adalah beban yang berat, tugas penting, amanah utama dan taklif istimewa daripada Allah SWT kepada kita. Dakwah ini hanya akan berjaya dan berhasil mencapai tujuannya jika dipikul oleh orang-orang yang kuat dan hebat, yang memiliki keutamaan dan istimewa; bukan oleh orang-orang yang lemah, sembarangan, berkualiti rendah dan biasa-biasa sahaja.

Saat ini, para pendakwah memiliki tugas berat untuk melahirkan umat pendukung dakwah yang ber-‘aqliyyah islâmiyyah (pola fikir Islam) dan ber-nafsiyyah islâmiyah (pola sikap Islam). Oleh kerana itu, diperlukan rujukan yang dapat menyatukan penyucian jiwa dengan perjuangan untuk menegakkan Islam. Di sinilah pentingnya buku Min Muqqawwimât an-Nafsiyyah al-Islâmiyyah.

Dakwah ini hanya mungkin berhasil mewujudkan tujuannya jika dipikul oleh orang-orang yang setaraf generasi para Sahabat RA. Di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW., para Sahabat RA. sebagai generasi terbaik telah terbukti berjaya memikul beban dakwah di Mekah hingga berhasil mendirikan Negara Islam di Madinah.

Oleh kerana itu, agar berjaya dakwah hari ini seperti mana kejayaan dakwah yang diraih generasi Sahabat pada masa lalu, mahu tidak mahu, para pendakwah hari ini wajib mencontohi akhlak dan keperibadian (syakhshiyyah) mereka; baik dalam hal kualiti keimanan dan ketakwaan mereka; banyaknya zikir dan taqarrub mereka kepada Allah SWT; kekhusyukan mereka dalam ibadah dan doa; keluasan ilmu agama mereka; banyaknya amal soleh mereka; keagungan perilaku dan akhlak mereka; besarnya semangat dan keinginan dakwah mereka; serta luar biasanya pengorbanan harta dan jiwa mereka di jalan Allah SWT. Saat para pendakwah gagal mencontohi seluruh keteladanan generasi para Sahabat ini, maka tentu gagal dakwah yang mereka lakukan, malah jauh daripada ketakwaan.

Menurut para ulama’ inti takwa itu ada tiga:

1. Al khouf minal Jalil (takut kepada Allah Zat yang Maha Gagah Perkasa)
2.Wal ‘amalu bi tandziil (mengamalkan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT,           mengamalkan aturan Islam, mengamalkan Syariat Islam)
3. Wal ‘isti’daadubirrohiil (mempersiapkan diri untuk perjalanan menghadapi hisab daripada Allah SWT)

Secara praktis, nilai diri dan reputasi diri akan menentukan keberhasilan dakwah. Salah satunya terkait dengan akhlak. Maka seorang Muslim, apatah lagi pendakwah, wajib menanamkan hukum syariah menyangkut akhlak mulia dalam dirinya. Di antara akhlak mulia itu adalah malu, menahan diri, tidak emosional, lemah-lembut, jujur, cermat dalam perkataan, teliti dalam menyampaikan informasi, bertutur kata baik, menampakkan wajah berseri, diam kecuali dalam kebaikan, memenuhi janji, marah kerana Allah, berbaik sangka kepada orang beriman; bersikap baik kepada tetangga, amanah, wara’, meninggalkan syubhat; memuliakan ulama’, orang tua, dan orang yang memiliki keutamaan; mengutamakan dan menolong orang lain; berderma dan berinfak di jalan kebaikan; berpaling daripada orang jahil; dan taat. Bahkan dalam berbicara pun harus beradab, baik dalam mengajar, berkhuthbah, dan berdebat. Semua ini menunjukkan betapa pendakwah perlu bersegera menanamkan akhlak Islam ke dalam dirinya.

Membentuk dan menyempurnakan akhlak mulia adalah salah satu misi utama Rasulullah SAW diutus ke dunia. Rasulullah SAW sendiri yang menyatakan demikian, sebagaimana dinyatakan oleh Abu Hurairah RA,“Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak[HR al-Bukhari dan Muslim].

Oleh kerana itu, wajar jika akhlak mulia adalah salah satu yang disukai Allah SWT. Sebaliknya, akhlak yang buruk adalah perkara yang dibenci Allah SWT. Dalam hal ini, Amir bin Said bin Abi Waqash RA dari bapanya berkata, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah itu Maha Mulia yang menyukai kemuliaan; Allah itu Maha Pemurah yang mencintai kemurahan dan kemuliaan akhlak serta membenci keburukan akhlak” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi].

Akhlak mulia adalah salah satu amalan atau sifat orang Mukmin yang bakal menjadi penduduk syurga. Demikianlah menurut sabda Rasulullah SAW, sebagaimana dituturkan oleh Anas bin Malik RA. “Sesungguhnya kemuliaan akhlak adalah sebahagian daripada amalan penduduk syurga [HR Ibn Abi Dunya’].

Rasulullah SAW memberi kita contoh di antara akhlak mulia yang mesti kita miliki sebagaimana yang beliau ajarkan kepada Uqbah bin Amir RA, “Wahai Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak yang paling mulia daripada penduduk dunia dan akhirat? Iaitu engkau menyambungkan silaturrahim dengan orang yang memutuskannya; engkau memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu; dan engkau memaafkan orang yang telah menzalimi kamu[HR al-Hakim dan ath-Thabrani].

Perbuatan akhlak di atas bukti kualiti keimanan seorang Muslim. Baginda bersabda sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah RA, “Tidaklah seorang hamba dapat meraih keimanan yang benar sehingga dia menyambungkan hubungan silaturrahim dengan orang yang memutuskannya, memaafkan orang yang menzalimi dirinya, mengampuni orang yang mencelanya dan berbuat baik kepada orang yang berbuat buruk kepada dirinya[HR Ibn Abi Dunya’].

Wajarlah jika perbuatan akhlak di atas dapat meringankan hisab Allah SWT atas manusia di akhirat kelak. Dalam hal ini, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Ada tiga perkara yang barangsiapa memilikinya maka Allah akan menghisab dirinya dengan penghisaban yang mudah dan ringan serta memasukkan dirinya ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya, iaitu engkau memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu; engkau memaafkan orang yang telah menzalimimu; dan engkau menyambungkan hubungan silaturrahim dengan orang yang memutuskannya[HR al-Hakim, al-Baihaqi dan ath-Thabrani].

Namun demikian, pada akhirnya, akhlak mulia tetaplah merupakan buah daripada ketakwaan seorang Muslim kepada Allah SWT. Orang bertakwalah—tentu dengan akhlak mulianya—yang paling mulia di hadapan Allah SWT. Dalam hal ini, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya, “Siapakah manusia yang paling mulia? Baginda menjawab, “Orang yang paling bertakwa.” [HR Ibn Abi Dunya’].

Maka dari itu, wajar jika ketakwaan menjadi pilihan orang-orang yang cerdas dan mulia. Dalam hal ini, Ibn Umar RA suatu ketika pernah mendatangi Rasulullah SAW lalu datang seseorang dari kalangan Ansar kepada baginda dan bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling cerdas dan paling mulia?” Baginda menjawab, “Dia yang paling banyak mengingati mati, paling kuat usahanya dalam mempersiapkan bekal menghadapi kematian. Itulah orang yang paling cerdas. Mereka pergi dengan membawa kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat[HR Ibn Abu Dunya’]. (Ibn Abi ad-Dunya’, Makarim al-Ikhlaq, Maktabah Syamilah).

Hanya dengan takwa itulah manusia dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang dituturkan oleh Ibn Abbas RA, “Siapa sahaja yang kebahagiaannya adalah menjadi orang yang paling mulia, hendaklah dia bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Siapa sahaja yang kebahagiaannya adalah menjadi orang yang paling kuat, hendaklah dia bertawakal kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Siapa sahaja yang kebahagiaannya adalah menjadi orang yang paling kaya, hendaklah dia lebih meyakini apa yang ada di sisi Allah SWT lebih daripada apa yang ada pada dirinya sendiri [HR al-Baihaqi].

Oleh : Ainun Dawaun Nufus (MHTI Kediri)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment