Arab Saudi Lebih Takut Kekurangan Eksport Minyak Berbanding Takutkan Allah


Arab Saudi akan mewujudkan dana pelaburan negara terbesar di dunia dan menjual saham dalam syarikat tenaga miliknya, Aramco di bawah pelan mega bagi mempelbagaikan sumber ekonomi supaya tidak bergantung kepada eksport minyak.

Pengumuman transformasi jangka masa panjang itu dinamakan Wawasan 2030 diumumkan pada penghujung bulan lepas. “Transformasi ini bukan angan-angan. Ia satu realiti yang dapat dicapai dengan izin Tuhan,” kata Timbalan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

Mohammed berkata, perancangan mega itu termasuk penjualan kurang lima peratus kepentingan dalam Aramco. Nilai semasa syarikat itu ialah RM7.9 trilion hingga RM9.9 trilion.

Arab Saudi merupakan antara negara minyak terkaya di dunia yang mengaut sebahagian besar hasil bumi itu untuk kepentingan peribadi. Di sebalik rompakan minyak yang dilakukannya yang merupakan al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum), watak Arab Saudi sering digambarkan baik dan indah oleh media massa dengan sumbangan derma jutaan dolar AS kepada umat Islam dan bukan Islam dari semasa ke semasa.

Dalam masa yang sama, Arab Saudi juga menjadi penggerak utama kerjasama ketenteraan lebih 30 negara untuk memerangi umat Islam di Yemen dan turut menyokong kejahatan Amerika ke atas umat Islam di Syria dan Iraq, kerana terlalu mentaati tuannya itu.

Kekayaan yang melimpah ruah yang Allah anugerahkan di bumi para Anbiya’ itu menjadikan penguasa Saudi tenggelam dalam kemewahan dan cukup takut jika kuasa mereka terhakis atau tercabar. Ini menjadikan mereka mementingkan duniawi dan sanggup membiarkan umat Islam diperangi dan dibunuh oleh Barat atau oleh pemerintah diktator, malah dalam banyak kes Arab Saudi turut bersekongkol dengan Barat dan pemerintah diktator tersebut memerangi umat Islam.

Dengan kuasa dan kekayaan yang ada, Arab Saudi sebenarnya boleh menyelamatkan Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Afrika dan seluruh dunia Islam dari sebarang masalah. Namun, sayangnya, pemimpin Arab Saudi lebih takut hilang kuasa dan hilang kekayaan daripada takutkan Allah. Walhal kuasa dan kekayaan yang dirampasnya dari umat Islam itu tidak akan kekal, malah akan menjadi penyesalan kepadanya di akhirat kelak, kerana tidak digunakan menurut apa yang Allah SWT amanahkan.

Wallahu a’lam.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment