Ayuh, Realisasikan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin!

Tidak dapat dinafikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang memberikan rahmat bukan sahaja kepada manusia tetapi bagi sekalian alam. Maka, tidak hairanlah suatu masa dahulu, ketika Islam diterapkan, ramai orang berbondong-bondong masuk ke dalam agama Islam. Namun, saat ini kerahmatan Islam itu tidak dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat. Hal ini kerana Islam yang diamalkan sekarang bukan dalam sistem pemerintahan miliknya, tetapi diamalkan dalam sistem Demokrasi-Kapitalisme.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya ayat 107,
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam[TMQ al-Anbiya’(21): 107].

Dalam ayat di atas, Allah SWT berfirman kepada kita bahawa Dia telah menciptakan Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin). Ertinya, Dia mengutus baginda sebagai rahmat untuk semua manusia. Barangsiapa menerima rahmat ini dan berterima kasih atas berkah ini, dia akan bahagia di dunia dan akhirat. Namun, barangsiapa menolak dan mengingkarinya, dunia dan akhirat akan terlepas daripadanya, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ibrahim,

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah (perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah) dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan? Iaitu neraka jahannam; mereka masuk ke dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman” [TMQ Ibrahim (14): 28-29].

Penerapan Islam Kaffah Mewujudkan Rahmatan lil’alamin

Dengan demikian, Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin akan terwujud dengan penerapan Syariah Islam daripada sang Pencipta, bukan yang lain. Penerapan Syariah Islam yang dimaksudkan juga haruslah secara kaffah (menyeluruh) bukan sebahagian-sebahagian. Apabila Islam dilaksanakan secara utuh tanpa dipisah-pisahkan, dari segenap segi termasuklah ibadah, sosial, ekonomi, politik, pemerintahan, kehakiman, pendidikan dan akhlak, maka kemaslahatan hakiki akan dirasai oleh setiap orang. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam kaedah ushul fiqih,

Apabila hukum syara’ dilaksanakan, maka pastinya akan ada kemaslahatan”

Imam asy-Syatibi di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu al-Muwafaqat fi Ushul al-Ahkam juz II, beliau menyatakan bahawa pada dasarnya syariah ditetapkan untuk mewujudkan kemaslahatan hamba (mashalih al-‘ibad), baik di dunia mahupun di akhirat. Kemaslahatan yang utama dinamakan mashlahah dharuriyat iaitu kemaslahatan yang diperolehi oleh manusia untuk mempertahankan hidupnya. Ini bermakna, apabila kemaslahatan tersebut tidak diperolehi, maka hidup manusia akan mengalami kerosakan. Terdapat lapan bentuk kemaslahatan dharuriyat yang akan dikecapi jika syariah diterapkan secara kaffah.

(1) Muhafadhah ‘ala al-aqidah
Memelihara akidah; maslahat ini tercapai dengan hukuman ke atas orang murtad, hukuman ke atas penyebaran pemikiran dan ideologi kufur (lihat TMQ al-Maidah:33).

(2) Muhafadhah ‘ala ad-dawlah
Memelihara negara; maslahat ini tercapai dengan hukuman ke atas pemberontak negara, iaitu diperangi dengan maksud untuk mendidik (lihat TMQ al-Hujurat: 9).

(3) Muhafadhah ‘ala al-amni
Memelihara keamanan; maslahat ini tercapai dengan hukuman ke atas perompak, perusuh dan penjenayah diterapkan iaitu dibunuh atau disalib, dipotong tangan dan kakinya dengan bertimbal balik ataupun dibuang dari negeri kediamannya (lihat TMQ al-Maidah: 33).

(4) Muhafadhah ‘ala al-maal
Memelihara harta/kekayaan; maslahat ini tercapai melalui hukuman ke atas pencuri, pelaku rasuah dan penyelewengan harta (lihat TMQ al-Maidah: 38).

(5) Muhafadhah ‘ala al nasl
Memelihara keturunan; maslahat ini tercapai dengan aturan pernikahan yang mudah, hukuman ke atas penzina (lihat TMQ an-Nur: 2), pengharaman LGBT, liwat (lihat TMQ al-A’raf: 80-81) dan sebagainya

(6) Muhafadhah ‘ala alkaramah

Memelihara kemuliaan; maslahat ini tercapai dengan adanya hukuman ke atas pendakwa zina (lihat TMQ an-Nur: 6-7). Ia juga memelihara wanita daripada dijadikan sebagai ‘aradh (harta selain mal) yang mana maruah mereka merupakan kehormatan yang wajib dipelihara bukannya sebagai barang murahan.

(7) Muhafadhah ‘ala al-’aqli
Memelihara akal; maslahat ini tercapai apabila diharamkan penghasilan, penggunaan, dan pengagihan segala sesuatu yang akan merosakkan akal seperti arak, dadah dan seumpamanya (lihat TMQ al-Maidah: 90-91) serta dijatuhkan hukuman ke atas para pelakunya.

(8) Muhafadhah ‘ala an-nafs
Memelihara nyawa; maslahat ini tercapai dengan hukuman qisas atau dikenakan diyat atas kesalahan membunuh (lihat TMQ al-Baqarah: 178).

Ulama’ ushul juga menyenaraikan kemaslahatan lain selain dharuriyah iaitu mashlahah hajiyyat (kemaslahatan yang diperolehi manusia berkenaan dengan keringanan dalam menunaikan ibadah ketika menghadapi penat, susah atau derita sebagai contoh keringanan dalam menunaikan puasa wajib atau solat fardhu), mashlahah tahsiniyyat (kemaslahatan yang diperolehi manusia apabila melaksanakan hukum-hukum berkaitan dengan adab dan akhlak yang menjadikan keperibadiannya cantik menurut pandangan Allah dan manusia) dan seterusnya mashlahah takmiliyyat (kemaslahatan yang menjadi pelengkap kepada tiga kemaslahatan yang telah dihuraikan di atas iaitu dengan perintah dan larangan Allah terhadap perkara-perkara yang menjadi cabang kepada kewajipan atau keharaman sesuatu perkara. Sebagai contoh ketika diharamkan perbuatan zina, maka apa sahaja perbuatan yang mendekati zina (tabarruj, khalwat, hijab dan lain-lain) di turunkan hukum bagi setiap satunya).

Namun demikian, perlu ditekankan bahawa maslahat bukanlah ‘illat (sebab) atau al-ba’its (motif) penetapan syariat, melainkan ia merupakan hikmah, natijah, ghayah (tujuan) atau ‘aqibah (akibat) daripada penerapan syariat.

Khilafah Islamiyyah Mewujudkan Penerapan Islam Kaffah

Kesemua kemaslahatan yang dinyatakan di atas hanya akan diperoleh apabila wujudnya sebuah negara Islam yang menerapkan dan melaksanakan Syariah Islam secara kaffah (menyeluruh) bukan secara tadarruj (berperingkat-peringkat). Tanpa Daulah Khilafah yang secara formal dapat menerapkan Syariah Islam, deen-ul-Islam yang merupakan agama rahmatan lil ‘alamin ini tidak akan dapat terwujud. Penerapan Syariah secara kaffah oleh Khilafah akan mewujudkan kebaikan bagi semua, baik Muslim mahupun non-Muslim selain daripada membawa rahmat, mewujudkan kesejahteraan, keamanan, ketenteraman, dan keharmonian kepada sekalian alam.

Selain itu, melalui penerapan Islam kaffah dalam kehidupan manusia, pelbagai masalah yang wujud saat ini dapat diselesaikan. Sesiapapun yang mengehendaki dan merindukan kehidupan yang diatur dengan peraturan Islam kaffah, maka ketahuilah keberadaan Negara Khilafah Islamiyyah tidak boleh ditangguh lagi kerana Khilafahlah satu-satunya institusi yang mampu menerapkan Syariah Islam secara menyeluruh. Marilah kita berjuang dengan thariqah (jalan) perjuangan pemikiran dan politik yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah SAW dan bukan dengan cara demokrasi mahupun revolusi sosial yang tidak ada tempatnya dalam Islam. Semoga perjuangan dan usaha kita yang benar akan dibantu dan diberkati Allah SWT hendaknya.

Khatimah

Oleh itu, siapapun kita samada pegawai kerajaan atau swasta, polis, tentera, peniaga, intelektual, buruh, mahasiswa, pelajar atau rakyat biasa harus bersama-sama berjuang menegakkan Syariah Islam dan Khilafah ar-Rasyidah. Kita semua harus bersungguh-sungguh dan istiqamah memperjuangkan perkara yang sangat penting ini. Tegaknya Khilafah ar-Rasyidah akan menjamin penerapan syariah Islam yang akan menyebarkan rahmatan lil ‘alamin serta akan mewujudkan ‘izzul Islam wal Muslimin (kemuliaan Islam dan umatnya).

WalLâh a’lam bi ash-shawâb.


Oleh : Ummu Zahrah (Aktivis MHTM)




SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment