Dua Orang Syabab Hizbut Tahrir Ditahan Reman kerana Edar Risalah Dakwah

Kenyataan Media

Dua orang syabab Hizbut Tahrir ditahan reman kerana edar risalah dakwah

Pada 20/05/2016 dua orang syabab Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ditangkap oleh sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyebarkan risalah mingguan, Sautun Nahdhah. Ustaz Darukhutni Zainal Abidin, 49, dan Mohamad Alhafiq Mohamad Khoiruddin, 25, ditangkap di luar Masjid Nurul Iman, Serendah kira-kira jam 2.05 petang dan terus dibawa ke Balai Polis Serendah untuk soal siasat. Mereka kemudiannya ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Selangor sebelum dibawa ke mahkamah keesokan harinya dan di kenakan tahanan reman selama empat hari. Cubaan delegasi HTM yang diketuai oleh Yusuf Muhammad pada hari Sabtu (21/05/2016) untuk bertemu mereka di lokap IPD berkenaan gagal atas alasan hari cuti am dan ketiadaan pegawai penyiasat (IO) serta Ketua Polis Daerah.


HTM dengan ini membantah sekeras-kerasnya penangkapan ini dan sungguh kesal dengan tindakan PDRM yang lebih suka menyibukkan diri untuk menangkap para pendakwah yang ikhlas, berbanding menangkap penjenayah dan pelaku maksiat. Berapa banyak kes-kes jenayah yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan oleh PDRM seperti kes bunuh, culik, samun, curi, dadah, mat rempit, pelacuran, rasuah, penyelewengan dan banyak lagi, dari peringkat jalanan hingga ke peringkat kepimpinan negara, yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Berapa banyak majlis maksiat yang bukan sahaja tidak diambil tindakan oleh PDRM, malah dikawal rapi tatkala ia diadakan. Itu belum masuk lagi industri judi, kilang-kilang arak, kelab-kelab hiburan dan banyak lagi keharaman lainnya yang beroperasi dengan “halal” dengan diberi lesen. Semua jenayah dan maksiat ini tidak pernah ditangani dengan serius dan tuntas oleh PDRM, sebaliknya PDRM sibuk memantau dan menangkap anggota Hizbut Tahrir yang hakikatnya sedang berusaha untuk menghapuskan segala jenayah dan kemaksiatan tersebut melalui penerapan syariah di bawah Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Wahai PDRM! Ketahuilah bahawa penangkapan syabab kami sama sekali tidak akan melemahkan usaha dan semangat kami untuk terus berjuang menghapuskan kemungkaran, sistem dan undang-undang kufur yang ada bagi menggantikannya dengan penegakan syariah dan Khilafah. Malah ia semakin menguatkan lagi iltizam dan keimanan kami kepada Allah (swt) bahawa kemenangan Islam sebagaimana yang dijanjikanNya sudah semakin dekat.

Wahai PDRM! Takutlah anda kepada Allah (swt) dengan apa yang anda lakukan! Sesungguhnya anda telah menangkap dan menahan para pendakwah di jalan Allah dan apa yang anda lakukan hanyalah mengundang murka Allah (swt), mengundang laknat penduduk langit dan bumi! Bebaskan syabab kami dari sebarang dakwaan dan mohon ampunlah kepada Allah (swt) dari kesalahan anda yang melanggar hukumNya dengan menahan para pendakwah yang ikhlas daripada Hizbut Tahrir yang sedang berjuang untuk menegakkan agamaNya, demi kebaikan anda juga!

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia

Isnin, 16 Sya’ban 1437 H
23/05/2016 M
Ruj: HTM/PR/04/16

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment