Kewajiban Pemisahan Lelaki Dan Wanita Dalam Kehidupan Islam


Dalam kehidupan Islam, iaitu kehidupan kaum Muslim dalam segala keadaan mereka secara umum, telah ditetapkan di dalam sejumlah nash syariah, baik yang tercantum dalam al-Quran mahupun as-Sunnah bahawa kehidupan kaum lelaki terpisah daripada kaum wanita. Ketentuan ini berlaku dalam kehidupan khusus seperti di rumah-rumah dan yang seumpamanya, ataupun dalam kehidupan umum, seperti di pasar-pasar, di jalan-jalan umum, dan yang seumpamanya. Ketentuan tersebut merupakan ketetapan berdasarkan sekumpulan hukum Islam (majmu’ al-ahkam) yang berkaitan dengan lelaki, wanita, atau kedua-duanya; juga diambil daripada seruan al-Quran kepada kaum wanita dalam kedudukannya sebagai wanita dan kepada kaum lelaki dalam kedudukannya sebagai lelaki. Dalam salah satu potongan ayat-Nya, Allah SWT berfirman,

“…lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar…” [TMQ al-Ahzâb (33): 35].

Di samping itu, pemisahan lelaki dan wanita ini juga telah diriwayatkan (marwiy) dalam bentuk pengamalan dan dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat oleh masyarakat Islam pada masa Rasulullah SAW dan pada seluruh kurun sejarah Islam.

Atas dasar ini, pemisahan kaum lelaki daripada kaum wanita dalam kehidupan Islam adalah wajib. Pemisahan keduanya dalam kehidupan khusus adalah pemisahan yang menyeluruh, kecuali dalam perkara-perkara yang dibolehkan oleh syariah. Adapun dalam kehidupan umum, hukum asalnya adalah terpisah dan tidak boleh ada interaksi antara lelaki dan wanita kecuali pada perkara-perkara yang telah dibolehkan syariah, di mana syariah telah membolehkan, atau mewajibkan, atau menyunnahkan suatu aktiviti untuk wanita; serta pelaksanannya menuntut adanya interaksi dengan lelaki. Baik interaksi ini terjadi dengan tetap adanya pemisahan, seperti di dalam masjid, atau dengan adanya ikhtilâth (campur-baur), sebagaimana dalam aktiviti ibadah haji atau jual-beli.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment