Laporan Persidangan Meja Bulat Celik Syariah Cinta Khilafah


Kuala Lumpur, 7hb Mei 2016 – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan kerjasama Khilafah Center telah berjaya menganjurkan Persidangan Meja Bulat di Hotel Crystal Crown, Kuala Lumpur dengan tema “Mencabar Mitos-mitos Palsu terhadap Syariah”. Persidangan ini merupakan kemuncak Kempen Celik Syariah Cinta Khilafah melalui siri Roadshow dan Open Circle yang telah selesai dilancarkan di seluruh Malaysia bermula 1 Mac yang lalu. Pelbagai latarbelakang tokoh-tokoh pemikir dan pengamat politik wanita telah dipertemukan dalam persidangan ini iaitu parti politik, ahli akademik, golongan professional, badan bukan kerajaan, wakil jawatankuasa masjid dan wakil media dalam suasana perbincangan yang mengujakan. 

Objektif utama persidangan ini adalah untuk membetulkan kesalahfahaman di kalangan masyarakat tentang syariah dan khilafah dan mencabar mitos-mitos yang dilontarkan oleh golongan feminisme dan liberalisme terhadap syariah Islam.

Majlis ini bersiaran secara langsung dengan dimulai bacaan ayat suci al Quran dari surah An Nisa ayat 26 hingga 33 seterusnya diikuti dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Persidangan Meja Bulat CSCK 2016, Dr. Aslam Diyana Selamat (AJK Pusat MHTM). Melalui kata ucapannya, beliau menekankan bahawa para tokoh dan intelektual memiliki posisi yang strategik dalam melakukan perubahan sosial dan politik di tengah masyarakat kerana mereka mempunyai kebolehan penginderaan dan pemahaman yang tinggi terhadap permasalahan wanita yang sedang berlaku.

Terdapat 4 sidang diskusi yang dibentangkan oleh ahli panel yang berbeza yang disusuli dengan sesi diskusi interaktif dalam setiap sidang. Diskusi ini dimulakan dengan paparan video bersiri yang menayangkan konsep feminisme dan kesetaraan gender yang diperkenalkan oleh orientalis Barat oleh Dr Izzah Ibrahim selaku moderator.

Diskusi pertama dibentangkan melalui teks ucapan bertajuk “Di Sebalik Serangan Terhadap Wanita dan Syariah” oleh Puan Syifa Buhari (Ahli Lajnah Faaliyat MHTM). Antara isi ucapannya dijelaskan bahawa sebahagian besar pemerintah umat Islam telah mengambil gagasan feminisme yang mana hakikatnya merupakan pengukuhan politik oleh kuasa besar Amerika Syarikat sebagai penyelesaian dalam memperjuangkan nasib dan hak wanita akibat penindasan. Cabaran sebenar yang sedang dihadapi oleh umat Islam adalah golongan feminis ini terus diberi ruang bebas untuk menyuarakan penentangan terhadap syariat Islam yang kononnya menjadi punca permasalahan dengan dokongan besar oleh pihak massa dan media cetak serta kekebalan daripada dikenakan tindakan oleh pihak kerajaan.

Dalam sesi interaktif, Puan Norwani (Ketua Wanita Negeri Sembilan, Parti Amanah Negara) telah diberi kesempatan menyuarakan pandangan akan pentingnya wanita itu yang membimbing wanita-wanita lain melalui posisi di tempat kerja masing-masing bagi memasukkan pemahaman Islam serta memperjuangkan hak-hak wanita.

Pandangan ini telah diulas lanjut oleh Dr Asma@Reha Mustafa (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM) bahawa perubahan bukan semata-mata dari pemimpin negara. Malah, potensi pembangunan negara ini boleh juga diperolehi dari kedua-dua individu lelaki dan wanita saling memerlukan dan mempunyai hak yang sama termasuklah keterlibatan dalam politik. Bahkan dengan jumlah wanita yang hampir sama dengan lelaki dalam negara, keterlibatan ini memberi pengaruh yang signifikan terhadap perubahan senario politik agar fungsi asal wanita dalam Islam dapat dioptimumkan tanpa sebarang benturan peranan dalam kehidupan.

Setelah itu, diteruskan pula dengan diskusi kedua yang bertajuk “Wanita dan Peradaban” oleh Puan Hajjah Ummu Maryam Abdul Basir (Ketua MHTM Cawangan Shah Alam). Dalam teks pembentangannya dinyatakan bahawa ketidakstabilan ekonomi telah menuntut wanita untuk keluar bekerja bagi menampung keperluan hidup seisi keluarga akibat sistem ekonomi kapitalisme yang tidak mengatur agihan pendapatan untuk keperluan seluruh penduduk per individu tetapi secara kolektif. Walhal dalam peradaban Islam, kemiskinan kolektif ini tidak pernah dijadikan sebab untuk wanita dieksploitasi dan dikerahkan tenaga untuk keluar bekerja.

Dr Ummu Sumayyah Ammar selaku Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah mencabar dan menjawab tuduhan keji gerakan feminis liberal dalam diskusi ketiga melalui 4 poin utama yang dijaja oleh feminis iaitu kedudukan wanita dan lelaki adalah sama, ketidaksetaraan gender merugikan wanita, liberalisasi wanita akan memajukan wanita dan syariah islam merendahkan martabat wanita. Walhal kesemua ini hakikatnya adalah punca sebenar kehancuran wanita, berlakunya konflik peranan antara gender dan penyebab keruntuhan institusi keluarga melalui data yang sedia ada.

Puan Rahmah (AJK Pusat MHTM) telah mengukuhkan pandangan ini berdasarkan penelitian kajiselidik oleh Lembaga “General Solution” pada 1972-2000 di US bahawa kehidupan mereka yang memperjuangkan feminisme sebenarnya lebih suram. Ini kerana mereka tertekan dan terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu melakukan kerja domestik dan berjuang untuk menyamaratakan lelaki dan wanita.

Diskusi yang terakhir telah disampaikan pula oleh Ustazah Hajjah Ummu Hajar Abdul Rahman (ahli Lajnah Mubalighah MHTM) dengan tajuk “Mengakhiri Serangan dengan Syariah dan Khilafah”. Beliau menyatakan bahawa dalam merealisasikan peranan sebenar wanita, perlunya anjakan paradigma dengan mengubah cara pandang yang benar bagi wanita. Malah gagasan idea feminisme yang bersifat global ini perlu ditangani melalui kesatuan gerakan yang mendunia dan kesedaran ini perlu diwujudkan sesama para tokoh dan pemimpin gerakan Islam bagi mencipta lebih banyak kesedaran dan pemahaman dalam masyarakat secara menyeluruh.

Dr Harlina (Pensyarah UIAM) turut mengulas hal ini dan menyatakan bahawa peranan masing-masing perlu disatukan iaitu peringkat individu, masyarakat dan negara. Oleh kerana anak-anak muda mudah terpengaruh dengan budaya buruk di persekitaran, peranan membudayakan Islam dalam rumahtangga turut penting. Jadi setiap pihak mesti menyahut seruan untuk mengubah pemikiran umat dan ia seharusnya bermula dari diri sendiri.

Persidangan para tokoh dan mubalighah wanita telah digulung oleh Ketua MHTM yang menyampaikan bahawa para intelektual dan ilmuan yang memiliki pengaruh dalam masyrakat bahawa kehidupan yang ada bukan hanya untuk dinikmati sendiri dan keluarga tetapi juga oleh seluruh umat Islam. Sesungguhnya perjuangan penegakan khilafah bukanlah semata-mata milik Hizbut Tahrir tetapi semua individu Muslim.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment