Makna “Antum A’lamu Bi Amri Dunyakum”

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ مَرَّ بِقَوْمٍ يُلَقِّحُونَ فَقَالَ «لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ». قَالَ فَخَرَجَ شِيصًا فَمَرَّ بِهِمْ فَقَالَ «مَا لِنَخْلِكُمْ». قَالُوا قُلْتَ كَذَا وَكَذَا قَالَ «أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ»

Dari Anas RA. dituturkan bahawa Nabi SAW pernah melalui satu kaum yang sedang melakukan pendebungaan kurma. Baginda lalu bersabda, “Andai kamu tidak melakukan pendebungaan nescaya kurma itu menjadi baik.” Anas berkata, pohon kurma itu ternyata menghasilkan kurma yang tidak elok. Lalu Nabi SAW suatu ketika melalui lagi mereka dan bertanya, “Apa yang terjadi pada kurma kamu?” Mereka berkata, “Anda pernah berkata demikian dan demikian.” Baginda pun bersabda, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu[HR Muslim].

Hadis ini digunakan oleh sebahagian orang sebagai dalil untuk menolak penerapan syariat secara formal untuk mengatur kehidupan masyarakat. Mereka memberi alasan, dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa kita lebih tahu tentang urusan dunia kita. Menurut mereka, bagaimana dunia ini hendak diatur terserah kepada kita kerana kita lebih tahu tentang urusan dunia kita. Benarkah demikian?

Makna Sebenarnya

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Muslim sebagai hadis ketiga pada bab “Wujûb Imtitsâl Mâ Qâlahu Syar’an dûna Mâ Dzakarahu min Ma’âyisyi ad-Dunyâ ‘alâ Sabîli ar-Ra’yi”. Dua hadis di atasnya yang juga menceritakan masalah yang sama kemudian menegaskan kewajipan kita untuk mengambil dan menjalankan semua hukum syara’ yang baginda bawa.

Pertama: Hadis daripada penuturan Musa bin Thalhah daripada bapanya yang berkata,

مَرَرْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِقَوْمٍ عَلَى رُءُوسِ النَّخْلِ فَقَالَ « مَا يَصْنَعُ هَؤُلاَءِ ». فَقَالُوا يُلَقِّحُونَهُ يَجْعَلُونَ الذَّكَرَ فِى الأُنْثَى فَيَلْقَحُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- « مَا أَظُنُّ يُغْنِى ذَلِكَ شَيْئًا ». قَالَ فَأُخْبِرُوا بِذَلِكَ فَتَرَكُوهُ فَأُخْبِرَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِذَلِكَ فَقَالَ « إِنْ كَانَ يَنْفَعُهُمْ ذَلِكَ فَلْيَصْنَعُوهُ فَإِنِّى إِنَّمَا ظَنَنْتُ ظَنًّا فَلاَ تُؤَاخِذُونِى بِالظَّنِّ وَلَكِنْ إِذَا حَدَّثْتُكُمْ عَنِ اللَّهِ شَيْئًا فَخُذُوا بِهِ فَإِنِّى لَنْ أَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ».

Aku pernah bersama Rasulullah SAW melalui satu kaum yang sedang berada di atas pohon kurma. Lalu baginda bertanya, “Apa yang mereka lakukan?” Mereka berkata, “Mereka sedang melakukan pendebungaan kurma (iaitu) menjadikan bunga jantan di atas bunga betina sehingga terdebunga.” Rasulullah SAW lalu bersabda, “Saya menduga itu tidak berguna sedikit pun.” Thalhah berkata: Lalu mereka diberitahu hal itu. Kemudian mereka meninggalkan (pendebungaan itu). Seterusnya Rasulullah SAW diberitahu hal itu. Lalu baginda bersabda, “Jika hal itu berguna bagi mereka maka hendaklah mereka lakukan, sebab aku tidak lain hanya menduga. Jadi jangan kalian menyalahkan aku kerana dugaan itu. Namun, jika aku berbicara kepada kalian sesuatu daripada Allah maka ambillah kerana aku tidak akan pernah mendustai Allah ‘Azza wa Jalla” [HR Muslim].

Kedua: Hadis daripada penuturan Rafi’ bin Khadij yang berkata,

قَدِمَ نَبِىُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَهُمْ يَأْبُرُونَ النَّخْلَ يَقُولُونَ يُلَقِّحُونَ النَّخْلَ فَقَالَ «مَا تَصْنَعُون ». قَالُوا كُنَّا نَصْنَعُهُ قَالَ «لَعَلَّكُمْ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا كَانَ خَيْرًا». فَتَرَكُوهُ فَنَفَضَتْ أَوْ فَنَقَصَتْ – قَالَ – فَذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ «إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ مِنْ رَأْىٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ»

Nabiyullah SAW datang ke Madinah, sementara mereka (penduduk Madinah) sedang melakukan pendebungaan kurma. Lalu baginda bertanya, “Apa yang kamu lakukan?” Mereka berkata, “Kami sedang melakukan pendebungaan kurma.” Baginda bersabda, “Andai tidak kamu lakukan, itu mungkin lebih baik.” Lalu mereka meninggalkan aktiviti pendebungaan itu. Kemudian ternyata pohon kurma itu berbuah buruk atau berkurang buahnya. Rafi’ bin Khadij berkata: Lalu mereka mengkhabarkan hal itu kepada baginda. Baginda bersabda, “Aku ini seorang manusia. Jika aku memerintahkan kalian dengan sesuatu daripada agama kalian maka ambillah. Jika aku memerintahkan kalian dengan sesuatu berupa pendapat (ra’yu) maka aku hanyalah seorang manusia” [HR Muslim].

Hadis kedua ini menjelaskan hadis di atas. Kedua hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa masalah pendebungaan kurma itu sebahagian daripada urusan dunia. Dalam hal perkara sejenis inilah, sabda Rasulullah SAW, “antum a’lamu bi amri dunyakum (kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu)” berlaku.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam syarah Sahih Muslim, para ulama berkata, “Sabda Rasulullah SAW min ra’y[in] (berupa pendapat) ertinya dalam perkara dunia dan ma’âyisy (mata pencarian/penghidupan), bukan sebagai tasyri’(hukum). Adapun apa yang baginda sabdakan dengan ijtihad baginda dan yang baginda pandang sebagai syariat itu wajib diamalkan. Pendebungaan bukanlah termasuk daripada jenis ini, tetapi termasuk jenis yang disebutkan sebelumnya.”

Walaupun ungkapan sabda Rasulullah SAW “antum a’lamu bi amri dunyakum” itu bersifat umum, sesuai ketentuan ushul, ungkapan umum itu jika datang sebagai jawapan atas suatu pertanyaan atau situasi, maka ia bersifat umum pada jenis masalah atau situasi itu. Naratif hadis-hadis tersebut jelas mengenai pendebungaan kurma. Jadi, sabda Rasulullah SAW “antum a’lamu bi amri dunyakum” itu berlaku untuk perkara-perkara seperti pendebungaan kurma, dan itulah yang disebut dengan “amru dunya (perkara dunia)”.

Islam tidak datang mengatur amru dunya, iaitu masalah teknikal dan seumpamanya itu secara terperinci. Islam hanya mengatur perkara itu melalui hukum-hukum umum. Perincian teknikal dan perkara eksperimen itu boleh dipilih sesuai hasil eksperimen, pengalaman, menurut situasi dan keadaan (seperti pola pengairan, pusingan tanaman, teknik pengeluaran, cara pembuatan, dan sebagainya) selagi masih didalam batas-batas hukum syara’.

Adapun dalam perkara-perkara agama, termasuk di dalamnya perkara tasyri’, wajib hanya mengambil dan menerapkan apa yang dibawa oleh Rasul SAW, iaitu syariat Islam sahaja.

WalLâh a’lam bi ash-shawâb. 

Oleh: Yahya Abdurrahman (Yoyok Rudianto)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment