Serba Serbi Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan ke lapan dalam kalender Hijriyah. Nama Syaaban diambil daripada kata ‘sya'bun’ yang bermakna golongan. Penamaan ini dikaitkan dengan kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyah yang suka berkelompok untuk berperang. Ada pula yang menamakan Syaaban kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut yatasya'abun (berpencar) untuk mencari sumber air.

Bulan Syaaban berada antara dua bulan penting, iaitu Rejab dan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa Syaaban adalah bulan yang sering dilupakan oleh umat berbanding dua bulan yang mengapitnya. Padahal, jika seorang Muslim bersungguh-sungguh beribadah pada bulan Syaaban, ia akan menuai kemenangan ketika Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda, "Bulan Syaaban adalah bulan di mana manusia mulai lalai, iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan dinaikkannya berbagai amalan kepada Allah, Rabb semesta alam. Oleh kerana itu, aku amatlah suka untuk berpuasa ketika amalanku dinaikkan" [HR an-Nasa'i].

Kesungguhan beribadah pada bulan Syaaban juga diamalkan oleh Rasulullah SAW. Aisyah Radhiyallahu anha pernah mengatakan, “Belum pernah Nabi berpuasa satu bulan yang lebih banyak daripada puasa bulan Syaaban. Kadang-kadang, baginda hampir berpuasa sebulan penuh ketika dalam bulan Syaaban” [HR Bukhari dan Muslim].

Beberapa ulama’ memberikan makna kepada banyaknya Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Syaaban sebagai persiapan diri menyambut Ramadhan. Bulan Syaaban adalah bulan riyadhah (latihan). Bulan peningkatan keupayaan diri. Kualiti amalan pada bulan Ramadhan boleh jadi ditentukan bagaimana persiapan seseorang pada bulan Syaaban.

Hendaknya kaum Muslim tidak melalaikan bulan ini walaupun sedang membuat persiapan menyambut Ramadhan. Antara amalan yang dianjurkan adalah memperbanyakkan puasa. Namun, bukan bererti amalan sunnah lain tidak ditingkatkan. Jika ketika Ramadhan semua amal baik dilipat gandakan ganjarannya, di bulan Syaaban pula dengan membiasakan semua amalan sunnah adalah suatu bentuk pelaburan.

Allah SWT juga memberikan keistimewaan kepada bulan Syaaban. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sesunggunya Allah melihat pada malam pertengahan Sya'ban. Maka, Dia akan mengampuni semua makhluknya, kecuali orang-orang musyrik dan orang-orang yang bermusuhan” [HR Ibnu Majah dan at-Thabrani].

Memang terjadi pertembungan pendapat tentang hadis Nisyfu Syaaban atau pertengahan bulan Syaaban. Ada yang mensahihkannya dan ada juga yang mendhaifkannya. Namun, anjuran memperbanyakkan amalan, terutamanya berpuasa dalam bulan Syaaban, menunjukkan aktiviti amalan soleh akan mendapat balasan besar pada bulan ini. Kerana itu, mengisi malam Nisyfu Syaaban dengan pelbagai amalan soleh tidak ada salahnya.

Hadis-hadis di atas menerangkan bahawa Syaaban memiliki nilai dan hikmah tersendiri. Dalam bulan ini, terdapat keutamaan serta peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam. Salah satu peristiwa yang terpenting adalah dipindahkannya kiblat solat dari Baitul Maqdis atau Masjidil Aqsa ke arah Kaabah. Rasulullah SAW sangat menantikan peristiwa tersebut. Setiap hari Rasulullah SAW selalu memandang ke langit menanti wahyu sehingga Allah SWT mewujudkan harapan dan merealisasikan permintaannya. Ketika itu, turunlah firman Allah SWT,

"Sungguh Kami (sering) melihat wajahmu menengadah ke langit. Maka, niscaya Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu suka. Palingkanlah muka ke arah Masjidil Haram. Dan, di mana saja kamu berada, palingkanlah wajahmu ke arahnya" [TMQ al-Baqarah (2): 144].



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment