Bagaimana Seharusnya Muslimah Menjalani Ramadhan?

Islam telah memperincikan hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan yang sebahagiannya dalam bentuk hukum-hukum yang dikhususkan untuk wanita. Semua itu wajib dilakukan sebagai satu bentuk ketundukan manusia terhadap peraturan Allah SWT. Sikap pasrah tanpa mencari-cari hujah berdasarkan akal perlu menjadi asas dalam setiap pelaksanaan peraturan ibadah.

Salah satu syarat amal ibadah diterima adalah kesesuaiannya dengan bimbingan syariah. Maka, memahami hukum-hukum tersebut merupakan fardhu ‘ain bagi setiap Muslimah.

Hukum-Hukum Penting bagi Muslimah Berkaitan Ramadhan

1. Kewajipan berpuasa.
Sebagaimana wajib bagi lelaki Muslim, puasa Ramadhan juga menjadi kewajipan bagi Muslimah (TMQ al Baqarah [2]: 183). Puasa wajib ditunaikan jika seorang Muslimah yang berakal telah baligh; yang ditandai dengan datangnya haid, atau tumbuhnya bulu lebat pada kemaluan atau jika usianya sudah melepasi 15 tahun.

Walaubagaimanapun, Muslimah yang diwajibkan berpuasa hanyalah mereka yang sihat (tidak sakit) dan mukim (bukan dalam perjalanan). Iaitu, jika mereka sakit atau safar (dalam perjalanan), mereka tidak wajib berpuasa Ramadhan. Namun mereka wajib qadha (menggantikan) puasa itu pada hari yang lain di luar bulan Ramadhan (TMQS al-Baqarah [2]: 185).

Bagi mereka yang sudah tua atau yang sakit tenat dan tiada harapan sembuh sehingga tidak ada peluang baginya untuk menggantikan puasa pada hari yang lain, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa). Namun, wajib baginya untuk membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin setiap hari yang dia telah tinggalkan (TMQ al-Baqarah [2]: 184). Fidyah yang dibayar adalah sebanyak 1 mud perhari. Satu mud pula bersamaan dengan 544 gram beras.

2. Puasa bagi Muslimah yang haid dan nifas.
Dikecualikan daripada kewajipan berpuasa iaitu Muslimah yang sedang haid dan nifas. Malah wajib bagi kedua-dua golongan ini untuk meninggalkan puasa atau membatalkan puasanya jika datang haid atau nifas pada siang Ramadhan. Namun demikian, dia diwajibkan menggantikan puasanya (qadha) pada hari yang lain diluar bulan Ramadhan.

Haid dan nifas adalah darah yang keluar daripada kemaluan wanita. Perbezaannya ialah, haid keluar secara rutin setiap bulan dengan kadar yang berbeza. Adapun nifas adalah darah yang keluar semasa bersalin (dengan had minimum janin sudah mula terbentuk anggota badan). Kedua-dua haid mahupun nifas sama-sama menjadi penghalang bagi wanita untuk melakukan puasa. Oleh itu, ketika kedua-dua penghalang ini terdapat pada diri wanita, dengan sendirinya wanita tersebut tidak boleh melaksanakan puasa.

Hal ini berdasarkan pada hadis Aisyah RA yang menyatakan, ”Kami sedang haid di sisi Nabi SAW. Kemudian Baginda memerintahkan kami untuk menggantikan puasa” [HR Ibn Majah].

Oleh itu, selama wanita yang haid dan nifas masih mengeluarkan darah, dia tidak boleh berpuasa. Namun, jika sebelum fajar darah haid dan nifasnya berhenti, dia wajib berpuasa pada hari itu walaupun ketika fajar dia belum sempat bersuci dan mandi. Sebab, yang menjadi penghalangnya adalah haid dan nifasnya, bukan sudah bersuci atau belum. Dalam konteks sah dan tidaknya puasa wanita yang belum bersuci ketika fajar, sementara darah haid dan nifasnya sudah berhenti sebelum fajar, memang terdapat perselisihan. Namun jumhur ulama menyatakan sah.

Jika haid berhenti pada pertengahan hari Ramadhan, dia perlu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sejak masa haid berhenti sehingga matahari terbenam. Namun, dia tetap wajib mengqadha puasanya untuk hari tersebut.

3. Puasa bagi Muslimah yang hamil dan menyusukan anak.
Dalam hadis Anas bin Malik RA. dinyatakan, “Rasulullah SAW memberikan keringanan kepada wanita hamil yang bimbang keselamatan dirinya untuk membatalkan puasanya, juga wanita yang menyusukan anak yang bimbang tentang anaknya (boleh membatalkan puasanya)” [HR Ibn Majah].

Walaupun Muslimah yang hamil dan menyusukan anak diberi keringanan untuk tidak berpuasa, terdapat perbezaan pendapat tentang kesan daripada tidak berpuasanya, iaitu adakah wajib menggantikannya pada hari yang lain ataukah cukup hanya dengan membayar fidyah. Pendapat yang kuat adalah yang menyatakan, bahawa wanita mengandung dan menyusukan anak sama-sama boleh membatalkan puasanya, dengan berkewajipan menggantikan puasanya (qadha) tanpa perlu membayar fidyah, sama ada kerana bimbang tentang kandungannya atau bayinya mahupun tidak. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi.

4. Puasa bagi Mustahadhah.
Mustahadhah adalah wanita yang mengeluarkan darah daripada farajnya, tetapi bukan haid ataupun nifas. Istihadhah atau keluarnya darah penyakit ini tidak menghalang wanita daripada kewajipan puasa Ramadhan. Oleh kerana itu, dia perlu berniat pada malam harinya untuk menjalankan kewajipan berpuasa.

5. Membayar hutang puasa (qadha).
Beberapa keadaan pada wanita memerlukan dia melakukan qadha puasa, iaitu melaksanakan puasa pada hari yang lain di luar bulan Ramadhan. Syariah memberikan ketentuan bahawa qadha puasa sah dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli tanpa mengutamakan salah satu daripadanya. Meng-qadha puasa Ramadhan juga sah dilakukan secara langsung setelah hari raya Idul Fitri (bermula pada 2 Syawal). Qadha puasa juga sah dilakukan walaupun dilewatkan sehingga bulan Syaaban, beberapa waktu sebelum kedatangan Ramadhan yang berikutnya.

Jika seseorang tanpa uzur melalaikan qadha puasa sehingga melepasi Ramadhan berikutnya, maka dia dianggap sudah melalaikan kewajipan (al-mufarrith). Para ulama berbeza pendapat berkenaan kewajipan membayar fidyah (sebagai kafarat) ke atas puasa yang ditinggalkannya atau tidak. Namun, pendapat yang paling kuat adalah yang disampaikan oleh ulama Hanafiyah bahawa dia hanya wajib melakukan qadha puasa sahaja tanpa perlu membayar fidyah.

Adapun bagi orang yang lalai mengqadha puasa sehingga beberapa Ramadhan maka kewajipan qadhanya tetap berlaku. Ia tidak cukup hanya mengqadha Ramadhan yang terakhir sahaja. Ini kerana qadha puasa Ramadhan tidak gugur dengan berlalunya masa lebih dari satu tahun. Dengan melalaikan qadha puasa maka dia telah berdosa, dan dia tetap terkena beban untuk mengqadha seluruh puasa yang pernah dia tinggalkan.

6. Perkara-perkara yang dibenarkan bagi Muslimah semasa berpuasa.
• Merasa makanan.
Dibenarkan bagi Muslimah yang berpuasa untuk merasa makanan melalui hujung lidahnya untuk mengetahui rasa yang akan dihidangkan atau untuk mengukur suhu makanan yang hendak disuapkan kepada bayinya, asalkan makanan tersebut tidak masuk ke dalam tekaknya (ditelan).

• Mencium atau dicium oleh suami.
Muslimah yang sedang berpuasa boleh mencium atau dicium oleh suaminya, asalkan keduanya yakin dapat menguasai diri untuk tidak sampai melakukan jima’ (hubungan seks). Namun demikian, jika dengan terjadinya ciuman hingga mengeluarkan mani, bermakna dia telah berbuka (batal puasanya). Jika ciuman itu hanya menyebabkan keluarnya mazi, tidaklah membatalkan puasanya.

Jika seorang Muslimah yang sedang berpuasa Ramadhan disetubuhi oleh suaminya dengan paksaan, maka dia tidak wajib membayar kafarah (denda). Yang terkena kafarah adalah Muslimah yang sengaja hendak (berkeinginan) untuk bersetubuh dengan suaminya pada siang hari Ramadhan. Kafarahnya adalah memerdekakan seorang hamba. Jika tidak boleh, berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin.

• Memakai celak, menitiskan ubat mata dan suntikan.
Semua perkara ini boleh dan tidak membatalkan puasa kerana tidak termasuk dalam aktiviti memasukkan makanan (sesuatu) ke dalam rongga mulut dan kerongkong.

7. Menjalankan qiyamul-lail (solat terawih) di masjid.
Muslimah juga disyariatkan untuk melaksanakan solat terawih berjemaah di masjid. Walaubagaimanapun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Muslimah ketika hendak menjalankan ibadah ini di masjid. Antaranya adalah selamat daripada fitnah, menggunakan pakaian syarie, tidak bertabarruj, tidak memakai wangi-wangian, dan tidak meninggikan suaranya.

Sebagaimana syarat dalam solat berjemaah di masjid, saf atau barisan Muslimah perlu terpisah di belakang lelaki, malah disunnahkan supaya wanita berada jauh daripada barisan lelaki dengan cara memulakan saf mereka daripada belakang. Adapun jika solat telah selesai, kaum Muslimah dianjurkan untuk keluar dengan segera daripada masjid dan tidak menunggu kaum lelaki supaya tidak bercampur-baur.

8. I’tikaf Muslimah.
I’tikaf merupakan ibadat yang disunnahkan dalam bulan Ramadhan, kepada lelaki mahupun wanita. Walaubagaimanapun, kaum Muslimah yang hendak beri’ktikaf di masjid perlu mematuhi hukum syarak seperti perlu mendapatkan izin daripada suami atau walinya, selamat daripada fitnah, menjaga peraturan pergaulan dengan lawan jenis dengan tidak berkhalwat juga tidak bercampur-baur.

9. Menghadiri Idul Fitri.
Nabi SAW memerintahkan kaum Muslimah untuk keluar melaksanakan solat Hari Raya, termasuk gadis-gadis, wanita yang dipingit dan yang sedang haid. Namun, Muslimah yang sedang haid perlu menjauhkan diri daripada tempat solat. Bahkan Muslimah yang tidak memiliki jilbab tetap perlu keluar dengan dipinjamkan jilbab oleh Muslimah yang lain. Hal ini telah disebutkan dalam hadis oleh Ummu ‘Athiyyah RA (HR. Bukhari dan Muslim).

Khatimah

Demikianlah beberapa hukum penting bagi wanita yang berkaitan dengan Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan terbaik daripada yang pernah kita lalui, buah pemahaman syarie yang semakin menyempurnakan kualiti amaliyah ibadat kita. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan Ramadhan kali ini sebagai jalan bagi datangnya keampunan dan pertolongan-Nya. Amîn ya Rabb al-‘âlamîn.

Oleh: Noor Afeefa, daripada pelbagai sumber.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment