Fudhail Bin 'Iyadh

Fudhail bin ‘Iyadh dilahirkan di Samarqand dan dibesarkan di Abu Warda, suatu tempat di daerah Khurasan pada tahun 107 Hijriah. Beliau hidup sezaman dengan Imam Malik, Sufyan bin Uyainah dan Abdullah bin al-Mubarak.

Fadhl bin Musa berkata, Fudhail bin ‘Iyadh dahulunya adalah seorang penyamun (perompak) yang sangat ditakuti. Beliau biasa merompak rakyat di daerah antara Abu Warda dan Sirjis. Suatu masa beliau pernah terpikat dengan seorang wanita. Ketika beliau memanjat tembok untuk melaksanakan hasratnya terhadap wanita tersebut, tiba-tiba beliau mendengar seseorang membaca ayat (yang bermaksud): “Belumkah datang waktunya bagi kaum beriman menundukkan hati mereka untuk mengingat Allah?” [TMQ al-Hadid (57): 16].

Apabila mendengarnya, tubuhnya terus menggigil. Beliau kemudian menggumam, “Rabb-ku, tentu telah tiba masaku (untuk bertaubat).”

Kemudian pada malam itu juga beliau bergegas pulang. Namun, ketika beliau sedang berlindung dan bersembunyi di sebalik runtuhan bangunan, tiba-tiba lalu sekumpulan orang. Seseorang di antara mereka berkata, “Kita teruskan perjalanan.” Yang lain menjawab, “Ya, kita teruskan perjalanan sehingga pagi kerana biasanya Fudhail menghadang kita di jalan ini.”

Mendengar itu, Fudhail menggumam, “Aku melakukan pelbagai jenayah pada malam hari sehingga sebahagian daripada umat Islam takut kepadaku. Ya Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala, 8/423).

Sejak itu Fudhail bin ‘Iyadh benar-benar bertaubat. Beliau berubah menjadi peribadi yang soleh, ahli ibadah, warak dan zuhud. Beliau kemudian menghabiskan banyak masanya di Kufah sambil belajar daripada beberapa ulama terkemuka. Beliau kemudian berpindah dan menetap di Mekah sambil terus belajar daripada beberapa ulama besar di sana. Akhirnya, Fudhail bin ‘Iyadh muncul sebagai seorang ulama terkemuka, ahli fikih dan ahli hadis. Fudhail bin ‘lyadh adalah seorang yang cerdas, kuat hafalannya dan warak. Tiga sifat ini merupakan modal utama bagi seorang ahli hadis. Beliau sangat memahami sabda Rasulullah SAW, “Siapa saja yang berdusta atas namaku secara sengaja, bersedialah untuk mengambil tempatnya di neraka” [HR Bukhari].

Oleh kerana itu tidak hairan jika menurut Sufyan bin Uyainah, “Fudhail adalah orang yang tsiqah (dipercayai).”

Imam an-Nawawi juga mengulas, “Hadis-hadis yang diriwayatkan Fudhail adalah sahih.”

Fudhail bin ‘Iyadh juga terkenal kerana ketekunan dan kekhusyukannya dalam beribadah sehingga digelar ‘Abid al-Haramayn (Ahli Ibadah Mekah dan Madinah).

Jika malam mula menjelang, Fudhail bin ‘Iyadh biasa membentang sejadahnya untuk menunaikan qiyâmul layl. Beliau berterusan dalam keadaan solat sehingga beliau berasa sangat mengantuk. Beliau akan berbaring sebentar dan kemudiannya kembali menunaikan solat. Ketika rasa mengantuknya datang semula tanpa dapat ditahan-tahan, beliau berbaring semula sebentar. Kemudian beliau pun bangkit semula untuk menunaikan solat. Begitulah seterusnya sehingga menjelang subuh.

Berkaitan solat malam ini, Fudhail pernah berkata, “Jika kamu merasa begitu berat untuk menunaikan qiyâmul layl dan berpuasa pada siang hari, ketahuilah sesungguhnya dirimu telah terbelenggu oleh dosa dan maksiat yang kamu lakukan.”

Fudhail bin ‘Iyadh juga terkenal kerana kewarakan dan kezuhudannya. Beliau menafkahi dirinya dan keluarganya daripada hasil mengurus air di Mekah yang tidak seberapa hasilnya. Walaupun hidup hanya cukup-cukup makan sahaja, beliau menolak semua bentuk pemberian dan hadiah daripada Khalifah atau daripada para pegawainya. Sebagai contoh, beliau pernah menolak pemberian duit sebanyak 1000 dinar daripada Khalifah Harun ar-Rasyid.

Wajah Fudhail pun kerap kelihatan seperti bekas menangis kerana kesedihan dan rasa takutnya kepada Allah SWT. Tentang hal ini Ishaq bin Ibrahim ath-Thabari pernah berkata, “Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih memperlihatkan rasa takutnya kepada Allah SWT selain Fudhail. Pada masa beliau membaca al-Quran, kitab itu beliau baca dengan lembut, syahdu dan begitu menyentuh hati seolah-olah beliau sedang bercakap dengan seseorang.”

Fudhail bin Iyadh banyak memberikan nasihat yang bijak dan bernas. Fudhail bin ‘Iyadh pernah berkata mengenai keikhlasan. Katanya, “Meninggalkan amal soleh kerana manusia adalah riak. Beramal soleh kerana manusia adalah syirik. Ikhlas adalah bebas daripada kedua-duanya.” (An-Nawawi, al-Azkâr, hlm. 7).

Berkenaan tawaduk pula, Fudhail berkata, “Tawaduk itu engkau tunduk dan patuh kepada kebenaran, walau dari mana sahaja ia datang.” Adapun mengenai bagaimana bentuk kesabaran dalam menghadapi musibah, Fudhail berkata, “Dengan tidak menceritakannya.” (Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliyâ’, 8/91).

Sementara tentang iman yang sempurna, Fudhail berkata, “Seorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman kecuali setelah menganggap musibah sebagai nikmat dan nikmat sebagai musibah” (Abu Nu’aim,Hilyah al-Awliya’, 8/94).

Seseorang pernah mengunjungi Fudhail untuk meminta nasihat. Beliau pun berkata, “Kosongkan hatimu daripada yang lain kecuali rasa takut dan tangismu kepada Allah SWT. Jika kedua-duanya sudah bersarang di hatimu, takut dan tangis itu akan membentengi kamu daripada melakukan maksiat dan menjauhkan dirimu daripada api neraka.”

Beliau juga pernah berkata, “Manusia yang paling dekat dengan Allah adalah yang paling takut kepadaNya. Manusia tidak akan sempurna sehingga agamanya mampu mengalahkan nafsunya. Manusia tidak akan binasa sehingga nafsunya mengalahkan agamanya.” (Syaikh Ahmad Farid, Min A’lam as-Salaf).

Fudhail bin ‘Iyadh termasuk ulama yang berusaha menjauhkan diri daripada para penguasa. Mengenai sikapnya ini beliau pernah berkata, “Seseorang menghampiri bangkai yang berbau busuk adalah jauh lebih baik daripada mendekati para penguasa.”

Namun demikian, berkaitan para penguasa pula, Fudhail pernah berkata, “Jika aku mempunyai doa mustajab, doa itu akan kugunakan untuk mendoakan penguasa.” Orang ramai bertanya, “Mengapa begitu, wahai Abu Ali?” Jawab Fudhail, “Jika doa mustajab tersebut kugunakan untuk diriku sendiri, aku tidak akan mendapat balasan. Namun, jika kugunakan untuk mendoakan penguasa maka penguasa yang baik akan memberi kesan yang baik bagi rakyat dan negara.” (Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliyâ’, 8/91).

Fudhail bin ‘Iyadh wafat pada tahun 187 H dalam usia 80 tahun (Lihat: Ibn Asakir, Târîkh Dimasyqi, 32/450; Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala, 7/386; as-Subki, Thabaqât asy-Syâfi’iyah, 1/287).

Oleh: Arief B. Iskandar
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment